Silam 4: Retak

477 60 2
                                    

Eusuf memandang Umar dari kejauhan. Tekun sahaja pemuda itu membaca buku teks sejarah. Sesekali, tangannya bergerak menutup mulut yang tak sudah menguap. Namun Umar tetap tak mengalah pada rasa mengantuknya. Pembacaannya diteruskan walaupun matanya kuyu hampir tertutup.

Sejak peristiwa tempoh hari, Eusuf mula memandang Umar dari sudut pandangan yang berbeza. Lama-kelamaan, rasa kagum kepada Umar mula menimbun dalam hatinya. Sungguh, Umar bukan seperti remaja lain yang dikenalinya.

Umar sentiasa tenang dalam apa jua situasi. Hatta ketika berdepan dengan Haiqal sekalipun. Ramai kawannya melabel Umar sebagai pengecut kerana lelaki itu tidak pernah membalas perbuatan mereka dengan kekerasan. Umar sekadar membidas dengan kata-kata sehingga mereka terpegun tak terkata lalu pergi menjauhi mereka.

Kadang dia hairan, mana menghilangnya sisi Umar yang dilihatnya tempoh hari. Sedangkan Umar sangat mahir berlawan. Setakat dia, Naufal, Kauthar dan gengnya yang lain-lain...pasti mudah sahaja pemuda itu menewaskan mereka. Tak keterlaluan kalau dia menafsirkan kekuatan Umar setaraf Danial dan mungkin juga sekuat Haiqal yang paling kuat di antara mereka.

"Eusuf, kau tak mahu rehatkah?" tanya Kauthar sambil menyentuh bahunya dari belakang.

Eusuf berpaling. Menatap Kauthar, Kabir dan Afiq yang sedang memandangnya. Entah kenapa, dia tak terasa ingin melepak bersama mereka sekarang ini. Fikirannya lebih tertumpu kepada Umar.

"Aku nak beli nasi lemak sahaja. Aku nak rehat di kelas. Malas nak makan di kantin hari ini dengan korang," jawab Eusuf sambil berdiri.

Afiq mengangkat keningnya sebelah. "Sejak bila kau malas?"

"Dia memang pemalas sejak azali lah, Af. Ingat masa kita datang rumah dia dahulu? Bilik bersepah mengalahkan reban ayam!" kutuk Kauthar.

Pecah ketawa mereka bertiga.

Eusuf membuat muka meluat. "Eleh, macamlah bilik kau kemas sangat. Dua kali lima sahaja dengan aku," bidasnya.

"Dua kali lima sepuluh. Itu pun kau tak tahu ke?" sampuk Kabir. Ketawa mereka kembali bergema.

Eusuf merengus. "Sudahlah. Malas aku layan korang," rajuknya lalu melangkah keluar dari kelas.

"Kabir, sejak bila kawan kau yang seorang itu pandai merajuk?" tanya Kauthar kehairanan.

"Sejak Qaseh tolak cintanya semalam," balas Kabir sambil ketawa. Lawak mengingatkan peristiwa semalam. Punya payah Eusuf mengumpul kekuatan untuk memberi hadiah hari lahir untuk Qaseh namun ditolak mentah-mentah. Kata gadis itu:

"Saya tak suka orang yang tak hormat abah saya! Jangan harap saya nak terima hadiah dari orang macam abang!" bidas Qaseh dengan beraninya.

Rupanya Qaseh ialah anak cikgu Fatih. Padanlah gadis itu berkulit cerah seperti cikgu Fatih. Setelah itu, puas mereka mengelakkan Eusuf. Mahu mengurat si anak namun si abahnya dibuli. Siapa sahaja tak marah kalau berada di tempat Qaseh.

"Sudahlah. Mari kita ke kantin. Perut aku sudah bergendang dari tadi" ajak Afiq sambil mengusap perutnya.

"Jom! Aku pun lapar juga," sahut Kauthar. "Tetapi ada orang itu tak lapar aku tengok. Berbulu mata aku tengok dia membaca pada waktu rehat macam ini," sambungnya lagi. Mulutnya dimuncung ke arah Umar.

Serentak dua kepala kawannya itu berpaling. Tersungging senyuman nakal di bibir masing-masing. Hati mereka terdetik untuk mengenakan Umar. Hari-hari yang mereka lalui tak lengkap tanpa mengenakan Umar.

"Hoi! Korang buat apa lagi! Jenuh aku tunggu korang di tangga. Kata nak makan!" sergah Eusuf dari belakang.

Terangkat bahu mereka bertiga akibat terkejut. Hancur terus niat untuk mengenakan Umar. Umar yang tersedar dari kekhusyukkannya membaca sekadar tersenyum memandang mereka. Bagai dapat mengagak apa yang difikirkan mereka saat itu.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now