Zarfan menyepak kuat tin minuman kosong yang terdampar di atas tanah sambil menjerit nyaring melepas geram. Terpelanting tin itu jauh hingga masuk ke dalam longkang.
Zarfan merengus kasar. Tangannya mengenggam kejap tali beg sambil dia meneruskan perjalanan. Bukan pulang ke rumah, sebaliknya ke tasik kecil yang berada tidak jauh dari sekolahnya. Tasik yang menjadi tempat permainannya sejak kecil. Tasik itulah jugalah yang menjadi saksi bisu dan tempat luahan rasa hatinya.
Zarfan mencampakkan begnya diatas gelongsor ditaman permainan berhampiran pintu gerbang sebelum tiba di tasik. Dia membaringkan dirinya diatas hamparan rumput di tepi gigi tasik. Lengan kanannya diletak diatas mata bagi menghadang silau cahaya mentari. Cuaca yang masih terik tidak dipedulikan. Yang penting dia dapat menenangkan jiwanya yang kusut.
"Assalamualaikum. Sedap tidur nampak. Aku nak kacau boleh?"
Zarfan terus mengalihkan lengan sambil membuka matanya. Ingin melihat siapakah pemilik suara garau yang berani-berani mengacaunya di kala ini.
"Arghhhh!!" Jeritan Zarfan bergema kuat tatkala melihat wajah seorang lelaki tak dikenali betul-betul di depan matanya.
Lelaki itu pantas menjauhkan diri. Kedua-dua tangannya menutup telinga yang bingit akibat jeritan Zarfan. Wajahnya dikerutkan.
"Kenapa kau menjerit?!" marahnya.
"Kau siapa?!" tanya Zarfan dalam nada yang sama. Dia mengubah posisinya dari berbaring kepada duduk melunjur. Berkerut dahinya memandang lelaki asing itu.
Lelaki itu menjatuhkan semula tangannya. Dia melangkah mara setapak. Jarinya ditunjukkan ke arah dada sendiri.
"Aku?"
"Aku manusia".
Zarfan membuat muka meluat. Dia bangkit dari duduknya. Berura-ura untuk beredar dari tempat itu. Malas hendak berdepan dengan lelaki yang tidak dikenali itu. Apatah lagi mendengar dia merepek.
"Eh, tunggu dahulu. Kau cepat-cepat ini nak ke mana? Teman aku sekejap," pintanya. Lengan Zarfan dicengkam untuk menahan langkahnya.
Zarfan segera merentap tangannya kasar. "Aku kenal kau pun tidak. Kau ajak aku teman kau. Gila ke apa?" bidas Zarfan. Matanya memandang lelaki itu dengan penuh benci.
Lelaki itu menguntumkan senyuman manis sehingga menerbitkan lesung pipit pada pipi sebelah kanannya. Lansung tak terkesan dengan pandangan tajam Zarfan.
"Aku Umar. Kau sudah kenal akukan. Jadi, tak ada masalah sekarang untuk kau teman aku," balas Umar balik.
Zarfan merengus melihat kedegilan Umar. Kemarahannya kian mencanak naik. Umar benar-benar menduga kesabarannya.
"Aku kata tak nak, TAK NAKLAH. TAK FAHAM BAHASA KE?!"
Umar ketawa kecil membuatkan Zarfan terpana melihatnya. Tak pernah-pernah dia melihat ada orang ketawa apabila dia marah. Hilang terus kemarahannya tadi. Yang tinggal hanyalah rasa hairan bercampur pelik.
"Kau memang gila ke?"
"Eh, tak baik tau kau menggilakan aku. Aku normal, ya. Harap maklum," jawab Umar selamba.
"Sudah, marilah duduk. Aku lenguh berdiri lama-lama ini," ajak Umar. Dia melabuhkan punggungnya di atas rumput menghadap ke arah tasik. Dia menepuk perlahan tanah di tepinya, mengajak Zarfan untuk turut duduk di situ.
Zarfan hanya berdiri memerhatikan Umar. Ini perbualan terpanjang dia dalam tempoh tujuh tahun ini. Selalunya, dia tak betah berlama-lama duduk dengan orang lain.
Apatah lagi saling berbalas kata seperti dengan Umar sekarang.
Walaupun menyampah, entah kenapa dia terasa selesa dengan Umar.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kelam Semalam
RandomBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...