37: Pujukan Eusuf

427 53 3
                                        

Eusuf berjalan membelah kegelapan malam sendirian dengan berbekalkan telefon bimbitnya sebagai lampu suluh. Suasana di situ tidaklah terlalu gelap kerana biasan cahaya lampu dari resort milik Afiq. Tetapi, lampu suluh tetap diperlukan jika mahu pencariannya selamat tanpa sebarang tragedi.

Danial dan cikgu Fatih disuruhnya masuk ke dewan supaya Batch Lagenda tidak tercari-cari mereka nanti. Biarlah dia yang menguruskan soal Zarfan. Lagipun dalam kalangan Batch Lagenda, dia yang paling rapat dengan Zarfan dahulu. Mungkin dia mampu memujuk Zarfan.

In sha allah.

Eusuf menyusuri gigi laut sambil bermain ombak yang sentiasa menghempas pantai silih berganti disepanjang waktu. Sesekali, dia menyepak ombak yang menghampiri sehingga terpecik kuat membasahi bajunya sendiri.

Cuba menghiburkan diri sendiri yang kebosanan apabila kelibat Zarfan tidak ditemui walaupun hampir sepuluh minit sudah dia mencari.

Sedang leka melayan perasaan sendiri, matanya menangkap kelibat seseorang yang sedang duduk memeluk lutut dibawah pokok ru sambil merenung jauh ke arah laut.

Eusuf memperlahankan langkahnya agar kehadirannya tidak disedari lembaga itu. Dia ingin memastikan sama ada lembaga itu merupakan orang atau sebaliknya. Bermacam zikir dibisiknya perlahan untuk perlindungan diri.

Manalah tahu jika ada yang ingin menguji semangatnya pada malam ini.

Eusuf menyelinap ke belakang lembaga itu. Cahaya dari telefon bimbitnya disuluh ke arah kelibat itu.

Ada kaki, lengkap segala anggota dan berpakaian kemas.

Selalunya, hantu tak ada kaki dan berbaju burukkan?

Tak pernah lagi dia dengar hantu yang berpakaian kemas melainkan bunian.

"Assalamualaikum," lafaz Eusuf yang berdiri di belakang makhluk itu yang dia tafsirkan adalah manusia. Bahu makhluk itu disentuh.

Makhluk itu memalingkan muka menghadapnya.

"Arghhh!!" jerit Zarfan kuat memecahkan kesunyian di pantai itu. Badannya mengeletar hebat. Zarfan mengesot sehingga rapat ke batang pokok ru dibelakangnya. Kedua-dua tangannya menekup muka ketakutan.

Eusuf menjatuhkan dirinya dalam keadaan melutut didepan Zarfan. Telefon bimbitnya diletakkan diatas hamparan pasir pantai. Kedua-dua tangan Zarfan dipegang lalu ditarik, memaksa Zarfan memandangnya.

"Tenang Afan. Ini aku," ujar Eusuf. Dia memandang ke dalam mata Zarfan sedalam-dalamnya. Dia tahu apa yang bermain difikiran Zarfan saat ini. Sama seperti selepas tragedi pembunuhan Umar tujuh tahun lepas, Zarfan akan ketakutan setiap kali melihat sesuatu yang berkaitan dengan abangnya.

Dia tak salahkan Zarfan, dia sedar penderitaan yang Zarfan alami selepas melihat ibu dan abangnya dibunuh didepan matanya sendiri. Cuma dia tak sangka trauma Zarfan masih berbekas sehingga ke hari ini.

Zarfan mulai tenang apabila menyedari itu ialah Eusuf. Dia melafaz istighfar beberapa kali. Hanya dengan cara itu dia mampu menghilangkan sisa ketakutannya. Terima kasih kepada Umar yang telah mengajar cara untuk dia mengawal perasaannya.

Eusuf melepaskan pegangannya. Dia mengubah posisi tubuhnya kepada duduk memeluk lutut seperti Zarfan. Telefon bimbitnya diambil sebelum disimpan didalam kocek seluarnya. Kini, mereka berdua hanya diterangi biasan lampu dari resort serta sinaran rembulan dan bintang-bintang yang berteraburan di dada jumantara. Suasana menjadi sepi seketika.

"Cantik langit pada malam ini. Bintang-bintang bersinar bergemerlapan dan rembulan purnama yang terang bercahaya. Bayu menghembus lembut, ombak menyanyi menyapa pantai. Subhanallah," ujar Eusuf lebih kepada berbisik terhadap diri sendiri.

Kelam SemalamTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang