15: Cerita Umar

465 56 4
                                    

"Assalamualaikum, Zarfan!" jerit Umar kuat.

Zarfan yang sudah terlena itu terus terbangun. Dia merengus kasar melihat Umar sedang berdiri sambil menyeluk tangan ke dalam saku seluarnya.

Seperti biasa, Umar tak pernah berpisah dari kaca mata hitamnya.

Salam diberi Umar dijawab dengan dingin membuatkan Umar tersenyum sendiri. Lucu melihat riak tak puas hati Zarfan.

Zarfan bangun dari pembaringannya lalu duduk bersila. Rambutnya diusap kasar sambil dia menguap besar. Lansung tak kisah dengan pandangan Umar yang melihat perlakuan tidak sopannya itu.

"Lambat pula kau muncul hari ini. Kenapa?" tanyanya. Nadanya mendatar sahaja agar tidak kedengaran seakan-akan dia mengambil berat tentang pemuda itu.

Umar mengariskan senyuman nipis lalu melabuhkan punggungnya di tepi Zarfan. Namun, terdapat ruang luas di antara jarak mereka berdua. Umar tidak menghadap tasik sebagaimana Zarfan. Sebaliknya, dia bersila menghadap ke arah remaja itu.

"Aku ada kerja tadi. Kenapa? Rindu?" usik Umar selamba.

Zarfan mencebik. "Kau siapa untuk aku rindu? Hanya makhluk asing yang tak diketahui asal-usul sahaja," balasnya.

"Markah sains kau dapat berapa? Tak pandai nak bezakan manusia dengan makhluk lain?Aku tetap Kingdom animalia, phylum Chordata, class Mamalia, order primates, family hominidae, genus homo dan species sapiens, tahu!" Tempelak Umar.

Zarfan hanya mengerutkan dahi mendengar Umar mengemukakan fakta sains itu. Dia hanya memahami beberapa patah perkataan sahaja. Yang lain, entahlah...

Mungkin Umar bercakap dalam bahasa makhluk asingnya mungkin.

Umar kembali memandang Zarfan setelah puas membebel sendirian itu. Dia tersenyum sumbing melihat riak tak faham pada wajah remaja itu. Dia terlupa, Zarfan mengambil kelas akaun. Budak itu mana belajar biologi.

Dari mana dia tahu perkara itu? Rahsia...

"Lupakan apa yang aku cakap. Kau bukan faham pun," ujar Umar.

"Kau nak cakap aku bodoh?" marah Zarfan.

"Eh, aku tak kata begitu pun. Kau yang perasan sendiri. Bak kata orang, siapa makan peria, dia yang rasa pahitnya," balas Umar.

"Bukan siapa makan cili, dia yang terasa pedasnya ke?" tanya Zarfan. Dahinya dikerutkan tanda pelik dengan kenyataan Umar.

"Itu peribahasa asli. Aku ubah peribahasa itu kerana peribahasa itu tak sesuai dengan kau. Kau bukan makan pedas pun," jawab Umar selamba.

Zarfan menjulingkan mata tanda menyampah. Pandai-pandai sahaja lelaki itu mengubah peribahasa zaman-berzaman itu. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia membidas bahawa peria pun dia tak makan tetapi... biarlah.

Malas hendak berbahas dengan Umar hanya perkara kecil seperti itu.

"Kenapa diam? Tak seronoklah kalau kau tak membidas kata-kata aku," rungut Umar. Mulutnya dimuncungkan seakan kanak-kanak yang merajuk.

"Eh, dia ini. Perangai serupa budak-budak. Nak berbalah sahaja kerja. Kalau kau bosan, cubalah cerita apa-apa sahaja. Kalau cerita kau seronok, aku dengar. Kalau bosan, aku sambung tidur," ujar Zarfan.

Umar diam seketika, memikir cerita yang boleh diceritakan kepada Zarfan. Lama berfikir, dia mengambil keputusan untuk bercerita tentang zaman sekolahnya sahaja.

"Kau sudah tahu bukan, aku pun bekas pelajar sekolah kau dahulu? Dan masa itu, Fatih sensei ialah musuh ketat aku yang kedua..."

"Siapa musuh ketat kau yang utama pula?" potong Zarfan.

"Ah, itu kau tak perlu tahu. Kau ini, cubalah dengar cerita aku sampai habis dahulu. Kata aku suka berbalah, kau pun sama sahajalah. Dua kali lima dengan aku," marah Umar.

Zarfan membuat muka. "Iyalah, iyalah... Hah, sambung cerita palsu kau".

Umar membuat muka apabila Zarfan sesuka hati melabel kisahnya sebagai kisah palsu.

