67: Persiapan

356 53 0
                                    

    Saat menjadi minit.

    Minit menjadi jam.

    Jam menjadi hari.

    Hari menjadi minggu.

    Minggu menjadi bulan.

    Masa terus berlalu tanpa dan tanpa sedar. Kini, tinggal seminggu sahaja lagi sebelum Danial menamatkan zaman bujangnya. Beberapa orang Batch Lagenda turut sibuk membantu Danial menguruskan majlisnya terutama Eusuf dan Umar Haiqal.

    Di dalam sebuah butik pengantin, Umar Haiqal yang duduk di sofa sedang merungut dengan wajah mencuka. Kedua-dua tangannya ditarik oleh Danial dan Eusuf yang memaksanya mencuba baju melayu yang telah mereka tempah khas. Sudah hampir seminit mereka bermain tarik tangan tanpa mengendahkan pandangan orang luar terhadap mereka.

    "Hishh...aku malaslah! Aku ini pengapit sahaja. Tak payah nak bergaya bermewah sangatlah. Aku pakai baju melayu aku yang ada di rumah pun boleh," rungut Umar Haiqal.

    Dia penat.

    Penat mengikut Danial dan Eusuf ke sana sini sejak awal pagi tadi. Kerenah cerewet Danial dan bebelan Eusuf betul-betul menelan segala tenaganya. Majlis walimatul urusnya dan Qaseh juga semakin hampir, tetapi tiada sebarang persiapan pun yang telah siap gara-gara terpaksa mengikut dua ekor sahabatnya ini.

    "Mana boleh! Ini pengalaman yang sekali sahaja untuk seumur hidup. Sebab itu kau kena pakai segak-segak. Baru manis memori yang tercipta nanti," bantah Eusuf. Tangan Umar Haiqal ditarik kuat ke arahnya.
 
    Umar Haiqal menarik tangannya semula. Mukanya semakin mencuka.

    "Gaya kau cakap macam aku yang nak kahwin. Walhal Danial! Bukan aku".

    Eusuf menghembus nafas kasar. Tangan kanan yang mengenggam tangan Umar Haiqal diganti dengan tangan kirinya. Dia mengibas-gibas tangan kanan yang terasa lenguh.

    "Qal, jangan degil boleh!" marah Danial. Mukanya kelihatan garang.

    Umar Haiqal mencebik. "Ikut suka hati akulah. Kalau kau tak nak menghadap kedegilan aku, gantikan sahaja aku dengan Eusuf. Apa susah? Kau senang, aku pun senang".

    "Mana boleh!" serentak Danial dan Eusuf menjerit.

    Umar Haiqal ingin menekup telinga tetapi tidak mampu kerana tangannya masih berasa dalam gengaman Eusuf dan Danial. Maka, dia terpaksa merelakan telingannya dipekakkan dengan suara mereka berdua.

    "Apa beza aku dengan Eusuf?! Dua-dua kawan kau juga!" Umar Haiqal merasakan kesabarannya semakin menipis.

    "Sebab kau lagi kacak dari Eusuf".

    Eusuf menoleh ke tepi. Mukanya berkerut memandang Danial yang beriak selamba meneruskan kata-katanya.

    "Kau sahaja yang sesuai jadi pengapit aku nanti. Sebab itu aku nak kau cuba baju ini. Aku nak semuanya sempurna semasa majlis aku nanti. Nak tak nak, kau kena cuba juga!" arah Danial tegas.

    Umar Haiqal mendengus. Dia bangun dari duduknya. Baju Melayu di tangan Danial direntap kasar sebelum dia masuk ke dalam bilik persalinan yang disediakan.

    Danial dan Eusuf berpandangan sebelum mereka ketawa kecil. Cubaan memaksa Umar Haiqal berjaya!

-----------------------------------------------------------

 
     "Abang sudah tempah baju nikah belum?"

    Umar Haiqal menepuk dahi mendengar suara di hujung corong. Dia mengigit bibir. Tiba-tiba terasa gementar untuk berterus-terang. Semua salah Eusuf dan Danial!

    "Belum".

    Kedengaran Qaseh mengeluh kecil. Umar Haiqal semakin rasa serba-salah.

    "Sudah pergi kursus kahwin?"

    Umar Haiqal kembali bersemangat. Kali ini, dia berterima kasih kepada Danial yang mengajaknya pergi bersama ke kursus itu.

    "Sudah," jawabnya pantas.

    "Emm, nanti jangan lupa tempah baju nikah ya. Oh, lupa nak tanya. Abang kata nak uruskan kad undangan. Sudah selesai belum? Kad kena edar awal-awal. Nanti susah tetamu jauh nak datang".

