NILY - 23

24 1 0
                                    

Rumah agam Tuan Arshad...

Aina keluar dari kereta Audi  itu dengan terhencut-hencut, berusaha untuk berjalan sendiri. Dia tidak mahu lagi menyusahkan Nick yang sudah bersusah payah menjemputnya dan menghantarnya ke klinik, apatah lagi suaminya itu kelihatan tidak puas hati dengan alasannya tadi. Kakinya yang masih sakit, digagahi untuk melangkah.

Nick pantas mendapatkan Aina setelah menutup pintu keretanya, badan Aina segera dicempung, enggan membenarkan gadis itu berjalan sendiri. Aina yang terkejut, meronta-ronta dalam rangkulan Nick itu.

“Ish kenapa ni? Malulah, turunkan saya. Takkanlah nak dukung saya sampai ke atas!” Aina menolak-nolak tubuh Nick yang kejap mencempungnya. Nick cuma diam, tanpa menghiraukan rontaan Aina.

“Lepaskanlah!” Aina tidak beralah membuatkan Nick menjeling Aina dengan pandangan tajam.

“Diamlah! Kang aku lepaskan kau atas lantai batu ni baru kau tahu!” Nick bersuara sebelum memandang ke hadapan semula. Aina jadi kaku, tidak berani melawan Nick. Siapa yang berani melawan lagi bila mendengar jerkahan seumpama singa betina itu.

Selepas pintu rumah dibuka Mak Jah, Nick terus membawa langkahnya ke tangga, Aina cuma mampu melemparkan senyuman pada Mak Jah walaupun wajahnya terasa hangat dibalut rasa malu dicempung Nick sebegitu.

“Kenapa dengan kaki kamu tu Aina?” Tuan Arshad yang memerhati sedari tadi segera menghampiri mereka apabila Nick meletakkan Aina di atas sofa. Sejak dari tadi dia dan Puan Ainur menanti kepulangan mereka dengan rasa kurang sabar, bimbang sesuatu terjadi pada menantunya itu. Ilya pula sudah awal-awal lagi lesap ke bilik, langsung tidak berasa ingin ambil tahu tentang keadaan Aina.

Aina cuma menggeleng seraya tersenyum pada bapa mertuanya itu. Segan sekali apabila dia berhadapan dengan insan yang sangat dihormatinya itu.

“Entahlah papa, menantu papa yang dah besar panjang ni jatuh tangga.” Nick bersuara sambil menggeliat kecil, melonggarkan uratnya yang tegang apabila mendukung Aina yang boleh tahan beratnya berbanding dengan tubuh melidi Nick.

“Jatuh tangga, macam mana boleh jadi macam tu?” riak wajah Tuan Arshad berubah, ada kerisauan dari nada suaranya.

Aina memandang wajah Nick, mengharapkan Nick tolong menjawab untuk dirinya kerana Aina tidak sampai hati hendak menipu bapa mertuanya, rasa berdosa pula. Nick menyedari yang Aina sedang melihatnya dengan pandangan meminta simpati terus membuka mulut.

“Ada mata letak kat lutut, macam tulah jadinya papa.” Nick menjeling ke arah Aina.

“Ish kamu ni Nik Muhammad Ashraf, mulut tak ada insurans. Dah pergi klinik belum? Bahaya ni...” Tuan Arshad bersuara sambil meninjau kaki Aina.

“Dah papa, abang Nick dah bawak Aina tadi.” Aina bersuara, membalas kata-kata Tuan Arshad.

 “Hmm kalau macam tu baguslah. Sekarang pergilah naik atas berehat. Esok cuti je, tak payah pergi kolej. "

“Baik papa.” Aina membalas sebelum berusaha untuk bangun, ingin naik ke atas biliknya.

Tuan Arshad memandang Nick yang cuma memeluk tubuh, langsung tidak menghiraukan Aina yang bersusah payah. Anak lelaki tunggalnya itu direnung tajam hingga mata mereka bertaut. Tuan Arshad segera mengisyaratkan Nick untuk membantu Aina yang sudah berada di tepi tangga. Dalam keluhan, Nick bangun untuk menghulurkan bantuan pada Aina.

“Goodnight papa.” Nick bersuara sebelum melangkah ke arah Aina, Tuan Arshad cuma menghadiahkan senyuman. Bahagia melihat keduanya.

“Dah, meh aku tolong. Kang jatuh lagi sekali siapa nak jawab?” Nick bersuara pada Aina yang sedang meniti tangga itu satu persatu. Aina cuma mencebik, malas hendak membalas kata-kata Nick yang hanya menyakitkan telinganya.

[SLOW UPDATE]. Nick ! I Love YouWhere stories live. Discover now