Di bawah pohon ketapang yang tumbuh merendang di tepi padang sekolah, kelihatan sesusuk tubuh sedang enak berbaring. Lengan kanannya diletakkan diatas dahi sambil matanya khusyuk memerhatikan langit biru yang membumbungi bumi.
Zarfan menarik nafas dalam. Entah kenapa, buat kali pertama dalam hidupnya dia merasakan hatinya benar-benar kosong. Ya, selama ini dia memang selalu keseorangan. Hidupnya sunyi tanpa teman.
Tetapi... tidak pula dia rasa seperti ini.
Semua bermula sejak dia mula mengenali Umar.Umar yang selalu menemaninya.
Umar juga yang selalu menegur kesalahannya baik secara lansung atau berkias.
Kehadiran Umar, biarpun masih kekal misteri sehingga sekarang, namun berjaya menyentuh hatinya.
Semakin dia mengenali Umar, semakin lembut hatinya. Tanpa sedar, dia mula terdetik untuk bersolat semula. Sedangkan dahulu...dia berkeras menafikan kewujudan Allah selepas kehilangan ibu dan abangnya. Dengan beraninya dia mengatakan Allah itu kejam. Solat ditinggalkan, nama Allah tidak lagi disebut, dan dia sering ponteng kelas agama di sekolahnya. Sehinggalah Umar muncul...
"Aku nak hati kau kembali tunduk pada perintah dan menjauhi segala larangan Allah. Setiap takdir yang ditetapkan-Nya bersebab, Zarfan. Tak bermakna jika takdir itu tidak seperti apa yang kau impikan, maka itu tanda Allah tidak adil kepada kau. Kenapa terus-menerus menafikan kasih sayang-Nya hanya kerana satu dua kehilangan, sedangkan banyak lagi nikmat yang DIA anugerahkan kepada kau?"
Zarfan bangkit dari pembaringannya lalu duduk bersila. Dia memandang lurus ke depan.
Mungkin...sudah tiba masanya untuk dia berubah.
Mungkin sahaja, kehadiran Umar ialah bukti bahawa Allah masih menyayangi dia.
Dia tak keseorangan.
Allah tak pernah meninggalkan dia.
-----------------------------------------------------------
Sudah hampir lima minit Zarfan berdiri di luar bilik disiplin. Masih berkira-kira bahawa benarkah keputusan yang hendak diambilnya itu.
Ego melarang namun iman menyuruh.
Akhirnya, iman yang hanya senipis kulit bawang itu jualah yang menang. Lambat-lambat dia mengangkat tangan untuk mengetuk pintu.
Tok! Tok! Tok!
"Masuk!" Kedengaran satu suara garau mengarahkannya masuk.
Zarfan menyentuh tombol pintu sambil memejamkan matanya. Cuba menenangkan hati yang gelisah. Tombol pintu dipulas lalu dia melangkah masuk.
Kelihatan cikgu Fatih sedang leka menaip sesuatu di komputer ribanya. Disisinya, kelihatan timbunan kertas-kertas ujian. Zarfan berdehem perlahan untuk menarik perhatian guru itu. Cikgu Fatih mengangkat kepalanya sebelum terpaku kehairanan melihat kehadirannya.
"Zarfan?"
"Ya saya. Cikgu tak nyanyuk lagi kan untuk lupa siapa saya". Selamba Zarfan membidas. Wajahnya kosong tak beriak.
Cikgu Fatih mengerutkan dahi. Pelik Zarfan tiba-tiba mencarinya dan pelik dengan kata ganti nama yang digunakan oleh remaja itu. Saya? Sejak bila Zarfan berubah sopan walaupun ayatnya kekal kesat?
"Emm, kamu nak apa datang bilik ini?"
Zarfan menundukkan kepalanya. "Saya datang nak minta maaf kepada cikgu".
Terkebil-kebil mata cikgu Fatih dibuatnya. "Err, cuba kamu ulang ayat kamu balik," pinta cikgu Fatih ingin memastikan kata-kata Zarfan. Sungguh, terasa bagai dia sedang bermimpi sekarang ini.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
RandomBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...