12: Masjid

413 58 2
                                    

Suasana didalam masjid itu sepi. Sepi yang mendamaikan. Solat jemaah fardhu asar sudah berlalu setengah jam. Kebanyakan ahli jemaah telah pulang ke rumah masing-masing.

Hanya dua saf jemaah yang ada tadi. Itupun rata-ratanya terdiri dari warga tua. Keadaan masjid yang lengang itu semakin lengang dari hari ke hari.

Manusia semakin galak mengejar dunia.

Suruhan Allah dibiar tanpa diambil peduli.

Mereka lupa siapa yang menciptakan mereka.

Lupa untuk bersyukur atas pemberian Allah SWT.

Semua kerana terlampau seronok dibuai godaan dunia.

Zarfan memandang Umar yang sedang khusyuk membaca al-quran selang beberapa saf didepannya. Tenang dan lancar sahaja bacaannya. Ketika menyanyi pun suara Umar sudah cukup sedap, apatah lagi ketika membaca al-quran. Bertambah-tambah merdu suaranya. Mengalahkan imam solat asar tadi. Suaranya tak ubah seperti buluh perindu sehingga mampu menusuk setiap hati yang mendengar.

Tetapi...

Sungguh dia tak mengerti, mengapa Umar perlu sejauh itu untuk membaca al-quran. Malah ketika solat berjemaah tadi pun, Umar sengaja melambatkan masa untuk masuk ke dalam saf. Seakan pemuda itu sedang mengelak darinya. Dia dapat merasakan yang Umar cuba mengelak dia dari melihat wajahnya.

Tiba-tiba, kelibat Umar hilang digantikan sekumpulan remaja lelaki yang sedang duduk di dalam bulatan. Seakan sedang berusrah. Zarfan cuba mengecilkan mata demi menajamkan penglihatannya, tetapi dia tetap tak mampu melihat wajah mereka dengan jelas. Hanya suara seorang pemuda yang duduk membelakangi mimbar lantang menerjah deria pendengarannya.

"Persahabatan yang sejati adalah persahabatan yang benar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Ini adalah perhubungan yang paling indah selain hubungan kekeluargaan. Tak ramai yang berpeluang untuk menikmati persahabatan yang sebegini rupa. Kerna itulah, sahabat sejati amat mahal harganya sama ada di dunia ini mahupun di akhirat sana. Jika kalian bertemu insan yang layak bergelar sahabat sejati...maka ingatlah pesan saya, jangan sesekali lepaskan dia kerana dia mungkin saham kita di akhirat nanti".

Entah mengapa, suara itu seakan mengusik sesuatu dalam kotak ingatannya. Sesuatu yang terpendam jauh di dalam fikiran separa sedarnya.

"Macam mana kita nak pastikan seseorang itu adalah sahabat sejati kita?" tanya seorang remaja yang memakai baju-t berwarna hijau gelap sambil mengangkat tangannya.

"Bila dia sentiasa ada di sisi di kala setiap jatuh dan bangun kita. Tak pernah tinggalkan kita. Sentiasa memahami apa yang dalam hati tanpa perlu kita luahkan. Yang sentiasa membantu kita tanpa meminta balasan. Dia yang tak pernah pedulikan siapa kita, latar belakang kita, status kita kerna apa yang ada dalam fikiran dia, kita ialah kita. Jadi, pernahkan kalian menemui insan sebegini seumur hidup kalian?" jelas pemuda itu lagi. Suaranya tenang bagaikan permukaan air tasik yang jernih.

"Siapa? Kau nak kata diri kaulah?" usik seorang pemuda yang berkulit cerah.

Pemuda yang bertazkirah itu tadi tertawa kecil. "Mana ada. Saya saja bertanya, tak ada maksud lain ya," nafinya dalam ketawa yang masih tersisa.

"Eleh, nafikan konon," ejek kawannya yang lain.

"Hishh, apa fitnah-fitnah orang ini. Tak baik. Jaga korang nanti. Keluar sahaja dari masjid ini, jangan tanya kenapa aku belasah korang," ugut pemuda itu dalam nada bergurau.

"Ampun tuanku beribu ampun. Patik sekadar bergurau tuanku. Janganlah berkecil hati. Tak manis andai tuanku berbicara kejam seperti tadi. Maka, maafkanlah patik tuanku," ujar pemuda yang berkulit cerah itu tadi dengan lagak seorang rakyat datang menghadap sultannya.

Terus pecah ketawa mereka semua namun masih dalam nada terkawal. Masih sedar bahawa mereka masih berada di rumah Allah.

"Zarfan".

