"Afan! Afan! Afan nak ke mana?" tahan Umar Haiqal apabila melihat Zarfan melintasinya untuk ke pintu tanpa mempedulikannya.
Zarfan menghentikan langkah. Dia memandang abangnya dengan riak kosong. "Keluar dengan kak Qaseh," jawabnya selamba.
Umar Haiqal merengus geram. Dia bangun mendekati adiknya. Tanpa amaran, dia menarik leher baju Zarfan lalu mengheret adiknya ke arah sofa di ruang tamu. Dia meletakkan kedua-dua tangannya di bahu Zarfan lalu memaksa adiknya duduk.
"Kau! Hish, jangan jadi budak kecil boleh?"
Zarfan tak memberi sebarang reaksi. Apatah lagi menjawab kata-kata abangnya. Dia sekadar memandang Umar Haiqal.
Umar Haiqal duduk menyimpuh di depan Zarfan. Dia memandang ke dalam anak mata Zarfan seraya mengeluh nipis.
"Ok, aku minta maaf sebab abaikan kau dua tiga hari ini. Aku bukan sengaja, Fan. Papa sedang latih aku untuk ambil alih tempat dia. Dalam masa yang sama, aku sibuk uruskan persediaan untuk meminang Qaseh. Maafkan aku ya?"
"Jadi, tolonglah aku Afan. Kau tahu aku nak pinang Qaseh hari ini. Janganlah bawa dia keluar. Nanti lambatlah dia tahu, lambatlah juga aku dapat jawapan dia nanti," pujuk nya lagi.
Zarfan menahan senyum yang hampir berbunga. Sejujurnya, dia turut hampir ketawa. Bukan senang hendak melihat abangnya seperti ini.
"Kenapa abang Umar minta maaf? Bukannya Afan merajuk pun. Abang yang fikir bukan-bukan," ujarnya lalu terus menghamburkan tawa.
"Kau?"
"Kau main-mainkan aku, Afan!"
Zarfan cuba mengelak apabila Umar Haiqal memukulnya dengan kusyen tetapi tak berjaya. Dia terus ketawa walaupun dihentak berkali-kali dengan kusyen itu. Sehingga akhirnya Umar Haiqal menghentikan tindakannya akibat kepenatan. Dia menjeling Zarfan yang masih ketawa.
"Kau! Huh, kalau aku tahu kau mainkan aku, tak ada maknanya aku nak minta maaf. Siap kau, Afan. Ingat! Ada ubi, ada batas. Ada hari, aku balas".
Zarfan tersengih sambil memegang perut. Senak perutnya akibat ketawa terlalu banyak. Otot pipinya juga terasa tegang.
"Hehehe. Afan akan tunggu abang balas". Zarfan bangun dari sofa lalu berdiri tegak.
"Sekarang, Afan nak keluar. Bye! Assalamualaikum!" Dia terus berlari ke arah pintu.
"Oi, Afan! Kau nak ke mana?!" Umar Haiqal mengulangi soalannya buat kali kedua.
"Keluar dengan kak Qaseh orang kata!" laung Zarfan dari luar rumah. Dia menjenguk ke dalam rumah sebelum tersengih lagi melihat Umar Haiqal yang tercengang. Sempat dia melambai abangnya sebelum berlari keluar dari kawasan banglo itu.
-----------------------------------------------------------
Qaseh ketawa mendengar cerita Zarfan. Tak sangka Zarfan berani mengenakan Umar Haiqal sampai begitu sekali.
Zarfan tersengih selepas menamatkan ceritanya. Dia mencicip jus oren kegemarannya sambil memerhatikan suasana di luar restoran. Qaseh pula sambung menikmati kek kejunya.
Zarfan kembali memandang Qaseh di hadapannya. "Kak Qaseh tak nak pulang?" usiknya.
"Belum lagi. Bukan abang Afan ada di rumah akak. Jadi, buat apa akak pulang awal-awal," balas Qaseh.
Sengihan Zarfan melebar. "Oh, kalau abang Umar ada, kak Qaseh nak baliklah?" usiknya lagi.
Wajah Qaseh memerah. "Ish...janganlah usik akak!"
Zarfan terus tersengih. Dia mengambil sebiji muffin dari pinggannya lalu digigit besar. Pipinya membulat membuatkan dia nampak seperti seekor tupai. Qaseh ketawa melihat wajah Zarfan ketika itu.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
RandomBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...