"Huishh, banyaknya ubat. Emm, kau ke yang bayar kos rawatan tadi?" tanya Johan setelah Afiq menyelesaikan urusan di kaunter ubat. Dia menjenguk ke dalam plastik ubat Umar Haiqal. Dahinya berkerut seribu membayangkan kepahitan ubat itu. Mujur bukan dia yang akan makan ubat-ubat itu.
"Ha'ah. Bukan mahal mana pun. Sesekali aku bersedekah kepada kawan sendiri. Apa salahnya," balas Afiq berjenaka.Johan menumbuk bahu Afiq sambil sengih. "Orang kayakan. Lainlah aku. Aku ini setakat pekerja bakeri sahaja". Sengaja nadanya dibuat lirih.
Afiq membuat muka. Macamlah dia tak tahu kerja sampingan Johan. Malah pendapatan Johan sangat lumayan walaupun tidak mencapai taraf jutawan.
Johan, jika lapan tahun dahulu, tiada sesiapa akan menduga bahawa lelaki yang berjiwa kasar itu akan memilih kerjaya yang menyimpang jauh dari perwatakannya di zaman remaja. Dari gangster, Johan berubah menjadi pembuat kek dan juga toy designer secara freelance.
Ternyata, Johan memang berbakat besar dan mempunyai daya kekreatifan yang tinggi.
Umar Haiqal sekadar mengariskan senyuman mendengar perbualan mereka. Dia telah sedar semasa dirawat oleh doktor tadi. Namun badannya masih lemah membuatkan dia tak larat hendak bersuara.
"Haa...Haiqal. Kau nak balik rumah Tuan Yasir ke nak bakeri?" tanya Johan sambil berpaling memandang Umar Haiqal yang sedang melabuhkan kepalanya di bahu Johan.
"Balik bakerilah dulu," jawabnya perlahan. Tak mahu Tuan Yasir dan Zarfan melihat keadaan lemahnya.
"Nak harapkan aku dengan Khalil jaga kaulah itu. Kami berdua tak kisah jadi pengasuh kau buat sementara waktu tetapi bonus kenalah bagi".
Umar Haiqal menarik sengih dalam keletihan. "Korangkan pekerja setia aku..."
Johan mencebik. Mujurlah Umar Haiqal ialah kawan merangkap bosnya, kalau tidak haram dia nak jaga lelaki itu.
"Oh ya, Afiq. Kenapa kau datang cari aku?" tanya Umar Haiqal lemah. Mata kuyunya ditala ke wajah Afiq.
Afiq merenung wajah Umar Haiqal dengan serba salah. Baru teringat tujuan asal dia mencari Umar Haiqal tadi. Tetapi patutkah dia memberitahu Umar Haiqal dalam keadaan kawannya itu sedang sakit sebegini?
"Sahaja. Nak tengok kau hidup lagi ke tak selepas buat kerja gila. Rupanya tengah separuh mati. Kau ini Haiqal...tak ada mulut ke apa? Johan dengan Khalil duduk sekali dengan kau. Kenapa tak minta tolong mereka kalau tahu kau tengah sakit? Ini, nasib baik aku datang. Kalau tak, mereputlah kau dalam bilik itu jadi mayat," bebelnya untuk mengalihkan perhatian Umar Haiqal.
Umar Haiqal memejamkan mata. Dia sudahlah pening kepala, terpaksa pula mendengar bebelan Afiq yang menyakitkan telinga itu.
Johan tersengih apabila Umar Haiqal buat tak peduli dengan bebelan Afiq. "Alah, bukan kau tak tahu degil macam mana budak ini. Jomlah balik. Senang sedikit Haiqal nak berehat," ujarnya memandang Afiq.
Afiq hanya akur. Dia membantu membawa plastik ubat Umar Haiqal. Ketinggiannya yang sedikit rendah dari Johan dan Umar Haiqal tidak membenarkan dia membantu Johan memapah Umar Haiqal.
-----------------------------------------------------------
"Kamu sudah beritahu Umar, Danial?" tanya Tuan Yasir sambil menutup pintu wad Zarfan. Dia menghampiri Danial dan Eusuf yang sedang duduk di bangku di luar wad Zarfan. Dia terpaksa meminta bantuan pemuda itu kerana telefon bimbitnya tertinggal di rumah.
"Saya masih tak dapat hubungi dia. Tetapi saya sudah beritahu Afiq untuk cakap kepada dia. Pak cik baliklah rehat dahulu. Kami boleh jaga Afan," balas Danial.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
De TodoBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...