32: Tangisan

428 63 1
                                    

    Umar memerhatikan suasana disekitar tasik. Matanya meliar mencari kelibat yang sedang menantinya. Langkah kembali diatur apabila bertemu bayangan yang dicari di jambatan kecil yang merintangi tasik.

    "Assalamualaikum". Umar menegur Qaseh yang sedang khusyuk termenung memandang tasik.

    Qaseh berpaling. Senyuman manis terukir dibibirnya melihat ketibaan Umar sambil dia menjawab salam yang Umar lafazkan tadi. Betapa gembira hatinya apabila Umar menghantar mesej untuk bertemu. Siapa sahaja tidak suka, kekasih hati meminta ingin bertemu?

    "Lama kita tidak bertemukan?" tanya Umar berbasa-basi.

    Qaseh mengangguk sambil berpaling memandang tasik semula. Tak mahu terus memerhatikan wajah Umar yang sememangnya dirindui. Jantungnya mula memainkan rentak yang lebih rancak dari biasa. Membuatkan dia sengaja menarik nafas dalam seraya dihembus perlahan-lahan untuk menenangkan diri.

    "Ya, terlalu banyak perkara yang berlaku sehingga kita tak sempat untuk berjumpa," balas Qaseh dengan nada yang lembut.

    Umar merehatkan tangannya diatas penghadang kayu di jambatan kecil itu. Sengaja dia menjarakkan kedudukannya dengan Qaseh. Seperti Qaseh, dia turut melemparkan pandangannya ke arah tasik. Tetapi ke arah yang bertentangan dengan Qaseh. Mereka saling membelakangi kerana ingin menjaga hati masing-masing.

    "Qaseh..." panggil Umar setelah suasana diantara mereka menyepi buat seketika. Masing-masing menghayati suasana damai pada petang itu. Cuaca yang redup dipayungi awan putih, langit tinggi yang membiru, kicauan riang burung-burung yang berterbangan bebas diudara, pawana yang menghembus perlahan menampar pipi dan dedaun pohon yang menari lembut mengikut rentak pawana.

    "Aku sudah membuat keputusan. Memandangkan tak lama lagi Eusuf akan mengadakan reunion..."

    "Abang nak pergi?" potong Qaseh. Dia memusingkan tubuhnya seraya menghadiahkan jelingan tajam ke arah Umar yang turut sedang memandang ke arahnya. Rasa berbunga yang beraja dalam hatinya tadi terus terkubur.

    Lambat-lambat Umar mengangguk.

    "Tetapi kenapa? Kenapa abang tetap nak pergi? Kenapa abang terlalu takutkan Batch Lagenda? Abang jauh lebih kuat dari mereka. Kenapa abang yang kena tunduk kepada mereka?!" suara Qaseh memetir akibat kecewa. Kecewa dengan keputusan Umar yang dirasakan amat terburu-buru itu. Sungguh dia tak pernah dapat memahami hati seorang Umar. Dia tak dapat memahami kenapa Umar memilih untuk pergi sedangkan kebahagiaannya ada di sini.

    Umar merenung wajah Qaseh redup. Sungguh hatinya sakit melihat mutiara jernih yang terbit di tubir mata gadis itu disebabkannya. Berapa kali dia perlu menghancurkan hati Qaseh yang setia mencintainya itu.

    "Macam mana dengan Afan? Tak akan abang nak tinggalkan Afan sekali lagi?!" Qaseh terus mengamuk bila Umar kekal membisu.

    "Afan akan terus ada disini. Tak ada apa-apa yang akan berubah dalam hidupnya. Lagipun, dia sudah ada Batch Lagenda yang boleh menjaganya. Dia tak perlukan aku pun hakikatnya, Qaseh". Umar berpaling memandang tasik semula. Air mata yang bergenang di tubir mata segera diseka. Dia tak mahu kelihatan lemah di depan wanita itu.

    "Tapi macam mana dengan Qaseh pula? Qaseh sanggup menolak semua lamaran yang datang demi menunggu abang. Qaseh sanggup menolak abang Eusuf yang jelas-jelas mencintai Qaseh kerana abang! Mana hati dan perasaan abang?! Susah sangatkah untuk abang cuba mencintai Qaseh sebagaimana Qaseh mencintai abang? SANGGUP ABANG MEMPERMAINKAN HATI DAN PERASAAN QASEH BEGINI?! ABANG MEMANG PENGECUT!!!"

    "Siapa kata aku tak cinta pada kau Qaseh?" potong Umar tiba-tiba. Membuatkan kemarahan Qaseh yang menggelegak tiba-tiba membeku. Matanya terkebil-kebil memandang Umar.

    "Sejujurnya Qaseh, aku memang telah lama mencintai kau. Tak ada sesiapa yang mampu mengubah rasa ini. Ramai wanita yang sudah aku ketemu, ramai juga yang aku berkawan tetapi hanya kau yang menjadi pilihan aku aku. Permaisuri hati aku sejak zaman sekolah lagi. Aku berdiam diri kerana menyangka kau dan Wan saling mencintai".