    Umar Haiqal kembali menampar dahi. Sungguh, dia benar-benar terlupa.

    "Err, belum. Maaf Qaseh..."

    "Hishh, abang ini... Macam tak serius sahaja nak kahwin dengan Qaseh. Itu belum buat, ini belum buat. Kalau macam ini, baik Qaseh uruskan sahaja semuanya!"

    Umar Haiqal memejam mata mendengar amukan Qaseh. Dia redha menerima kemarahan gadis itu. Dia sedar semua salahnya. Sepatutnya dia menolak keinginan Danial untuk dia menjadi pengapit sahabatnya itu. Tak pasal-pasal, sekarang dia yang terjebak dalam kekusutan ini!

    Disebabkan rasa bersalahnya, dia tidak peka dengan nada Qaseh yang seakan ingin tertawa. Dia menyangka gadis itu serius memarahinya. Sayangnya, semua itu hanya lakonan untuk mengaburi matanya...

-----------------------------------------------------------

    "Abang Umar, sudah siap?"

    Umar Haiqal menoleh ke arah pintu. Kelihatan Zarfan menjengukkan kepalanya di situ sebelum remaja itu masuk ke dalam. Dia memakai baju melayu biru langit dan bersamping songket hitam berbenangkan perak serta dilengkapi songkok hitam. Adiknya itu kelihatan berbeza dari biasa.

    Zarfan menghampiri Umar Haiqal yang sedang duduk di meja solek. Abangnya itu segak berbaju melayu berwarna cream. Pakaiannya dilengkapi samping songket putih berbenangkan perak dan emas. Di atas kepalanya pula, ada tengkolok Layang Mas dari kain songket berwarna putih.

    Melihat Umar Haiqal, Zarfan merasakan seakan sedang berhadapan dengan seorang panglima Melayu zaman silam. Abangnya tampak gagah perkasa. Wajah kacaknya menguatkan lagi aura kehebatannya. Jika abangnya hidup di zaman silam, dia pasti abangnya akan menjadi pendekar terulung di nusantara walau tak sehebat Hang Tuah.

    "Afan, kau tak rasa melampau sangat ke pakaian aku ini? Aku rasa macam aku yang pengantin. Bukan Danial," omel Umar Haiqal. Dia memuncungkan mulutnya sedikit, menunjukkan dia tak suka dengan semua ini.

    "Tak pun. Lagipun macam ini baru segak abang aku. Kalau tak, mesti kau akan pakai macam orang nak pergi kubur. Tak ada gaya," kutuk Zarfan selamba.

    Dia duduk di birai katil di bilik Danial itu.

    "Selepas majlis ini tamat, aku nak buli Danny dan Eusuf pula untuk uruskan majlis aku nanti. Disebabkan mereka, aku terlampau sibuk sehingga terlupa majlis sendiri," ujar Umar Haiqal dalam nada geram.

    Zarfan tergelak. Ikutkan hati, ringan sahaja lidahnya hendak menyebut 'tak perlu'. Hingga ke hari ini, abangnya masih tidak curiga apa-apa dengan sikap luar biasa Danial dan Eusuf.

    Mengingatkan semua itu, Zarfan semakin galak ketawa. Dia tak sabar hendak melihat reaksi abangnya nanti apabila berdepan dengan tok kadi tanpa persediaan apa-apa. Dia telah bersedia untuk merakamkan detik indah itu nanti.

    "Oi, Afan!"

    Jeritan Umar Haiqal mematikan imaginasinya. Terus Zarfan diam.

    "Kenapa kau tiba-tiba gelak macam orang hilang akal? Aku ada cakap apa-apa yang melucukan ke?"

    Zarfan tersengih sampai ke telinga. Dia kembali berdiri. Segala tingkah-lakunya diperhatikan oleh Umar Haiqal dengan riak pelik.

    "Abang Umar tak cakap tetapi tengok muka abang Umar sahaja pun Afan nak tergelak. Baiklah, Afan pergi dulu. Lama-lama duduk dengan abang Umar, boleh pecah perut Afan nak tahan gelak," jawabnya sebelum bergerak ke arah pintu.

    Umar Haiqal mengerutkan dahi. Dia merenung muka sendiri di cermin meja solek Danial. Mukanya normal. Tak ada comot. Tak ada apa yang pelik.

    Tetapi kenapa Zarfan kata mukanya membuatkan adiknya itu nak tergelak?

   Aneh. Aneh.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now