17: Tertidur

434 56 6
                                    

Zarfan melangkah longlai menuju ke sebatang pokok di tepi tasik. Begnya pula awal-awal lagi dicampakkan ke atas gelongsor di taman permainan yang terletak berdekatan pintu gerbang.

Zarfan merebahkan dirinya ke atas tanah. Matanya menatap bukit yang kelihatan sayup membiru dari kejauhan. Lantaran kebosanan menunggu, dia mengeluarkan mengeluarkn telefon dari kocek seluar seraya menyumbat telinganya dengan earphone. Playlist di dalam telefonnya dimainkan. Lagu-lagu kegemarannya menemaninya sehingga dia tertidur.

* * * * * * * * *

"Zarfan! Oiii...! Zarfan! Bangunlah...kau nak tidur, pergi balik rumahlah. Oi manusia, bangunlah! Zarfan!" kejut satu suara.

Terasa pipinya ditampar-tampar perlahan. Zarfan membuka mata. Dia mengeluh kecewa melihat Nasir yang mengejutkannya.

Bukan Umar seperti yang disangkanya.

Sedar tak sedar, dia telah terbiasa dengan kehadiran Umar dalam hidupnya. Sehari tanpa Umar, terasa hidupnya tidak lengkap.

"Korang buat apa di sini?" tanya Zarfan sambil membuat riak menyampah. Dia duduk dalam keadaan melunjur sambil mengusap rambutnya kasar.

Wafiy menjeling tajam melihat riak Zarfan. Nasir pula menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Kami ternampak kau disini. Itu yang kami datang. Kau kalau mengantuk, pergi baliklah. Bahayalah tidur di sini sorang-sorang," bebel Nasir.

"Ah! Korang sibuk apa? Ikut suka hati akulah nak tidur di mana pun," jawab Zarfan kasar sambil melihat skrin telefonnya. Sudah jam tiga setengah. Dia mematikan lagu yang masih rancak bergema di earphonenya.

"Iyalah. Tetapi tak akan di sini pun kau nak tidur? Baliklah rumah dahulu," nasihat Nasir tanpa putus asa dengan kedinginan Zarfan melayannya.

"Heh! Aku tahu jaga diri aku. Korang tak payah risau macam aku kawan korang pula," balas Zarfan dingin. Dia memandang dua sekawan itu dengan pandangan tajam.

"Aku pun tak ingin," balas Wafiy dalam nada yang sama. Tiba-tiba dia mengaduh kecil bila Nasir menampar bahunya. Dia membuat muka tak puas hati namun diabaikan begitu sahaja oleh Nasir.

Seakan dirinya tak wujud di situ.

Nasir dengan beraninya membalas pandangan Zarfan. Pandangannya bersirat dengan rasa sayu dan sedih. "Tetapi, kau memang kawan kami pun, Zarfan. Hakikat itu tak akan berubah walaupun kau telah berubah. Maka, kami ada hak untuk risau".

"Oh ya?" Zarfan membuat muka tak peduli. "Kau memang muka tembok dari dulu, Nasir. Berhenti kejar orang yang tak sudi. Tolong faham, yang AKU BUKAN KAWAN KAU!"

Tempikan Zarfan membuatkan Nasir mengenggam penumbuknya. Rasa sedih dengan layanan dingin Zarfan semakin menggunung.

Wafiy yang perasan dengan perubahan riak Nasir segera memeluk bahu adik sepupunya itu. Dia menjeling Zarfan dengan penuh rasa tidak suka.

"Betul kata dia itu Nasir. Aku pun menyampah tengok kau masih tegur budak berlagak ini. Orang sudah tak sudi, buat apa kita mengada-gada," pujuk Wafiy pula. Sempat dia memerli Zarfan.

Nasir mengeluh. Dua-dua kawan di sisi dan di depannya itu sama-sama keras kepala. Tunjuk ego walaupun sebenarnya masing-masing rindu untuk berkawan semula seperti dahulu. Sudah lama dia kenal Wafiy dan Zarfan, cukup untuk dia membaca hati mereka.

"Hakikatnya Zarfan, kau cuma sunyi. Kau takut kehilangan. Sebab itu kau tak mahu mendekati sesiapa. Tetapi kau lupa, Zarfan. Allah tak jadikan kau hidup di bumi ini sendirian. Ada orang lain juga. Nak tak nak, kau terpaksa berhubung dengan mereka juga kerana tiada orang mampu hidup seorang diri. Hatta si Tarzan juga berkawan dengan beruk kerana dia tak mampu hidup sendirian. Kita manusia, sifatnya lemah. Kau berlagak kuat macam mana sekalipun hakikatnya kau terpaksa bergantung kepada orang lain juga dalam sesetengah perkara. Kita ini tak sempurna, Zarfan. Hanya dengan berhubung dengan orang lain akan menyempurnakan kehidupan kita. Aku yakin suatu hari nanti kau akan sedar hakikat ini. Sebab itu aku tak pernah berhenti berusaha mendekati kau dan berdoa kepada Allah agar kau berubah menjadi diri kau yang dulu," bidas Nasir.

