Zarfan merebahkan kepalanya di atas meja. Kelopak matanya dirasakan kian memberat. Kantuk semakin menguasai kesedarannya. Sudah beberapa kali dia menguap semasa kelas Matematik Tambahan tadi sehingga matanya berair.
Kini, dia bebas untuk tidur kerana Cikgu Basir pergi kursus hari ini. Peluang terbaik untuk berlayar ke alam mimpi.
Pap!
Zarfan terus membuka mata yang sudah terpejam tadi. Dia merengus melihat Nasir yang sedang tersengih tak bersalah. Mahu sahaja dia mengetuk kepala Nasir yang tak sudah mengacaunya itu.
Melayang masa tidurnya!
"Kau nak apa?" tanya Zarfan kasar. Tubuhnya ditegakkan semula sambil menongkat dagu di atas meja.
"Kau ada dengar berita sensasi pasal Hakim tak?" tanya Nasir teruja.
Zarfan menayangkan riak tak pedulinya. "Tak dan aku tak nak tahu. Sekarang, blah. Aku nak tidur," balasnya.
Baru sahaja dia membongkok untuk merebahkan kepala di atas meja, Nasir terus menahan bahunya. Remaja itu menolak bahunya sehingga dia kembali tersandar.
"Fan, dengarlah dahulu... Kau tahu tak Hakim kena buang. Sekali dengan konco-konconya," ujar Nasir.
Muka Zarfan lansung tak beriak. Bagai tak terkejut mendengar berita itu.
"Hishh! Kau dengar tak? Hakim kena buang!" ujar Nasir sekali lagi apabila tak mendapat reaksi yang dia harapkan.
"Jadi?" akhirnya Zarfan bersuara.
"Jadi aku bebas dari ugutan dia. Aku sudah selamat!" jerit Nasir gembira. Penumbuknya dijulang ke udara.
"Oh, patutkah aku ucap tahniah?" tanya Zarfan dalam nada sarkastik.
Nasir mengeluh. "Kau ini... rosakkan mood gembira aku sahaja. Cubalah tunjuk riak gembira sedikit walaupun sekadar berpura-pura. Demi aku."
Zarfan mengangkat kening sambil memeluk tubuh. Dia pula yang disalahkan sedangkan Nasir yang menganggu tidurnya.
"Zarfannnn...." rengek Nasir apabila Zarfan kekal senyap.
Senyap.
Zarfan setia memandang Nasir tanpa bersuara. Dia menanti Nasir terbuka hati untuk pergi dari situ. Dia benar-benar mengantuk saat ini.
"Yalah, yalah. Sambunglah tidur. Aku tak kacau kau lagi selepas ini," akur Nasir. Dia mengalah dari terus memaksa Zarfan mendengar ceritanya.
Terus Zarfan mengariskan senyuman nipis yang hampir-hampir tidak terbentuk. Namun, mata Nasir cekap menangkap hujung bibir Zarfan yang bergerak naik itu.
Nampak sangat Zarfan memang tak berniat nak melayannya sejak dari awal. Dengan berat hati, dia kembali duduk di kerusinya di bahagian depan kelas.
"Nasir," panggil Haris, ketua kelas mereka yang juga jiran meja Nasir.
Nasir menoleh sambil menarik kerusinya. Didongak kepalanya sedikit seakan bertanya, 'apa?'
"Aku bersimpati... kesian kau tak dilayan Zarfan, ya?" Haris buat-buat suara lirih sebelum ketawa galak. Beberapa kawannya yang lain turut ketawa bersama Haris.
Nasir membuat muka. Dia menoleh sekilas ke arah Zarfan yang kelihatan telah lena. Sekejap sahaja Zarfan telah selamat berkelana ke alam mimpi.
Hairan dia melihat mata Zarfan yang mempunyai lingkaran hitam. Seakan tak cukup tidur.
"Korang rasa, siapa yang beritahu Cikgu Fatih tentang Hakim?" tanya Nasir, kembali memandang kawan-kawannya.
Ada yang menjongketkan bahu, ada juga yang menggeleng.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
RandomBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...