"Dan, kenapa muka tegang ini? Ada apa-apa yang berlaku ke?" tanya Kabir. Dia orang pertama yang perasan akan kepulangan Danial.
"Tak ada apa-apa," nafi Danial. Tak perlu rasanya dia memberitahu mereka tentang pertemuannya dengan Haiqal tadi. Dia tak mahu merosakkan mood kawan-kawannya biarpun mood dia sendiri telah rosak.
Danial melabuhkan punggungnya dikerusi. Kek yang dibelinya tadi diserahkan kepada Afiq tanpa memandang lelaki itu. Sedikit sebanyak marahnya ditumpahkan kepada lelaki itu.
Tak akan Afiq tak sedar bakeri itu milik Haiqal semasa dia menempah kek itu?!
"Eh, kenapa lain kek ini dari apa yang aku tempah?" tanya Afiq.
"Kek jugakan?! Makan sahajalah nanti! Jangan banyak tanya!" bentak Danial. Dia merengus sebelum keluar dari dewan itu semula. Dia perlu menenangkan diri sebelum majlis malam ini hancur dek moodnya yang tidak baik itu.
Batch Lagenda yang berada di situ berpandangan sesama sendiri.
"Pelik, jarang Danial mengamuk macam itu," ulas Eusuf.
Afiq hanya diam sambil memandang kotak kek yang ada ditangannya. Bibirnya diketap. Danial terjumpa pemilik bakeri itu ke tadi? Dia pilih bakeri itu pun kerana kek di bakeri itu sangat sedap dan berpatutan harganya.
Keluhan nipis dihembusnya. Sepatutnya, dia sendiri pergi ambil kek itu tadi. Sungguh, dia benar-benar terlupa bakeri itu milik Haiqal.
"Afiq!" jerit Kabir.
Afiq tersentak dari lamunannya. Terkebil-kebil dia memandang kawan-kawannya. "Kenapa?"
"Kau mesti tahu punca Danny mengamukkan?" duga Kabir. Riak muka Afiq dipandang curiga.
Afiq menelan air liurnya. "Mana ada. Sudahlah, korang sambung kerja. Biar aku pujuk Danny sekejap," ujarnya. Kotak kek ditangannya diserahkan kepada Eusuf. Dia berlari anak menuju ke pintu dewan itu.
-----------------------------------------------------------
"Danny..." panggil Afiq. Dia menepuk bahu Danial yang sedang termenung diatas sebatang pokok ru yang telah tumbang. Khusyuk sahaja Danial merenung jauh menghadap ke arah laut.
"Kau tahukan...?" tanya Danial tanpa memandang Afiq. Nadanya kedengaran mendatar tanpa sebarang emosi.
Afiq menghela nafas nipis. Dia mengambil tempat disisi Danial. "Ya, aku tahu. Dan, aku tak bermaksud apa-apa. Kau sendiri tahu aku macam manakan? Aku tak ambil kisah sangat tentang permusuhan antara Haiqal dengan arwah Umar. Bagi aku, itu urusan mereka berdua. Tak perlu aku masuk campur," ujarnya.
Dia diam seketika. Merenung gulungan ombak yang menghempas pantai. "Tetapi itu tak bermaksud aku tak sayangkan arwah Umar. Aku sayang dia sebagai kawan, sama seperti korang sayangkan dia. Aku pun sayangkan Haiqal sebagai kawan walaupun dia telah berubah seratus lapan puluh darjah dari masa kita mula-mula kenal dia. Ya, aku tahu dia jahat. Tetapi aku tak pernah lupa yang dia selalu tolong aku selama ini. Dia selalu ada di sisi aku setiap kali aku perlukan dia. Selama ini, dia seorang sahabat yang baik. Dia berubah hanya kerana tergugat dengan Umar sahaja. Aku yakin, jauh disudut hati dia, dia masih Haiqal yang kita kenal dahulu," luah Afiq.
"Masa aku terserempak dengan dia di depan bakeri itu setahun lalu, dia buat-buat tak kenal aku. Aku pun apa lagi, orang buat tak kenal aku, aku pun buat tak kenal dia. Tetapi Dan, aku boleh nampak kesedihan dalam mata dia bila dia pandang aku. Bila aku fikirkan balik semuanya, dan bila aku cuba letakkan diri aku di tempat dia, aku dapat rasakan kesakitan dia, Dan. Sebelum ini, kita rapat sangat dengan dia. Bila arwah Umar muncul, sesuka hati kita gantikan tempat dia dengan arwah Umar. Kita selalu bandingkan dia dengan arwah Umar. Tak ada sesiapa yang cuba nak faham kenapa dia benci sangat-sangat dengan Umar. Yang kita tahu, salahkan dia. Pulaukan dia. Jasa-jasa dia kepada kita selama ini kita lupakan hanya kerana sedikit cela dia yang kita nampak. Kau tak rasa kita kejam, Dan? Tambah masa kita halau dia semasa pengebumian arwah Umar. Apa hak kita untuk layan dia macam itu, Dan? Sedangkan dia datang dengan niat baik. Aku rasa, teruk sangat bila aku teringat kejadian itu. Kau tak rasa benda yang sama, Dan?"