Zarfan tersentak bila bahunya disentuh orang. Pandangannya bertembung dengan wajah Umar yang sedang mengerutkan dahi sebaik sahaja dia bepaling. Sukar untuk dia meneka apa yang Umar fikirkan kerana cermin mata hitam Umar menghalangnya dari membaca wajah Umar. Terasa sedikit menyesal kerana terlepas peluang untuk melihat Umar tanpa cermin matanya tadi gara-gara termenung jauh tanpa dia sendiri sedar.

"Zarfan? Kau ok ke?" tanya Umar risau melihatkan gelagat Zarfan yang tidak seperti biasa itu.

Zarfan tak segera menjawab. Dia melarikan pandangannya ke arah kumpulan pemuda itu tadi. Terkebil-kebil matanya apabila mereka telah tiada disitu.

Lenyap.

Bagaikan satu ilusi semata. Terus dia tersedar yang kumpulan pemuda itu sememangnya tidak wujud di situ. Tadi itu hanyalah cebisan memorinya. Memorinya ketika kecil yang ingin dia lupakan.

Dahi Umar semakin berkerut melihatkan keadaan Zarfan yang bagaikan tidak berpijak dibumi nyata itu. Terus dia mencengkam lembut rahang Zarfan lalu memaksa Zarfan memandangnya.

Pap!

Umar menepuk tangan betul-betul didepan muka Zarfan. Kekuatan bunyi tepukan Umar bergema di seluruh sudut ruangan masjid itu sekaligus menyedarkan Zarfan dari hambatan kenangan semalam.

"Kau pandang apa di sana?" tanya Umar. Kepalanya digerakkan ke arah tempat duduknya tadi. Tiada apa-apa di sana yang mampu menarik perhatian Zarfan sehingga mengabaikan keadaan sekeliling.

"Tak ada apa-apalah," nafi Zarfan sambil meraup rambutnya ke belakang dengan jari-jemarinya.

"Kau sudah habis ke? Jomlah balik," ajaknya. Dia bangkit dari duduknya.

Umar tak berganjak malah merenung Zarfan yang cuba melarikan pandangannya. Teragak-agak dia menuturkan soalan, "Fan, kau teringatkan abang kau ke?"

Zarfan merasakan jantungnya bagai disentap oleh tangan ghaib. Mukanya berubah pucat tak berdarah. Matanya pula bulat memandang Umar dengan pandangan marah bercampur takut.

"Aku tak ada abang!" nafinya.

"Zarfan..." keluh Umar. Nampaknya Zarfan masih belum menerima pemergian abangnya sehingga menafikan kewujudan abangnya.

"Baiklah..." akur Umar. "Kau tak ada abang. Aku tak akan tanya apa-apa lagi".

"Tak! Aku tak ada abang". Zarfan menggeleng laju.

Umar berubah cemas melihat reaksi Zarfan. "Zarfan..."

"AKU TAK ADA ABANG!" Tiba-tiba Zarfan menjerit kuat, memecahkan kesunyian di dalam masjid itu. Mujur hanya mereka berdua sahaja yang ada di situ ketika itu.

Umar mencengkam bahu Zarfan yang hendak melarikan diri itu. "Maafkan aku. Aku tak patut cakap macam itu..." ujarnya kesal.

Zarfan menundukkan kepalanya. Gerimis mula turun membasahi pipinya. Dia menekup muka dengan kedua-dua tangannya. Bahunya terhenjut-henjut mengikut rentak tangisannya.

Umar memandang Zarfan dengan pandangan simpati sebelum menarik pemuda itu ke dalam dakapannya. Belakang kepala Zarfan diusap seakan sedang memujuk anak kecil.

"Sudah. Jangan menangis. Aku janji tak akan cakap tentang perkara ini lagi. Aih, malulah lelaki menangis. Kaukan kuat. Jadi, janganlah menangis," pujuk Umar.

"Aku benci abang," ujar Zarfan dalam tangisannya.

"Abang penipu... Dia kata, dia tak akan tinggalkan aku. Dia akan terus lindungi aku dan ibu. Tetapi...kenapa dia pergi! Kenapa dia tipu aku! Aku benci dia! Aku benci abang!"

Zarfan meluahkan isi hatinya. Dia menumbuk-numbuk dada Umar tanpa sedar. Dia ingin melepaskan kesakitan hatinya. Kerana Umar orang berada dekat dengannya saat ini, maka Umarlah menjadi mangsa amarahnya.

Umar sekadar membiarkan. Dia tahu sudah terlalu lama Zarfan memendam rasa itu. Maka dia tak kisah menjadi beg pasir Zarfan jika itu yang membuatkan Zarfan lega. Lagipun, dia sememangnya layak dipukul kerana dialah penyebab Zarfan kehilangan abang kesayangannya....

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now