Dia menoleh melihat Wafiy pula.

"Dan kau pula, Wafiy. Sudah-sudahlah kau asyik membidas dan mengutuk Zarfan. Tak sedar yang diri itu sama sahaja dengan budak yang kau kutuk itu? Yang aku tak faham, kau tunjuk perangai keras kepala seperti ini, macamlah Zarfan akan datang pujuk kau. Sudah-sudahlah merajuk. Kes Zarfan belasah kau itu sudah lama. Dia sendiri tak ingat. Sia-sia kau tunjuk protes. Hati yang keras akan pecah kalau dilawan dengan tukul yang keras. Sepatutnya kau yang lebih tua lebih matang. Bukan lawan api dengan api dan menyebabkan kebakaran bertambah gergasi".

Wajah Zarfan dan Wafiy masing-masing sudah merah bak biji saga. Entahkan malu, entahkan marah. Kata-kata Nasir tepat menembusi hati mereka umpama peluru berpandu. Runtuh tembok keegoan yang mereka bina selama ini. Tak menyangka, Nasir mampu melihat apa yang ada dalam hati mereka sebenarnya.

Nasir tersenyum kecil. Terasa ingin bersiul melihat riak mereka. Puas hati dapat 'membasuh' kedua-dua kawannya itu sehingga mereka kehilangan kata-kata.

Tiba-tiba, telefon yang berada di tangan Zarfan bergetar. Zarfan segera membuka telefonnya. Kelihatan satu mesej dari nombor yang tidak dikenali. Tanpa ragu-ragu, dia terus membuka mesej itu.

'Aku ada di depan rumah kau. Malas nak ke tasik. Nak jumpa aku, balik cepat.

-Umar-

Zarfan mengerutkan dahi sambil menyimpan nombor Umar dalam senarai kenalannya. Dari mana Umar dapat nombornya?

Semakin lama dia fikirkan, semakin dia pelik.

Umar tahu namanya, tahu sekolahnya, dan sekarang nombornya. Kenapa Umar tahu segala berkaitan dengannya sedangkan dia baru sahaja mengenali lelaki itu?

"Kenapa, Zarfan?" tanya Nasir apabila melihat wajah Zarfan yang berubah itu.

Zarfan mengangkat kepalanya. Buat seketika, dia terlupa Nasir dan Wafiy masih berada di situ. Zarfan menggeleng seraya bangun.

"Bukan masalah kau," ujar Zarfan pedas. Dia membuka langkah pergi. Meninggalkan Wafiy dan Nasir yang kelihatan tersentap.

* * * * * * * * * *

Zarfan memperlahankan rentak lariannya saat melihat kereta Umar yang tersadai di tepi jalan dihadapan rumahnya. Dia mengetuk tingkap di bahagian pemandu, memberitahu Umar yang sedang khusyuk bermain telefon akan kehadirannya.

Umar menurunkan tingkap keretanya. "Masuk," arahnya.

Zarfan mengerutkan dahi sebelum telinganya menangkap bunyi kereta itu dinyahkunci. Dia berlalu ke bahagian penumpang disebelah Umar.

"Yang kau tiba-tiba nak jumpa aku di sini kenapa?" tanya Zarfan pelik.

"Saja. Kenapa? Tak boleh? Salah?" bidas Umar seakan memerli.

Zarfan mencebik. "Kau dapat mana nombor telefon aku hah? Seingat aku, aku tak pernah lagi bagi nombor aku kepada kau," tanya lagi. Dia memandang Umar dengan penuh curiga.

Umar tertawa. Namun tawanya tak seperti biasa. Tawanya kali ini kedengaran dingin. "Itu kau tak perlu tahu. Sekarang, aku ada perkara lain nak beritahu kau," katanya.

"Apa?"

"Selepas ini, kita akan jarang berjumpa. Aku harap, kau akan jaga diri sepanjang ketiadaan aku. Jaga solat, jaga kesihatan dan jaga keselamatan kau. Aku tak nak bila aku pulang nanti, macam-macam yang aku dengar pasal kau. Faham tak?" arah Umar.

Zarfan mengerutkan dahi. Buat pertama kalinya sejak bertemu Umar, dia melihat wajah Umar yang sangat serius. Lansung tiada senyuman yang menghiasi wajah itu seperti selalu.

Lagipun gaya bicara Umar, tak ubah seperti pesanan seorang ayah kepada anaknya.

"Kau dapat hadam arahan akukan? Sekarang, pergi masuk rumah. Jangan merayap lagi," arah Umar lagi.

Belum sempat dia membalas, Umar terlebih dahulu menolaknya keluar. Mudah sahaja kerana dia tidak menutup pintu kereta tadi. Sebaik sahaja dia keluar, Umar menutup pintu keretanya lalu memandu pergi.

Membuatkan Zarfan terpinga-pinga sendiri.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now