Danial diam. Terasa bagai baru tersedar dari lena yang panjang. Jantungnya bagai dihenyak. Kata-kata Afiq tajam menusuk qalbunya.
"Kalau aku jadi Haiqal, sudah lama aku balas dendam. Dia ada kuasa, Dan. Papa dia bukan calang-calang orang. Pemilik syarikat keselamatan yang terkenal. Boleh sahaja dia arahkan pekerja-pekerja papa dia yang pakar dalam seni bela diri itu untuk kerjakan kita. Boleh sahaja dia jejak kita dan hancurkan hidup kita dengan kemahiran yang dia belajar dari papa dia. Tetapi, apa yang dia buat? Diam. Sedikit pun dia tak kacau kita walaupun seteruk mana pun kita layan dia dahulu. Kita sahaja yang beria anggap dia macam penjenayah nombor satu dunia," ujar Afiq lagi.
Melihat Danial yang diam membisu itu, Afiq kembali berbicara. "Aku bukan apa, Dan. Bagi aku, tak salah kalau kita ajar hati kita untuk maafkan dia. Kita manusia, dia pun manusia. Kalau kita boleh buat salah, maka dia pun boleh buat salah. Lagipun, masa itu kita semua tak matang lagi. Masih berdarah panas. Sudah sampai masa kita buka buku baru. Kalau boleh, aku nak semua kawan-kawan kita dahulu bersatu semula, termasuklah Haiqal. Aku tak nak korang saling berbalah dan bermasam muka atas perkara lama walhal masing-masing telah dewasa. Cukuplah tujuh tahun ini. Hei, bukankah umat Islam itu saling bersaudara. Kau nak kita berdosa besar kerana putuskan persaudaraan ke?"
Danial kekal diam. Otak dia buntu. Tak tahu apa yang patut dia lakukan sekarang.
Bila Afiq menegur, baru dia sedar kesilapannya selama ini.
Dia telah menghukum sahabat dia sendiri.
Sedangkan sahabat itu yang telah banyak membantunya selama ini sebelum arwah Umar muncul.
Dia tak salahkan arwah Umar.
Yang salah ialah dia.
Dirinya sendiri.
Dia yang terlalu buta dalam menilai hati manusia. Sepatutnya, dia cuba menasihati Haiqal untuk berbaik dengan arwah Umar. Bukan merenggangkan lagi jurang yang memisahkan mereka semua.
Khilafnya dia...
"Sudah, alhamdulillah kalau kau sedar salah kau. Aku cakap ini berdasarkan apa yang aku rasa sahaja. Hakikatnya, perasaan kau milik kau. Ikut kaulah nak terus marahkan Haiqal atau nak maafkan dia. Aku percaya kau sudah cukup matang untuk fikirkan baik buruk tindakan kau. Tepuk dada, tanya iman apa yang kau nak buat selepas ini. Sekarang, kita tumpukan kepada majlis ini dahulu. Kawan-kawan kita yang lain sedang menunggu di dalam dewan. Senyumlah sedikit, nanti tak kacak abang Danny kita ini," gurau Afiq. Dia menarik kedua-dua hujung bibir Danial membentuk sebuah senyuman. Tertawa dia melihat wajah Danial ketika itu.
"Hishh!" Danial menepis tangan Afiq. Tetapi dia tak dapat menghalang senyuman dari terukir dibibirnya.
"Sudah lega? Jom, kita jumpa mereka yang lain," ajak Afiq. Dia menarik tangan Danial untuk bangun.
"Kau nak masuk dewan nanti macam mana, Fiq? Gaya budak masuk sekolah baru atau gaya taiko masuk kasino? Ke gaya pencuri masuk rumah?" tanya Danial bergurau.
Sengihan tersungging dibibir Afiq. "Emm, sekejap aku fikir ya. Apa kata kita masuk macam gaya penganas buat serangan hendap?" cadangnya.
Danial mengerut dahi tanda tak faham. "Macam mana?"
Afiq tersenyum jahat. "Sistem PA sudah terpasang. Kita pasang latar bunyi perang masa kita masuk nanti. Sekuat yang boleh. Bagi bergegar dewan itu. Ke kau nak senapang sekali? Aku ada sahaja yang anak aku punya mainan".
Danial ketawa terbahak-bahak mendengar cadangan bernas sahabatnya itu. "Gilalah kau. Tak apalah, kita masuk gaya biasa sudahlah. Cadangan itu, kita buat malam nanti sebelum perasmian. Nak?" keningnya diangkat tinggi sambil memandang Afiq.
"Haha, aku gurau sahajalah. Sudah, jom masuk. Nanti mereka ingat kita lari tak mahu buat kerja pula nanti," ujar Afiq sambil ketawa. Bahu Danial dipeluk sambil mereka melangkah menuju ke dewan.
Danial menguntum senyuman nipis. Sungguh dia bersyukur dikurniakan sahabat seperti Afiq. Kalau tidak, sampai bila-bila dia tak akan sedar betapa kejamnya dia selama ini. Afiqlah sahabat dunia akhiratnya.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
AléatoireBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...