SYARAT - Faizal Sulaiman

5.1K 142 15
                                    

"Kau bawak 357 ringgit 70 sen je. Kalau setuju, pukul 9 malam ni kita jumpa kat bawah pokok mangga telur hujung simpang tu."

* * *

Pada pagi Khamis itu, Hanapi dimalukan keluarga Manisah. Niatnya cuma satu. Datang sendiri ke rumah Anjang Dollah dan Che Kalsom lalu menyuarakan hajat ingin memperisterikan anak daranya. Perkenalan mereka bermula apabila sama-sama bekerja sebagai Operator Pengeluaran di Sumitomo, kilang elektronik yang mempunyai banyak cawangan di Malaysia. Tempoh sepuluh bulan mengenali Manisah membuatkan Hanapi terbuka hati untuk menjadikan gadis itu sebagai suri hidupnya.

Manisah gadis paling cantik di kampung. Malah sopan bertudung. Walaupun tidak secantik model tudung Fareeda, tetapi wajah itu jugalah yang menjadi igauan Hanapi siang dan malam. Anjang Dollah dan Che Kalsom pula berpengaruh dikalangan tetangga. Jadi tidak hairan jika Manisah menjadi rebutan ramai. Malah setiap kali keluar makan tengahari, Hanapi sentiasa melontar pandangan cemburu pada mata-mata nakal lelaki sebayanya yang mencuri pandang kepada Manisah dengan senyuman gatal.

Kawan-kawan Hanapi seperti Hafiz, Zuki dan Pian pula tidak sudah-sudah menyindir Hanapi dengan kata-kata pedas. "Kau macam kena Queen Control, siak!" seloroh Hafiz minggu lepas semasa mereka keluar lepak dan minum di Warung Pak Mail tepi simpang kilang. Zuki yang duduk dihadapannya beriya-iya ketawa berdekah-dekah sampai merecik air liur. "Harap je ada telur. Tapi takut bini," sambungnya memecah gamat. Pian pula ketawa sambil menepuk-nepuk meja, menambah lagi sakit hatinya.

Hanapi hanya senyum hambar. Neraka punya member kata hatinya membersut geram. Ikutkan rasa marah, ingin saja diterbalikkan meja lipat plastik warung Pak Mail itu kemudian dihempuk-hempuknya syaitan tiga ekor itu dengan kerusi sepuas hati. Tapi apakan daya. Sindiran-sindiran itu ditelannya juga walaupun pahit.

Tiga hari sebelum Khamis, dia membawa Manisah ke bandar. Mereka berdua berjalan-jalan seterusnya berkongsi sepotong kek Red Velvet di Secret Recipe. Hasratnya untuk memperisterikan gadis berkulit putih kuning itu semakin membara.

Usai menghabiskan Red Velvet, dia memulakan dengan soalan. "Satu hari nanti kalau sayang kahwin, sayang nak kahwin camne?" tanya Hanapi lembut.

Pada mulanya Manisah terkejut dengan pertanyaan itu.

"Awak demam ke, biy? Tetiba tanya soalan ni?" balas Manisah sambil melekapkan telapak tangan kanannya ke dahi Hanapi.

Hanapi hanya menggeleng sambil tersenyum. "Jawab je soalan biy," kata Hanapi manja sambil matanya terkerdip-kerdip memandang Manisah.

Buah hatinya tersenyum manis. Idam Manisah, dia mahukan perkahwinan yang gah serba-serbi. Maklumlah dia anak tunggal. Jadi Anjang Dollah dan Che Kalsom tentunya mahukan majlis yang boleh dikenang sampai ke anak cucu. Baju pengantinnya sahaja sudah tiga pasang. Sepasang baju nikah warna putih, sepasang baju sanding warna biru diraja dan sepersalinan lengkap busana puteri Perak untuk sesi fotografi. Itu belum masuk lagi dengan beg cenderahati kepada tetamu. Isinya mestilah tembikar bersaiz mini ditulis perkataan "Terima Kasih", potpuri lavender yang ditempah, kek cawan sama warna dengan baju pengantin dan kudap-kudap seperti kerepek ubi atau maruku.

Hanapi sudah panggung kepala. Senyumannya terukir pahit. Usai sahaja menghantar Manisah pulang ke rumah, Hanapi memikirkan permintaan Manisah yang sangat menyusahkan itu. Dia pernah mendengar kata-kata Hafiz sekiranya permintaan Manisah menjangkaui kemampuan. "Kau sayang dia kan? Kalau sayang, time cengginilah kau buktikan!" kata Hafiz berapi-api. Hanapi sekadar senyum pahit. Memang dia sayangkan Manisah. Tetapi masalahnya dia tidak mampu.

Jadi, pada pagi Khamis itu dia sengaja mengambil cuti untuk ke rumah Anjang Dollah dan Che Kalsom. Kedatangannya disambut endah tak endah oleh Anjang Dollah. Che Kalsom pula hanya tersenyum kelat. Selesai mempelawanya masuk, dia dijamu biskut kering dengan bancuhan air teh yang tawar. Dia sudah mengagak bahawa kedatangannya itu semacam tidak diundang oleh keluarga Manisah.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now