"Zarfan, baru balik?" tegur satu suara garau. Langkah Zarfan terhenti di anak tangga ketiga. Dia menoleh kepala memandang ayah angkatnya yang sedang duduk membaca surat khabar di ruang tamu.
"Emmm..." jawabnya tanpa membuka mulut. Walaupun dia sudah berhasrat ingin berubah, namun dia tetap kekok dengan ayah angkatnya itu. Tambah pula personaliti tegas ayah angkatnya yang merupakan bekas tentera itu semakin menambahkan jurang perhubungan mereka. Belum pernah mereka duduk berbual mesra sejak dia masuk ke dalam keluarga ini.
Masih segar di ingatannya kali pertama dia bertemu dengan lelaki tua itu. Selepas majlis pengembumian abang dan ibunya, dia mengurungkan diri di rumahnya.
Tak makan.
Tak minum.
Tak mandi.
Keadaannya bagaikan mayat hidup. Sehinggalah lelaki tua itu datang mengetuk pintu rumahnya dan mempelawanya tinggal bersama. Lelaki tua itu berjanji akan menjaganya bagaikan anak sendiri. Sejak hari itu, dia tinggal bersama pak cik Akmal di rumah ini.
"Mak cik kamu sudah masak untuk kamu. Pergilah makan. Ada di bawah tudung saji dekat meja makan sana," suruh pak cik Akmal.
Zarfan mengundurkan langkah ke belakang. Dia melangkah ke dapur. Benar kata ayah angkatnya. Sudah ada makanan tersedia di bawah tudung saji. Makanan kegemarannya. Aroma lauk ikan bawal tiga rasa dan sayur campur menyapa deria baunya sekaligus membangkitkan seleranya. Perutnya berbunyi lantaran tidak tahan dengan godaan makanan di depan mata.
"Mak cik mana, pak cik?" tanya Zarfan sambil mencapai pinggan. Diambil nasi putih sebanyak dua senduk setengah lalu diletakkan diatas pinggannya.
Pak cik Akmal tak segera menjawab. Hakikatnya, dia terkaku mendengar pertanyaan yang tak disangka-sangka itu. Buat pertama kalinya Zarfan menunjukkan riak prihatin.
"Dia pergi ke kedai sekejap. Nak beli cili kering katanya," jawabnya setelah pulih dari hambatan rasa terkejutnya. Matanya kembali memandang barisan ayat yang tertera di surat khabar.
Zarfan mengangguk tanpa bunyi. Dia menarik kerusi lalu duduk menikmati makanannya. Suasana berubah sunyi tanpa kata dan perbualan. Diam-diam, pak cik Akmal memandang Zarfan dengan ekor matanya.
'Sabarlah nak. Tak lama lagi Afan...Afan akan dapat kebahagiaan Afan balik'.
-----------------------------------------------------------
Cikgu Fatih turun dari motor Honda RS 15R berwarna biru hitam. Topi keledar yang berwarna hitam berkilat ditanggalkan lalu disangkut pada bahagian pemegang motor. Beg yang diletakkan di dalam raga motor diambil lalu digalas. Dia memejamkan mata sambil menarik nafas dalam.
Dengan ucapan bismillah, dia mula melangkah memasuki kawasan perkuburan itu. Sunyi sahaja keadaan di kawasan itu. Sama seperti kali terakhir dia datang ke situ kira-kira tujuh lepas.
Matanya khusyuk memandang deretan pokok kemboja yang berbunga lebat. Tumpuannya terganggu apabila kedengaran bunyi ranting pokok dipijak sebelum matanya menangkap satu kelibat menyusup laju memasuki semak berhampiran. Manusia tetapi wajahnya tak sempat dilihat siapa.
Cikgu Fatih tak mengendahkan keadaan aneh itu. Dia terus menapak ke sebuah kubur yang agak bersih dari kubur-kubur yang lain. Kubur arwah pelajar kesayangannya.
Umar...
Dia membentangkan sehelai kain lebar yang dibawanya tadi. Sebotol air mawar dan buku yasin turut dibawa keluar dari beg galasnya. Dia duduk bersila lalu mula membaca surah yasin dengan suara yang perlahan. Mutiara jernih mula bertakung di kolam matanya. Hatinya terasa sebak. Matanya memerah.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
RandomBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...