Sebaik sahaja cikgu Rania keluar dari kelas, Zarfan terus merebahkan kepalanya di atas meja dalam keadaan berpaling ke kanan. Lengannya dijadikan bantal. Fikirannya melayang mengingati Umar.
Andai dia dan Umar sememangnya pernah kenal, tak hairanlah jika Umar tahu semua perkara mengenainya termasuklah kisah silamnya.
Tetapi, kenapa Umar hendak merahsiakan identitinya? Dan apa pula kesalahan yang pernah Umar buat kepadanya? Umar...terlalu banyak rahsia yang lelaki itu pendam. Membuatkan dia semakin bertekad untuk membongkar rahsia Umar.
"Zarfan, kau termenung apa?" tanya Nasir sambil menepuk mejanya.
Zarfan mengeluh. Datang sudah si penyibuk itu. "Tak ada apa-apalah," balasnya lalu membenamkan kepalanya dicelah lengan. Malas hendak memandang muka Nasir.
"Aku tanya bukan sebab apa. Tetapi, pelik tengok kau termenung jauh macam orang ada masalah. Kenapa? Hakim berdendam dengan kau?" tanya Nasir risau.
Zarfan menjuihkan mulutnya. "Berani dia berdendam dengan aku? Kalau rasa dia sudah lama hidup, cubalah kacau aku. Baru tahu langit tinggi ke rendah," jawabnya. Biarpun nadanya kedengaran biasa namun tetap disaluti aura kedinginan yang membuatkan Nasir terasa seram sejuk.
"Zarfan!" laung satu suara dari luar kelas.
Zarfan merengus sambil bangkit. Rimas namanya disebut-sebut ramai pada hari ini. Dia memandang ke luar pintu. Hatinya sedikit terkejut melihat Wafiy. Tak pernah Wafiy mencemar duli untuk bertemu dengannya selama ini. Tak akan pemuda itu berubah seratus peratus selepas meminta maaf tempoh hari.
"Nak apa?" balas Zarfan tanpa berganjak dari tempatnya.
Wafiy mempamerkan riak biasa. Malas hendak mencari gaduh saat itu biarpun nada Zarfan mengundang rasa panas di hatinya. Dia sudah meminta maaf hari itu, masakan hari ini dia hendak bergaduh dengan Zarfan semula?
"Cikgu Fatih pesan nanti rehat, jumpa dia di bilik disiplin".
"Hah! Kenapa?" Bukan Zarfan yang membalas namun Nasir yang beria menunjukkan reaksi berlebihan. Jeritannya mengundang pandangan seisi kelas tertumpu ke arah mereka.
"Manalah aku tahu. Aku sekadar penyampai pesanan sahaja. Zarfan, jangan lupa. Rehat nanti jumpa cikgu Fatih," pesan Wafiy lalu beredar ke kelasnya.
Nasir berpaling memandang Zarfan dengan pandangan curiga. "Kau ada buat salah ke, Zarfan?"
Zarfan sekadar menjongketkan bahu.
-----------------------------------------------------------
"Kamu nak ikut cikgu menghadiri majlis reunion Batch Lagenda?" pelawa cikgu Fatih apabila Zarfan mengambil tempat dengan selesa dikerusi dihadapannya. Bilik disiplin itu kosong melainkan hanya ada mereka berdua.
"Saya?" Zarfan menundingkan jari telunjuknya ke dada sendiri.
Cikgu Fatih mengangguk. Wajah Zarfan dipandang dengan penuh pengharapan agar pemuda itu sudi mengikutnya ke sana nanti.
"Tetapi kenapa? Maksud saya, saya tak ada kaitan dengan Batch Lagenda pun. Kenapa cikgu ajak saya?"
Cikgu Fatih mengusap janggut nipisnya. "Sebab cikgu yakin kamu teringin hendak mengenali Batch Lagenda bukan? Lagipun, Qaseh ada kerja. Tak akan kamu sanggup nak biarkan cikgu memandu sendirian ke sana. Jauh. Cikgu sudah tua. Kalau jadi apa-apa bagaimana?"
Zarfan mengaru kepalanya yang tidak gatal. "Kiranya saya kena menjadi bodyguard cikgulah?"
Cikgu Fatih tertawa. "Ke situ pula kamu. Kamu mahu atau tidak? Tawaran cikgu tak datang dua kali. Kamu tak teringin nak jumpa mereka ke?" cikgu Fatih mengangkat keningnya.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
De TodoBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...