Eusuf merenung klinik swasta itu lama. Terpampang perkataan 'tutup' di hadapan pintu klinik. Suasana yang suram dapat dilihat dari pintu kaca yang tembus pandang itu. Eusuf melirik ke arah jam tangannya. Sudah sebelas malam. Kira-kira sudah sejam berlalu sejak klinik itu tamat beroperasi.
Tubuh disandarkan pada kerusi kereta sambil matanya terus memerhati ke arah klinik. Sedikit sebanyak, dia terasa hairan. Masakan Naufal masih tinggal sendirian di dalam klinik sedangkan semua pekerja yang lain sudah lama pulang.
Banyak sangatkah kerja lelaki itu?
Sedangkan Naufal yang dikenalinya agak penakut orangnya. Bukan takutkan orang tetapi makhluk yang bernama hantu.
Hendak dikata lelaki itu sudah pulang, tidak pulang dia melihat kelibat lelaki itu keluar dari klinik. Walhal, dia sentiasa peka dengan insan-insan yang keluar masuk klinik itu sejak magrib tadi. Cuma, klinik itu ditinggalkan sekejap untuk menunaikan solat isyak di surau berdekatan.
Penat menunggu, Eusuf mengambil keputusan untuk turun. Dia melintasi jalan menuju ke arah pintu klinik. Eusuf menghela nafas. Pintu kaca itu ditolak perlahan.
Berkunci.
Eusuf mengeluh sebelum pergi ke pintu belakang. Dipulas tombol pintu.
Tak berkunci.
Senyuman nipis tergaris di bibirnya tanpa sedar.
Dengan berhati-hati, Eusuf menyelinap masuk. Sedaya-upaya dia menapak tanpa mengeluarkan bunyi. Suasana suram di situ lansung tak menakutkannya. Dia menghentikan langkahnya sebaik sahaja tiba di ruangan menunggu. Kelihatan cahaya lampu terbias dari bawah pintu bilik rawatan yang berada paling kanan.
Eusuf merapati bilik itu. Keningnya diangkat sebelah tatkala membaca tanda nama yang tergantung di pintu.
Dr. Naufal bin Zikri.
Benar tekaannya, Naufal masih belum pulang. Dia tahu Naufal bertugas hari ini selepas melihat kelibat lelaki itu masuk ke klinik itu selepas magrib tadi. Cuma, dia tak sempat menegur lelaki itu.
Eusuf meliarkan matanya ke segenap sudut ruangan menunggu. Pendingin hawa yang masih hidup meniupkan udara sejuk melingkari kawasan itu. Suasana di situ lebih suram dari bahagian belakang klinik tadi. Tak ubah seperti lokasi pengambaran filem seram sahaja. Tiba-tiba dia tersenyum lebar.
Satu idea bernas muncul dikotak fikirannya.
* * * * * * * * * *
Tok! Tok! Tok!
Naufal mengangkat kepalanya dari meneliti laporan seorang pesakitnya. Dia memandang pintu seketika sebelum melarikan matanya ke arah jam dinding yang berada di atas pintu.
Sudah sebelas malam.
Setahunya, semua jururawat dan doktor yang lain sudah pulang. Hanya dia yang tinggal sendirian di situ.
Jadi, siapa yang mengetuk pintu?
Tok!
Tok!
Tok!Sekali lagi pintu diketuk sebanyak tiga kali. Tetapi dengan rentak yang lebih perlahan. Hati Naufal mula memainkan perasaan tidak enak.
Tok!
Tok!
Tok!
Buat kali ketiga pintu diketuk. Sela masa antara setiap ketukan semakin panjang. Dia bangkit menuju ke pintu. Dipegangnya tombol pintu tanpa dipulas. Lama dia berperang dengan perasaannya sama ada untuk membuka pintu atau membiarkan sahaja.
Tiba-tiba...
"Hi!...hi!..hi!...hi!"
Kedengaran bunyi hilaian di sebalik pintu. Semakin lama, hilaian itu kedengaran semakin kuat diselangi bunyi cakaran pada pintu. Lutut Naufal mula terasa lembik. Sungguh, hilaian itu benar-benar kedengaran menyeramkan.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kelam Semalam
De TodoBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...