49: Pertemuan Ayah dan Anak

455 57 1
                                        

Dia menyandarkan tubuhnya pada besi setinggi paras dadanya yang memagari kawasan bumbung bangunan pejabat Tuan Yasir.

Matanya merenung kanvas langit biru yang berlorekkan awan gebu nan putih. Angin sepoi-sepoi bahasa sesekali bertiup menyapa rambutnya yang membalas dengan lenggok tari mengikut rentak si angin.

Matanya dipejam rapat.

Menghayati ketenangan yang dirasa saat itu sebelum segalanya berubah sebentar nanti.

"Assalamualaikum," sapa Tuan Yasir sambil menutup pintu ruang tangga yang merupakan satu-satunya jalan untuk ke bumbung itu.

Bibir Umar Haiqal bergerak membalas salam ayah angkatnya itu tanpa mengeluarkan suara. Matanya memerhati langkah Tuan Yasir mendekatinya.

"Lama Umar menghilang. Baru hari ini nak jenguk papa?" tegur Tuan Yasir dalam nada seakan merajuk. Sengaja ingin bercanda dengan pemuda itu.

Umar Haiqal diam. Tangannya diseluk ke dalam kocek seluar sambil dia membetulkan postur tubuhnya dengan berdiri tegak.

Senyuman Tuan Yasir mati melihat mata Umar Haiqal yang kosong tak beremosi. Umar Haiqal masih membisu tanpa membalas gurauannya seperti selalu.

Entah kenapa, hatinya membisikkan sesuatu yang tidak enak melihatkan keadaan itu.

"Nampaknya, Umar ada tujuan lain untuk berjumpa papa. Cakaplah, papa akan dengar apa sahaja yang Umar nak cerita dengan papa," ujar Tuan Yasir.

Umar Haiqal mendekati Tuan Yasir. Rapat, sehinggakan berjarak setengah depa sahaja. Tuan Yasir mula bersiaga tanpa sedar apabila gelagat Umar Haiqal semakin pelik dimatanya.

Umar Haiqal merenung mata Tuan Yasir sedalam-dalamnya. Ketinggian mereka yang sama memudahkan kerjanya. Tuan Yasir hanya membiarkan sebelum terkedu melihat mata Umar Haiqal yang mula bergenang.

"Umar?" panggil Tuan Yasir ragu.

Umar Haiqal mengeluarkan sehelai kertas yang dilipat kemas dari kocek seluarnya. Kertas itu dilemparkan tepat ke muka Tuan Yasir.

Wajah Tuan Yasir yang tadinya tenang berubah garang. Jatuh air mukanya dengan tindakan kurang ajar Umar Haiqal itu.

"UMAR! SIAPA AJAR KAMU JADI KURANG AJAR SEBEGINI?!!" jerkahnya.

Namun Umar Haiqal sedikit pun tak terkesan dengan nada tinggi Tuan Yasir. Riak wajahnya masih sama.

Kosong tanpa emosi.

"Pengkhianatan, tikam belakang, itulah yang Umar belajar dari papa. Seperti yang tertulis di atas kertas itu. Maka, layakkah papa mendapat penghormatan dari Umar sedangkan papa sudah hancurkan kebahagiaan Umar," ujar Umar Haiqal buat pertama kali. Suaranya kedengaran serak, seakan menahan tangisan yang bila-bila masa sahaja akan gugur.

Kata-kata Umar Haiqal berjaya melenyapkan kemarahan Tuan Yasir. Dalam sekelip mata, riaknya berubah takut.

Ditundukkan badan bagi mencapai kertas yang dibaling Umar Haiqal tadi. Saat kertas itu berada di tangannya, jelas kelihatan tangannya yang menggeletar ketakutan.

Takut dengan apa yang bakal dia baca di atas kertas itu.

"Baca. Itu adalah cebisan diari ibu yang tercarik dari buku asalnya," ujar Umar Haiqal lagi. Sebenarnya, dia yang mengoyakkan helaian itu. Bahagian yang lain tak penting untuk rancangannya. Hanya muka surat yang itu yang dia perlukan.

Tuan Yasir melarikan anak matanya dari wajah Umar Haiqal ke kertas di tangan. Helaian kertas itu dibuka sebelum pandangannya disuakan dengan tandatangan halus yang cukup dia kenal di bawah kertas itu. Sambil meneguk air liur, dia mula membaca isi diari itu.

Kelam SemalamTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang