Chong Woi berjalan mundar-mandir. Sekejap dia berada di dapur dan sekejap berada di ruang tamu. Tangannya terdepang bagaikan sedang mengira jarak di antara sofa dan pintu. Mengukur jarak dari tingkap ke meja kopi yang terletak di tengah perut rumah sehinggalah jarak dari jamban ke pintu belakang. Dia tidak pasti apa yang diukurnya. Segalanya menjadi tidak pasti sekarang. Fikirannya membuncah.
Matanya yang sepet itu meninjau ke arah jam yang terlekat di dinding. Peluh-peluh kecil cepat beranak dari akar rambutnya yang halus. Telefon bimbit diambil dan diperhatikan mesej yang tertera di kotak pesanan aplikasi WeChat. Wajah seorang gadis muda yang berambut separas bahu terpapar di skrin.
Baru seminggu dikenali gadis Melayu yang bersekolah di tingkatan tiga itu. Perkenalan yang cepat itu membuatkan hubungan kilat yang lebih cepat membakar ke dalam hati. Setiap kali gadis itu mesej akan datang rasa getaran di dalam sukma. Dia tidak pernah rasakan cinta yang sebegini segar dan pantas. Jika dikatakan dia adalah orang yang gila, sudah tentu ya kerana mereka orang yang berbeza keturunannya. Dia Cina makan babi salai dan gadis itu berbangsa Melayu. Chong Woi mula berfikir yang macam-macam. Tentang makanan dan pakaian. Tentang puasa dan akhirnya, tentang berkhatan. Pernah dia mendengar yang sunat sekarang tidak sakit seperti dahulu. Macam semut gigit. Tapi dia tidak pasti samada semut itu seekor atau selori?
Telurnya tiba-tiba terasa gatal dan Chong Woi mereguk liur. Mesej dari gadis itu dibalas ringkas lalu melemparkan telefonnya ke atas sofa. Sebenarnya itu belum cukup gila. Yang gilanya akan datang pada malam nanti. Gadis yang bernama Mona itu menyuruh mengambilnya di sebatang jalan dan membawanya lari jauh dari situ. Dia tidak mahu duduk di kampung lagi. Mona ingin lari bersama Chong Woi. Tidak kira ke daerah mana atau lembah berduri sekalipun. Mona tidak kisah, asalkan dapat keluar dari rumahnya yang diibaratkan seperti neraka.
Dan hari ini adalah harinya untuk Chong Woi membawa lari teman wanita yang baru seminggu dikenalinya itu. Dia harus mempersiapkan rumahnya agar kelihatan kemas dan tersusun. Dari depan ke belakang dibereskan. Di luar rumah, Chong Woi bercekak pinggang dengan peluh yang membasahi tubuh. Lencun bermandikan air setelah menyental lantai lamannya yang berlumut. Dia kembali mengingati bagaimana dahulunya dia pernah berbuat yang sama. Mengerah tenaga apabila teman wanitanya bercadang untuk bertandang ke rumah. Senyuman Mei Wha, mantan kekasihnya itu, masih lagi membekas di dalam memori. Hatta gadis itu cuma memperalatkan Chong Woi. Mengebas duit hingga licin. Membuatkan dia seperti orang yang gila dan sadis. Mei Wha lari bersama lelaki yang lain dan sudah tentu gadis itu tertawa setiap saat mengenangkan Chong Woi yang sebegitu dungu.
Banyak kali Chong Woi tertipu dek kata manis wanita. Dan terakhirnya adalah Mei Hwa. Kepala Chong Woi diambal dari bukaan tingkap nako. Memerhatikan ruang dalam rumah yang kini sudah tersusun. Titik fokal di perut rumahnya terdapat sebuah pasu tembikar menjadi noktah pada bola matanya. Lamunan Chong Woi terhapus saat mendengar suara nyanyian yang sumbang dari arah sebatang jalan di hadapan rumah.
Muncul seorang lelaki penagih dadah bernama Manan sedang berjalan sambil bernyanyi-nyanyi. Di tangan Manan tergenggam air putih yang diikat tepi. Manan menghirup air itu sambil melambai ke arah Chong Woi yang berada di hadapan rumah. Lelaki itu terlihat sungguh sakit. Berjalan terhuyung-hayang dan bila-bila masa sahaja maut akan mencium kepalanya. Dengan tubuh yang membusuk dan kurus jangkung. Pipi yang cengkung dan mata berselaput yang tenggelam ke dalam. Ibarat mayat yang berjalan di siang hari. Menuju ke arah sebuah pondok yang terletak tidak jauh di belakang sebuah bukit. Tempat Manan melepaskan giannya.
Telefon di dalam rumah kembali berdering. Chong Woi berjalan mendapatkan telefon bimbitnya yang terpamer mesej dari Mona di panel skrin. Mengingatkan kembali tentang misi malam ini. Tidak boleh tidak, Mona berkeras mahu melarikan diri. Seperti tadi, mesej Mona dibalas ringkas oleh Chong Woi dengan hanya menaip OK. Dia tidak berfikir panjang malam semalam. Tidak juga hari ini. Punggungnya menjadi tidak senang duduk. Bagai ada batu besar di atas pundaknya. Segalanya akan berubah malam ini dan ianya tidak terlalu lama kerana berbaki 3 jam lagi sebelum dia mengambil Mona di jalan Kilang Ubi.
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
General FictionCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.