    "A...a..bbangg ttii...ppu," nafi Qaseh yang tergagap teruk.

    Umar menggeleng perlahan. "Aku tak menipu Qaseh namun berbalik pada topik perbualan kita yang asal, aku tak akan ubah keputusan aku, Qaseh. Maaf kerana terlanjur melukai hati kau," ujar Umar kesal.

    Qaseh tertawa sinis. "Mudahnya Qaseh terpedaya dengan lakonan mantap abang. Hah! Qaseh lupa...abang dan abang Zaqwan ialah dua insan yang berlainan bagaikan malam dan siang. Yang baik itu hanyalah abang Zaqwan, bukan abang. Abang Zaqwan tak akan pernah melukakan hati orang lain seperti apa abang buat. Malah dia tak akan tinggalkan keluarga kerana takutkan bekas kawan-kawannya!" bidasnya.

    "MEMANG AKU BUKAN ZAQWAN!" suara Umar meninggi mendadak. "Berhenti bandingkan aku dengan dia! Berhenti cakap Zaqwan ini, Zaqwan itu, Zaqwan begini, Zaqwan tak akan buat begitu, Zaqwan akan buat begini. AKU IALAH AKU! DIA IALAH DIA!" tengking Umar. Dia menunjuk ke arah dadanya sebelum menundingkan jarinya ke arah lain seakan-akan menunjuk ke arah Umar Zaqwan yang tidak wujud di situ.

    Qaseh menikus. Dia tertunduk takut. Pertama kali Umar menengkingnya.

    "Kau tak akan faham Qaseh, apa perasaan bila hidup kau dan kembar kau sangat berbeza. Sejak kecil, Zaqwan sentiasa dapat kasih sayang yang cukup dari umi dan walid. Sedangkan aku...diberi kepada orang lain. Kemudian, kawan-kawan yang dahulu ada disisi aku setiap saat duka dan duka, menjauh kerana lebih sukakan Zaqwan yang serba sempurna dibandingkan dengan aku. Nampak sangat betapa murahnya nilai aku kepada mereka sehingga begitu mudah persahabatan kami tergadai. Bila Zaqwan pergi, semua orang salahkan aku. Apa salah aku, Qaseh? Salahkah aku kerana tidak sesempurna Zaqwan? Apa aku memang tidak berhak untuk bahagia? Bahkan wanita yang aku cintai turut menjadikan aku pengganti Zaqwan. Dia tak tulus mencintai aku..."

    Tangisan Qaseh semakin melebat. Dia menekup mulut dengan tangan kanannya sambil menggeleng. Menafikan dua ayat terakhir Umar.

    "Terima kasih kerana menyintai aku biarpun kau hanya menganggap aku pengganti Zaqwan. Ternyata, aku dan Eusuf senasib. Mencintai gadis yang tak mampu dimiliki".

    Umar ketawa kosong dalam nada perlahan. Dia merenung wajah Qaseh buat kali terakhir sebelum berpaling. "Aku selalu tertanya, kenapa Zaqwan yang perlu pergi, bukannya aku? Kalau Zaqwan masih hidup, mesti semua akan bahagia... Maka Qaseh, maafkan aku kerana aku yang hidup selepas kejadian itu, bukannya Zaqwan..."

    Qaseh terduduk diatas lantai jambatan apabila Umar beredar pergi tanpa menoleh ke belakang lagi. Esakannya semakin kuat.

    "Maafkan Qaseh, abang. Maafkan Qaseh..." ujarnya berulang kali. Dia tak sengaja terlepas kata. Bukan niatnya untuk melukakan hati lelaki itu. Bukan dia tak tahu, di sebalik kegagahan dan ketabahan yang Umar tunjukkan, lelaki itu memiliki hati yang amat rapuh. Serapuh kaca yang mudah berderai pecah bila dihentak sesuatu. Sama sepertinya yang menghentak hati Umar dengan kata-kata tajamnya.

    Tanpa Qaseh sedari, Umar lansung tak ke mana-mana. Dia hanya bersembunyi di bawah pokok hujan yang batangnya sebesar dua pemeluk manusia yang hanya sekitar seratus meter dari tempat Qaseh berada.

    Seperti Qaseh, Umar turut teresak hiba. "Benar kata kau, Qaseh. Yang baik Zaqwan, bukan aku. Zaqwan tak akan lukakan hati orang lain kerana dia bukan pengecut. Akulah yang pengecut," ujar Umar. Dia mengintai Qaseh di sebalik batang pokok itu. Melihat Qaseh menangis, tangisannya turut bertambah lebat. Siapa sangka, pertemuan yang awalnya indah, bila berubah duka tak sampai setengah jam.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now