"Macam-macam yang aku dan kawan-kawan aku buat untuk kenakan Fatih sensei. Rosakkan barang-barang sensei, calarkan kereta sensei, letak julap dalam makanan sensei dan sadung kaki sensei semasa sensei berjalan. Kadang-kadang, sensei ada balas juga tetapi tak seteruk apa yang aku buatlah. Sebab itu kami seronok kenakan sensei berbanding cikgu-cikgu lain". Umar ketawa kecil. Mungkin teringatkan peristiwa lalu.

"Tetapi... hati Fatih sensei jauh lebih mulia dari apa yang aku sangkakan. Bila semua kawan aku tinggalkan aku, dia tetap ada di situ. Cuba untuk berbaik dengan aku. Setelah apa yang aku buat, dia tetap sudi maafkan aku. Malah dia cuba memperbaiki hubungan aku dengan kawan-kawan aku. Tetapi aku... aku ego. Kalaulah aku mendengar kata-katanya dahulu, pasti aku sudah berbaik dengan kawan-kawan aku. Tak perlulah aku menyesal seperti sekarang," sambungnya lagi. Wajah Umar berubah sayu. Pandangannya dilemparkan ke arah tasik. Kepalanya tertunduk lemah.

Zarfan terkedu melihat wajah sayu Umar. Dia dapat melihat betapa Umar menyayangi kawan-kawannya itu. Tetapi paling dia tidak menyangka adalah cerita tentang cikgu Fatih.

Tak sangka hati cikgu Fatih semulia itu. Penuh dengan kemaafan walaupun kepada anak murid yang tak pernah menghormatinya. Sedikit sebanyak, dia kagum dengan keperibadian guru itu.

"Kau tak cuba mencari kawan-kawan kau?" tanya Zarfan.

Umar mengangguk. "Sudah, tetapi aku tiada keberanian untuk berdepan dengan mereka. Setelah apa yang berlaku, mereka cukup membenci aku. Aku sendiri sedar, aku sememangnya layak menerima kebencian itu," balas Umar.

"Cikgu Fatih?"

Umar memandang Zarfan seketika sebelum kembali memandang tasik. Dia menggeleng. "Cukuplah jasa Fatih sensei selama ini. Tak perlu rasanya untuk aku terus menyusahkan dia. Aku tak mahu nanti hubungan dia dengan Batch Lagenda pula keruh," jelas Umar.

Zarfan membeliakkan matanya. Jadi, kawan-kawan Umar adalah Batch Lagenda?! Sangkanya, Batch Lagenda sekadar cerita dongeng. Cerita para guru yang cuba menaikkan semangat pelajar untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan juga untuk memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar yang teruk akhlaknya.

"Batch Lagenda?!"

Umar mengangguk. "Kenapa? Kau tak sangka Batch Lagenda wujud? Kalau kau tak percaya, kau boleh bertanya kepada Fatih sensei. Dia ialah cikgu yang paling rapat dengan Batch Lagenda. Dan dia juga yang menamakan batch kami sebagai Batch Lagenda," jawabnya.

"Eii, tipulah!" bantah Zarfan. Menafikan kata-kata Umar. Sebelum ini pun, Umar kerap kali mengenakannya.

"Eh, tak percaya pula dia ini. Tak apa, kau tanya sahaja kepada Fatih sensei esok. Lagi satu, kalau kau masuk bilik sensei, kau akan nampak gambar Batch Lagenda yang dia simpan. Gambar itu diambil di tasik ini juga," beritahu Umar.

"Sekejap, kalau betul cerita kau, maknanya... Cikgu Fatih mestilah kenal kau juga," ulas Zarfan.

"Mungkin," jawab Umar.

"Jadi, aku pun boleh tanya Cikgu Fatih tentang kau jugakan?"

Umar mengangkat keningnya sebelah sambil menguntumkan senyuman penuh misteri. "Malangnya tidak. Kau tak akan dapat jawapan yang kau nak. Macam yang aku kata, Batch Lagenda sangat membenci aku sehingga menganggap aku sudah mati".

"Itu Batch Lagenda. Masalahnya aku nak tanya Cikgu Fatih. Bukan Batch Lagenda. Apa kaitan?"

"Sudah Fatih sensei rapat dengan Batch Lagenda. Jika kita rapat dengan seseorang, sedikit sebanyak kita dan orang itu akan saling mempengaruhi. Jadi, kalau Batch Lagenda anggap aku sudah mati, Fatih sensei juga sama," ujar Umar.

"Belum cuba belum tahu. Kau juga kata semasa mereka yang lain tinggalkan kau, Cikgu Fatih tak. Yang kau yakin Cikgu Fatih anggap kau sudah mati kenapa? Kau memang sudah mati ke?" bidas Zarfan geram.

Umar tersenyum sinis. "Kau rasa?"

Zarfan mencebik melihat riak yang terpancar pada wajah Umar. Cara lelaki itu berbicara seakan-akan dia adalah hantu dari masa lampau.

Tak wujud bagi Batch Lagenda konon!

Terang lagi bersuluh bahawa Umar itu manusia.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now