MEMBAWA HATI UNTUK DISERAH SEBAGAI CINTA - Syafiq Ghazali

4.9K 187 41
                                    

Hari ini dia sangat gembira. Dia akan bertemu perempuan yang dicintainya, walau perempuan itu masih belum mengetahui perasaannya itu. Hari ini Rafi gembira kerana dia akan meluahkan rasa cintanya dan menyerahkan bongkah hatinya kepada perempuan itu.

Hatinya itu disembunyikan di balik jaket hijau mudanya yang terbuka separuh, dan duduk di bangku stesen LRT Sentul Timur itu, dia menjeling sedikit padanya. Kemudian Rafi dengan berhati-hati, menariknya keluar dan mengadapnya beberapa inci dari wajahnya. Hati itu bercahaya dengan cahaya yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Ia mungkin kerana dia akan bertemu dengan Alia sedikit masa lagi, getusnya, perempuan yang telah berjaya membuatnya jatuh cinta.

Wajah Alia mengembang dalam benaknya, dan itu membuat dia tersenyum. Sehari sudah, dia telah pun menghubungi Alia, dan mereka bersetuju untuk bertemu di depan air pancut taman KLCC hari ini. Alia dari Bangsar dan dia dari Sentul; dia mengambil tren dan Alia memandu kereta. Jarak tidak dapat menghalang cinta, fikirnya, sekalipun cinta itu masih belum lengkap, hanya separuh siap dari pihaknya. Hari ini dia akan menuntut bahagian yang separuh lagi dari Alia dengan menukarkannya dengan bongkah hati milik dirinya.

Dia masukkan kembali hati itu ke dalam jaketnya. Dia menjeling pada jam di tangannya dan kemudian melepas pandang pada jalur rel di hadapannya. Tren belum kelihatan batang tubuhnya. Dia merenung kembali jam tangannya dan hairan kenapa tren belum tiba. Fikiran-fikiran negatif — tren terlewat kerana rosak; dan itu akan menyebabkan rancangannya gagal — mula menghujan dalam kepalanya, namun dia cepat-cepat memadamnya sebelum sempat ia mencurah lebat.

Hidup di pusat Kuala Lumpur, dia lebih suka ke mana-mana dengan menaiki pengangkutan awam. Dia tak sukakan kesesakan dan takkan pernah menyukainya. Dulu sewaktu dia masih belajar, dia akan ke mana-mana dengan mengambil tren atau bas, tapi kini setelah dia masuk ke alam kerja, situasinya berubah. Kerjanya selaku pegawai bank dan arahan bosnya yang meminta setiap pegawai menjaga imej bank, mengheretnya ke pusat pameran kereta. Hubungan manisnya dengan pengangkutan awam kini tinggal nostalgia dan Rafi, demi memastikan nostalgia itu tidak mati, akan menggunakan pengangkutan awam pada setiap hujung minggu, jika dia ke mana-mana.

Tren tiba akhirnya. Tak ramai orang di platform tapi Rafi melangkah berhati-hati; dia berpaut lengan, seakan-akan seorang ayah yang melindungi bayinya yang baru lahir, sewaktu melangkah melepasi pintu tren yang ternganga. Dia melabuhkan punggung pada salah satu bangku, dan sewaktu tren mula bergerak, memorinya juga terheret sama.

Dia teringat waktu dia melihat Alia buat pertama kali. Waktu itu dia baru selesai berurusan dengan pelanggan dan sedang melepaskan lelah di dalam keretanya, di mana dia terpandang di luar, Alia, di birai jalan, sedang bercakap dengan seorang pakcik yang membawa bersamanya plastik besar berisi kerepek. Apa yang terjadi adalah: Alia ingin membeli beberapa kerepek, mungkin atas dasar simpati, dari pakcik itu tetapi dia tidak memiliki wang kecil. Dia ada RM 50 tapi pakcik itu tidak mempunyai wang bakinya.

Rafi melihat apa yang terjadi, dan dia keluar mendapatkan keduanya. Tanpa ada agenda lain, dia mengeluarkan RM 10 dari dompetnya dan menghulurnya pada pakcik itu. Setelah pakcik itu beredar, Alia mengucapkan terima kasih kepadanya dan berjanji untuk membayarnya balik. Tak perlulah, kata Rafi, tapi kelihatannya Alia begitu beria-ia untuk membayarnya balik. Dan tak pernah Rafi sangka ketegasan Alia itu membawa kepada pertukaran nombor telefon antara mereka.

Malam itu Alia menghantarnya SMS, dan tengah hari esoknya mereka berdua bertemu di ruang foodcourt KLCC. Pertemuan yang sepatutnya singkat itu, yang sepatutnya hanya melibatkan penyerahan wang RM 10 dari Alia kepada Rafi, berlanjutan setelah Rafi, secara impuls, mengajak Alia makan tengah hari besama terlebih dahulu. Dan bermulalah basa-basi antara mereka: Alia beritahu dia kerja di Petronas tingkat atas dan Rafi beritahu dia kerja di Public Bank Jalan Ampang; Alia beritahu dia berasal dari Kelantan dan Rafi beritahu dia memang anak jati KL, datangnya dari Segambut; dan beberapa informasi sifar emosi yang lain, sebelum mereka berdua berpisah.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now