28: Misteri Umar

425 63 2
                                    

Zarfan berdiri di hadapan sebuah rumah lama yang tidak berpenghuni. Dia menarik nafas dalam sebelum menolak pagar rumah itu. Dengan langkah perlahan, dia menjejakkan kaki ke halaman rumah itu.

Rumah lamanya dahulu semasa keluarganya yang lain masih hidup.

Rumah yang didudukinya sekarang adalah milik keluarga angkatnya.

Sengaja dia datang ke situ. Entah mengapa, tiba-tiba kerinduannya terhadap keluarganya membuak-buak.

Segugus kunci dikeluarkan dari kocek seluarnya. Pintu rumah itu dibuka. Dinding berdekatan pintu diraba bagi mencari suis lampu. Dipetik lalu lampu mula menyala menerangi kawasan ruang tamu itu.

"Pelik, tak akan elektrik tak kena potong?" gumam Zarfan sendirian. Dari awal lagi dia telah menyediakan lampu suluh kerana menyangka tiada lagi bekalan elektrik yang disalurkan ke rumah itu.

Ternyata dia salah.

Malah, keadaan di dalam rumah itu kelihatan agak kemas untuk rumah yang telah lama tak berpenghuni. Ada orang yang menjaga rumah inikah?

Tak mahu membiarkan persoalan yang tak berjawapan itu terus membelenggu fikirannya, Zarfan berlalu ke kamarnya. Lampu suluh yang dipegang tadi dimasukkan semula didalam beg galas kecil yang dibawanya bersama. Dia agak tergamam melihat biliknya yang masih sama seperti dahulu. Tiada apa yang berubah. Tanpa mampu dielak, kenangan-kenangan lamanya terimbas tanpa sengaja dalam kepalanya.

Zarfan terkekek ketawa perlahan mengintai abangnya yang baru pulang dari kerja. Kedengaran abangnya memanggil namanya berulang kali. Dia tak menyahut, sebaliknya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.

"Abang!" sergahnya sambil menolak pintu almari yang menjadi tempat persembunyiannya. Sepucuk pistol air ditala ke arah abangnya. Sebaik sahaja abangnya berpaling, terus dia menembak tepat ke muka abangnya.

"Afan!!" marah abangnya.

Dia terkekek ketawa. Lucu melihat abangnya yang sibuk mengelap mukanya dengan baju.

Tetapi ketawanya tak lama. Tergesa-gesa dia menutup pintu almari apabila abangnya melangkah mendekatinya. Jantungnya berdegup kencang. Akibat leka mentertawakan abangnya, dia terlupa untuk melarikan diri.

Sekarang, dia sudah terperangkap!

"Hahaha, nak lari mana?" tanya abangnya dengan senyuman lebar seperti Joker. Pintu almari ditahan hanya dengan sebelah tangan. Budak kecil lawan remaja, pastilah abangnya yang menang. Lainlah kalau dia sudah besar dan kuat seperti abangnya itu.

"Abang, tak naklah. Nanti Afan basah," rengeknya tatkala abangnya merampas pistolnya dengan mudah lalu dihalakan muncung pistol air itu ke bajunya. Dia patut sedar, mustahil abangnya akan mendengar rayuannya selepas apa yang dia lakukan kepada abangnya tadi.

"Abang!" jeritnya geram sebaik sahaja abangnya menembak air ke bajunya. Giliran abangnya ketawa.

Zarfan memuncungkan mulutnya. Dia menolak pintu almari itu seraya melompat keluar. Dia menghentakkan kaki sambil melangkah ke katilnya. Tangannya disilang didepan dada.

"Eh, merajuk?" tanya abangnya.

Zarfan sekadar menjeling.

Abangnya melemparkan senyuman manis. Dia menghampiri Zarfan. Tubuh kecil Zarfan ditolak sehingga terlentang diatas katil sebelum dia menembak lagi. Baju Zarfan semakin lencun dibasahi air. Bukan itu sahaja, katil kesayangannya turut menjadi mangsa.

"Abang!!!" jerit Zarfan. Dia cepat-cepat bangun. Bantal-bantalnya dicapai lalu dibaling bertalu-talu ke arah abangnya. Abangnya hanya selamba mengelak selamba sambil ketawa.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now