Lapan tahun lalu....
Umar melangkaukan kaki ke garis pagar yang menjadi sempadan antara kawasan sekolah dan luar sekolah. Suasana masih lengang kerana hari masih awal pagi. Masih ada setengah jam sebelum loceng sekolah berbunyi. Lambat-lambat dia melangkah ke arah kantin. Ingin bersarapan kerana di rumah tadi dia tidak sempat mengisi perut gara-gara menguruskan adiknya yang terlewat bangun.
Sepinggan mee goreng yang berharga RM 2.00 menjadi pilihan hati. Air minuman tidak dibeli kerana ingin berjimat. Tambahan pula, dia sedia membawa sebotol air masak dari rumah. Lebih sihat.
Dia memilih untuk duduk di kawasan yang agak terpinggir dari orang ramai. Sarapan pagi dinikmati dengan tenang.
"Hai, abang pelajar baru ya?" sapa seorang gadis. Selamba gadis itu mengambil tempat dihadapannya. Segaris senyuman manis terukir di bibir gadis itu.
Umar menjeling tanda nama gadis itu.
Qaseh Ameera.
Sedap nama gadis itu. Allah menganugerahkan gadis itu kulit cerah dan wajah yang comel. Gadis itu memakai tudung sekolah yang sedikit labuh melepasi dada tetapi tidaklah selabuh tudung pelajar sekolah agama.
Tapi sayang...
"Assalamualaikum," ujar Umar mengalihkan mata dari terus memandang Qaseh. Dia kembali menyuap mee ke mulutnya.
Qaseh tersengih. Sedar akan salahnya. Salam dibalas seadanya. Dia meletakkan dagunya di kekura tangan sambil memerhatikan Umar yang begitu menikmati sarapan. Sehinggakan dia lansung tidak dipandang oleh lelaki itu.
"Tak manis andai awak duduk berduaan dengan saya di sini. Banyak lagi tempat kosong di sana. Jadi, dipersilakan pergi," halau Umar dengan nada yang cukup sopan apabila Qaseh masih tak berganjak pergi. Tangan kanannya menunjuk ke meja kosong di tepinya yang dipisahkan oleh lorong kecil untuk berjalan. Wajahnya tak beriak.
Qaseh mengangkat keningnya. Pertama kali dia berhadapan dengan lelaki seperti Umar. Tegas tetapi sopan. Malah, lelaki itu amat menjaga pandangan.
Dia tersengih lagi. Bagaimanalah Umar boleh tersesat masuk ke sekolah itu. Sekolah yang dipenuhi gangster remaja baik lelaki mahupun perempuan.
"Sekejap, abang pelajar barukan?" Qaseh mengulang soalannya. Sengaja dia memanggil lelaki itu abang kerana jelas-jelas wajah Umar menunjukkan lelaki itu lebih tua darinya.
Umar mengangguk tanpa suara. Suapan terakhir dikunyah perlahan sambil dia membuang pandangan ke arah padang kecil di tepi kantin itu. Sedikit rimas dengan kehadiran Qaseh yang degil itu. Sudah dihalau tetapi masih selamba duduk berborak seakan mereka sudah berkawan lama.
"Kalau begitu, izinkan saya memberi nasihat. Apa pun yang berlaku, abang jangan cari pasal dengan abang Haiqal kalau ingin hidup abang tenteram di sini."
"Kalau abang nampak orang kena buli ke atau kena aniaya, jangan tolong. Nanti abang akan jadi mangsa seterusnya. Baiklah, itu sahaja yang saya hendak cakap. Semoga abang selamat!" ujar Qaseh. Sebaik sahaja ayatnya tamat, terus dia bangun lalu menghilang di celah-celah orang ramai yang berpusu-pusu menuju ke tapak perhimpunan.
Umar tercegang di meja itu sendirian. Ayat Qaseh membuatkannya pelik.
Siapa abang Haiqal yang Qaseh maksudkan?
Dan kenapa Qaseh mendoakan dia selamat?
Pelik benar perwatakan gadis itu. Tak pernah dijumpa orang seperti itu.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
RastgeleBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...