Zarfan melabuhkan punggung di celah banir pokok ketapang yang tumbuh di tepi tasik. Dia duduk memeluk lutut sambil merenung permukaan tasik yang bergelora ditimpa air hujan. Pakaiannya semakin lencun disirami hujan yang menitis dicelah dedaun dan dahan pokok yang menjadi tempat teduhannya itu.
Dia tak peduli.
Dipejamkan mata dan membiarkan titik-titik hujan menimpa dirinya.
Dari celahan mata, mengalir mutiara jernih. Bercampur dengan air hujan sebelum jatuh meresap ke tanah.
Zarfan menangis dalam sepi.
Tiada esakan yang kedengaran.
Sungguh, dia berasa walang. Dia rindukan keluarganya terutama abangnya.
Namun dia sedar...
Sekuat mana dia menjeritkan nama mereka...
Setinggi mana kerinduannya kepada mereka...
Mereka tetap tidak akan muncul.
Apatah lagi kembali ke sisinya.
Antara dia dan mereka, kini ada garisan bernama kematian yang memisahkan mereka.
Sungguh, kehilangan keluarganya membuatkan dia ibarat burung yang kepatahan sayap. Dia lemah. Selalu kalah dengan emosi yang tak mampu dia jinakkan.
Dalam tujuh tahun ini, dia cuba menutup kesedihan dan kelemahannya dengan sikap dinginnya. Dia menjauhi semua kerana enggan mereka meneka apa yang ada dalam hatinya. Namun segalanya punah bila Umar muncul.
Kemunculan Umar...entah mengapa mengubat kerinduan terhadap keluarganya. Bila berdekatan dengan Umar, secara automatiknya dia terasa selamat dan damai. Perasaan yang dapat dirasakan bila kita berada bersama keluarga.
Tapi...
Umar bukan siapa-siapa.
Dia yakin, Umar bukan arwah abangnya.
Cuaca dirasa kian sejuk. Tubuhnya turut mengigil. Dinginnya terasa bagai mencengkam hingga ke tulang hitam. Sudah beberapa kali dia terbersin. Namun Zarfan setia duduk disitu. Hanya dengan cara itu, fikirannya tenang saat kerinduan terhadap keluarganya memuncak.
Tiba-tiba terasa tiada lagi hujan membasahi mukanya. Zarfan menoleh sambil mendongakkan kepala. Dari pandangan kaburnya, dia melihat Umar sedang berdiri bersama sekaki payung.
Zarfan menguntum senyuman lemah. "Abang Umar..." tuturnya tanpa sedar. Kemudian dia memejamkan mata. Tubuh longlainya jatuh ke tanah.
Umar mengeluh berat. Dia menutup payung yang dipegangnya untuk memudahkan dia mengangkat Zarfan. Tubuh remaja itu dikendong dibelakangnya menuju ke keretanya yang diparkir di bahu jalan. Kemudian, keretanya dipandu membelah jalan raya menuju ke rumah Zarfan.
-----------------------------------------------------------
Zarfan menyorok disebalik dinding. Sebaik sahaja seorang pemuda berjalan melepasi dinding itu, terus dia melompat menerpa belakang pemuda itu. Pemuda itu yang tidak bersedia, terus terjatuh dalam keadaan meniarap.
Zarfan ketawa seronok. Pistol mainannya diacukan ke kepala pemuda itu lalu dia menekan picu. Keluar air berwarna merah memancut mengenai pemuda itu. "Yeah, abang Umar sudah kalah!"
Umar memusingkan badannya ke posisi menelentang. Dia memaut pinggang Zarfan lalu menjatuhkan budak kecil itu. Dia bangkit lalu mengeletek perut Zarfan. Mengekek Zarfan ketawa kegelian.
"Abang...ge..geli.. Ber..henti..lah," pinta Zarfan dalam ayat yang terputus-putus diselangi ketawa. Matanya sudah berair.
Umar berhenti mengeletek Zarfan. Dia berdiri lalu mengeluarkan pistol mainannya yang lebih kecil dari Zarfan. Dia mengukir senyuman keji lalu menembak pistol airnya ke arah Zarfan. Kini, Zarfan dibasahi dengan air berwarna biru.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
De TodoBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...