Umar Haiqal melabuhkan punggung di depan Tuan Jamal. Sekarang ini, mereka berada di rumah lama Zarfan. Rumah yang menemukan dia dengan diari arwah ibunya. Mereka saling berbalas renungan entah untuk berapa ketika. Sehinggalah Umar Haiqal berdecit lalu bersandar pada sofa.
"Baiklah Tuan, cuba Tuan ceritakan siapa sebenarnya Zack atau nama sebenarnya Zakri kepada Tuan?" tenang Umar Haiqal bersuara.
Mata Tuan Jamal membesar sebelum dia melarikan pandangannya dengan menundukkan kepala. Dia bermain dengan jari-jemarinya sendiri. Resah. "Umar sudah tahu?"
"Apa yang saya tahu?" Umar Haiqal bermain kata.
Tuan Jamal mengeluh berat. Siapa sangka, rahsia hitamnya yang disangka akan dibawa sehingga ke kubur, terbongkar pada hari ini. Tak lain tak bukan kepada Umar Haiqal juga.
Sungguh ironi...
"Dia anak bongsu tok," jawabnya dalam nada lemah. Dia tetap membahasakan dirinya sebagai tok walaupun Umar Haiqal memanggilnya sebagai Tuan.
Wajah Zack terimbas di ruangan mata. Zack yang dahulunya merupakan anak yang naif, membesar menjadi pendendam kerana kesilapannya. Silapnya kerana menjadi seorang ayah yang tidak sempurna.
"Ada apa-apa lagi yang saya perlu tahu?" tekan Umar Haiqal. Masih dalam nada tenangnya. Jari-jarinya mengetuk alas tangan pada sofa yang didudukinya. Menghasilkan rentak irama untuk menghilangkan bosan sementara menunggu jawapan Tuan Jamal.
Tuan Jamal kembali memandang Umar Haiqal. "Kamu sendiri sudah tahu kebenarannya. Perlukah tok menjawabnya lagi?"
Umar Haiqal berdiri. Situasi sekarang dirasakan begitu berat dan menyesakkan dadanya. Dia berdiri ditepi tingkap, merenung suasana di luar.
"Jadi, Tuan mengaku yang Tuan sebenarnya ialah atuk saya? Atuk yang saya tak pernah tahu kewujudannya sehinggalah kelmarin?" Umar Haiqal terus menyoal tanpa memandang Tuan Jamal. Dia tidak lagi mampu memandang wajah tua itu.
Perasaannya kian berbaur. Antara dendam, kecewa, sedih...semua perasaan itu ingin cuba memdominasi hatinya. Mujur iman masih teguh berkuasa, masih gagah mengawal semua emosi itu agar tidak berantakan.
"Ya," akui Tuan Jamal. Ada penyesalan yang membayangi suaranya. Akhirnya, terungkap jua rahsianya yang satu itu.
"Maka, berkata benarlah sekarang, Tuan. Jelaskan segala yang masih samar tersembunyi. Dari awal sehingga akhir," pinta Umar Haiqal.
Tuan Jamal mengetap bibirnya. Jantungnya semakin berdetak laju. Nafasnya terasa kian berat. Tak mudah untuk dia membongkarkan cerita yang disimpannya sekian lama itu.
Seakan cuba menarik kembali sauh yang telah ditenggelamkan ke dasar lautan dengan menggunakan kudratnya sendiri tanpa sebarang alat.
Berat.
Yang tak terungkap.
"Salahuddin ialah anak sulung tok," ujarnya memulakan cerita.
"Secara jujurnya, dia anak kesayangan tok. Kebanggaan tok dengan segala kecemerlangan dan kejayaan yang digapainya. Tetapi, semuanya berubah bila dia bertemu dengan Khalisah, ibu Umar. Khalisah hanya orang kebanyakan, orang biasa yang tak punya apa-apa keistimewaan. Tak ada pangkat, harta ataupun kerjaya yang boleh dibanggakan".
"Tok menentang pernikahan Salahuddin dengan Khalisah. Dibutakan cinta, Salahuddin lebih sanggup memilih Khalisah ketika tok memberinya pilihan sama ada Khalisah atau keluarga. Sejak itu, dia berhenti kerja, berpindah jauh semata-mata ingin pergi jauh dari tok".
Nafas ditarik dalam.
"Tok arahkan Zack untuk jejak dia dan bawa dia ke rumah tok semula. Jika mampu, buatkan dia dan Khalisah berpisah. Percubaan kami untuk pisahkan Salahuddin dan Khalisah semakin sukar apabila kehadiran kamu berdua semakin mengukuhkan cinta mereka".
YOU ARE READING
Kelam Semalam
LosoweBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...