Dada Zarfan mula berdegup kencang. Entah kenapa, dia merasakan ada orang yang mengekorinya. Bukan seorang, bukan dua tetapi ramai.
Hatinya pula yakin mengatakan bahawa mereka mempunyai niat buruk kepadanya. Hanya menanti waktu sesuai untuk bertindak. Namun Zarfan tetap mempamerkan riak biasa. Berlagak seakan-akan tidak menyedari kehadiran mereka.
Terdetik kesal kerana keluar pada malam-malam buta ini hanya kerana kebosanan. Sepatutnya dia hanya duduk dirumah.
Hendak berpatah semula, pasti dia akan bertembung dengan mereka. Tiada pilihan lain melainkan terus berjalan sehingga dia tiba di tempat yang agak selamat.
Sampai di satu simpang, Zarfan membelok lalu berlari sekuat hatinya membelah kegelapan malam. Dapat dia dengari dengan jelas bunyi-bunyi tapak kaki yang mengejarnya. Dia tak mengendahkan perkara itu apatah lagi berpaling ke belakang.
Apa yang lebih penting adalah menyelamatkan dirinya dahulu!
Dia berlari memasuki satu taman perumahan. Semua rumah di kiri kanannya sudah gelap menandakan penghuninya sudah lena dibuai mimpi.
Tiba-tiba matanya terpandangkan satu rumah yang masih menyala lampunya. Terus dia menukar arah ke sana. Harapannya kian berbunga melihat pintu pagar rumah itu turut terbuka luas.
"Ahh!" Zarfan menghela nafas kepenatan. Dia rebah ke atas lantai simen bersebelahan sebuah kereta Toyota berwarna biru. Terasa semua tenaganya telah meresap keluar dari tubuhnya. Dia tak berdaya untuk bangun akibat terlalu penat.
"Ya Allah, Zarfan! Apa yang kamu buat disini?!" tanya satu suara dalam nada terkejut.
Zarfan mengerutkan dahi mendengar suara yang seakan dikenalinya itu. Namun dia tak mampu mengangkat kepalanya untuk melihat siapa.
Dia merasakan badannya dialihkan ke posisi menelentang sebelum pipinya ditepuk beberapa kali. Dalam samar pandangan matanya, dia melihat wajah risau Cikgu Fatih memandangnya.
Kemudian, segalanya bertukar gelap.
* * * * * * * * *
Perlahan-lahan Zarfan membuka matanya. Suasana yang asing itu membingungkan fikirannya. Terus dia bangun secara mengejut sebelum terbaring semula. Dunia sekelilingnya berputar. Kepalanya turut berdenyut sakit.
"Jangan bangun dahulu. Badan Zarfankan masih lemah," sapa satu suara lembut.
Zarfan berpaling ke arah pintu. Dia terkedu melihat seorang gadis menatang dulang berisi sepinggan nasi dan segelas air kosong mendekati dia. Gadis itu meletakkan dulang itu di atas meja kecil di kepala katil.
"Kak Qaseh? Akak ke itu?" tanya Zarfan ragu-ragu.
Qaseh menguntumkan senyuman manis. "Ya, akak tak sangka Zarfan masih ingat akak," ujar Qaseh gembira.
"Kenapa Zarfan nak lupa akak pula? Zarfan bukan hilang ingatan," balas Zarfan selamba.
'Sebab Zarfan lupa siapa abang Zarfan..." kata Qaseh dalam hatinya. Dia menatap wajah Zarfan dengan pandangan sayu. Walaupun tak begitu serupa, wajah Zarfan tetap mengingatkan dia kepada abang remaja itu.
Arwah Umar Zaqwan....
"Hai, rancak sembang. Macam sudah kenal lama sahaja?" sampuk Cikgu Fatih yang baru masuk ke bilik itu.
Serentak Qaseh dan Zarfan berpaling ke arah pintu. Qaseh melemparkan senyuman kepada abahnya. "Memang sudah lama kenal, abah. Tapi masa itu, budak ini kecil macam ini lagi," jelas Qaseh sambil mengoyang-goyangkan tapak tangannya separas dengan pinggang. Kemudian dia tertawa kecil.
Zarfan mencebik. "Sudah Zarfan kecil lagi masa itu. Tetapi kenapa tinggi akak tak berubah ya? Terbantut ke?" gurau Zarfan. Kali ini dia yang ketawa kecil melihat Qaseh sudah bercekak pinggang.
ANDA SEDANG MEMBACA
Kelam Semalam
De TodoBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...
