Umar Haiqal tersengih melihat Zarfan membebel sendirian sambil menghadap kerja sekolahnya. Dari jauh sudah terlihat buku latihan Zarfan masih suci murni tanpa contengan pen mahupun pensil. Yang bergerak dari tadi hanyalah tangan yang sibuk menekan angka pada kalkulator dengan penuh geram.
"Soalan matematik apa yang kau buat yang susah sangat ini?" tegur Umar Haiqal. Kerusi didepan Zarfan ditarik. Begitu juga buku latihan pemuda itu. Matanya mengimbas sekilas soalan yang tertera sebelum tersengih sekali lagi. Soalan statistik rupanya.
"Aaa...senang sahaja soalan ini. Dia suruh cari purata sahajakan? Buat sahajalah," ujar Umar Haiqal.
Zarfan merengus. "Memanglah senang. Tetapi tengoklah bateri kalkulator Afan sudah mati," rungutnya. Kalkulator miliknya ditayang didepan mata abangnya. "Macam mana Afan nak buat?"
"Ohhh..." Umar Haiqal mengangguk faham. Ingatkan Zarfan marah kerana tak dapat jawapan yang betul, rupanya kerana bateri kalkulatornya mati.
"Congak sahajalah. Kata budak pandai," usiknya. Buku latihan Zarfan dipusing kembali menghadap adiknya. Dia ketawa melihat Zarfan membuat muka menyampah.
"Laa...telefon bimbitkan ada. Guna sahajalah kalkulator dalam itu. Nanti aku belikan kalkulator lain," ujar Umar Haiqal lagi.
Zarfan menepuk dahinya. Sungguh dia terlupa akan kalkulator yang sedia ada dalam telefon bimbitnya. Dia memandang Umar Haiqal dengan geram. "Kenapa tak beritahu awal-awal?"
Giliran Umar Haiqal membuat muka menyampah. Salah Zarfan, dia pula yang dimarah. Dia bangkit dari kerusinya. "Abang masuk bilik dahulu. Sudah mengantuk sangat ini. Assalamualaikum". Umar Haiqal melambai adiknya.
Zarfan merengus tak puas hati. Sudahlah abangnya keluar seharian tanpa khabar apa-apa. Pulangnya pula dikala malam hari. Tak sempat berbual panjang, abangnya sudah masuk ke bilik.
-----------------------------------------------------------
Hari ini Umar Haiqal keluar lagi. Sudah tiga hari Umar Haiqal keluar di awal pagi dan balik pada tengah malam. Sepanjang tempoh itu, Zarfan lansung tak bersempatan untuk berbual dengan abangnya. Apabila dia bertanya kepada Tuan Yasir, lelaki tua itu hanya tersenyum dan mengatakan yang itu adalah rahsia.
Zarfan tertekan. Rasa ingin tahunya semakin membuak-buak. Dia ingin tahu apa yang abangnya sedang lakukan sehingga menjadi sibuk sebegitu. Malah, tak sempat meluangkan masa bersamanya.
"Assalamualaikum Afan!"
Zarfan menoleh ke depannya. Dia tergamam melihat Eusuf sedang melambai di depan mukanya untuk menyedarkan dia dari lamunannya. Sejak bila pemuda itu berdiri di depannya?
"Abang Eusuf buat apa di sini?" tanya Zarfan seusai menjawab salam pemuda itu. Wajahnya dipenuhi tanda tanya.
Eusuf tersengih. "Aku nak ambil barang yang Haiqal tertinggal. Boleh aku masuk rumah kau?" tanyanya meminta izin.
Zarfan memandang ke arah pintu banglo Tuan Yasir yang terbuka luas. Kemudian dia memandang ke garaj kereta.
Kosong.
Ketiga-tiga kereta milik Umar Haiqal, Tuan Yasir dan Puan Maryam tiada menunjukkan tiga insan itu tiada di rumah. Hanya dia yang sibuk bertapa di luar rumah akibat kebosanan.
"Masuklah. Macam tak biasa," balas Zarfan malas sambil kepalanya digerakkan ke arah pintu. Tiba-tiba keningnya terangkat apabila teringatkan sesuatu. Dia memandang Eusuf dengan mata bulat bersinar.
"Abang Eusuf tahulah abang Umar pergi mana? Nanti abang Eusuf nak jumpa diakan? Nak ikut boleh?"
Eusuf terkesima melihat sikap Zarfan yang berubah teruja tiba-tiba itu. Dia tak biasa berhadapan dengan sikap Zarfan yang itu.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
De TodoBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...