33: Reunion Tiba

403 54 0
                                    

Hari yang ditunggu-tunggu muncul jua. Semua Batch Lagenda bertungkus-lumus bagi melakukan persiapan untuk majlis reunion mereka. Yang ditugaskan untuk menghias, sibuk menghias. Yang ditugaskan untuk menguruskan logistik, sibuk memastikan semua alatan dan perkakas lengkap tersedia.

Majlis reunion itu diadakan di resort milik Afiq, salah seorang Batch Lagenda juga. Dia yang menawarkan agar majlis itu diadakan disitu sebaik sahaja Eusuf menyampaikan hasrat untuk mengadakan majlis reunion.

Eusuf pula, menerima tawaran itu dengan senang hati. Kecil tapak tangan, nyiru dia tadahkan.

Tambahan pula, Afiq memberikan diskaun sekaligus menjimatkan jumlah perbelanjaan mereka.

-----------------------------------------------------------

Eusuf memerhatikan suasana itu dengan riak yang puas. Hatinya seronok kerana sekian lama dia mengimpikan untuk menyatukan Batch Lagenda, akhirnya mimpi itu menjadi realiti jua.

Majlis belum bermula, tetapi hampir semua Batch Lagenda telah datang untuk membantu melakukan persiapan. Batch Lagenda yang dahulunya berpecah, kini bersatu semula. Mengenangkan hal itu, hampir-hampir air matanya tumpah akibat terharu.

"Dan, aku rasa macam sedang bermimpi sekarang," luahnya.

Danial tersengih. Tanpa sebarang amaran, bahu Eusuf ditepuk kuat sehingga badan Eusuf terganjak ke depan.

"Aduh!" Eusuf mengusap bahunya.

"Sakit?" tanya Danial bersahaja.

Eusuf mengangguk kecil. "Betullah aku tak mimpi," ujarnya sebelum ketawa kecil.

Danial berdecit melihat reaksi Eusuf. Dia meliarkan mata ke sekeliling, melihat suasana di dewan itu yang telah berubah dengan hiasan yang bertemakan 'The Old Memories' itu.

Cantik.

Semua itu kerja Kabir yang bekerja sebagai interior decorator. Dibantu pekerja-pekerja Afiq dan rakan-rakan Batch Lagenda mereka yang lain.

"Fatih sensei datang malam inikan?" tanya Eusuf inginkan kepastian. Dia merenung senarai tetamu mereka. Tak ramai pun. Sekadar Batch Lagenda dan cikgu Fatih sahaja. Ditolak Batch Lagenda yang ada di dalam dewan itu, hanya tinggal cikgu Fatih dan beberapa orang lagi Batch Lagenda yang belum tiba.

"Haah. Sebab pagi tadi sensei ada kelaskan. Maka, sensei kena bertolak petang," sahut Danial tanpa mengalihkan pandangannya dari Hazim yang sedang memarahi Kauthar yang meletupkan belon betul-betul di depan mukanya.

Meriah sungguh suasana di kawasan itu. Membuatkan dia teringat kenangan mereka dahulu.

"Ok. Sensei datang malam," gumam Eusuf perlahan. "Sensei kata dia ada bawa tetamu istimewa. Kau agak-agak siapa, Dan?" tanya Eusuf sambil mengangkat kepalanya dari senarai tetamu itu. Dia mengaru kepalanya yang tidak gatal dengan pen yang ada ditangannya.

"Entah. Qaseh mungkin. Siapa lagi?" jawab Danial. Dia mengintai senarai tetamu yang dipegang oleh Eusuf. Dalam banyak-banyak nama di situ, hanya nama Naufal yang dipangkah menandakan lelaki itu tidak datang ke majlis itu.

"Aku rasa bukan Qaseh kerana Qaseh ada seminar di Pahang hari ini. Ahad nanti baru dia balik," nafi Eusuf.

Danial tersenyum sumbing. "Eh, tahu pula kau. Kau masih berhubung dengan dia ke?" usiknya.

Eusuf menjeling sahabatnya itu. Kepala Danial ditolak perlahan. "Bukanlah. Qaseh hanya pandang aku sebagai kawan dan juga sebagai abang. Aku sedar diri lagi. Orang tak sudi, buat apa mengada-gada. Dia anggap aku sebagai abang, maka aku pun layan dia macam adik. Tak ada maksud lain," bidas Eusuf.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now