13: Rumah Anak Yatim

480 61 2
                                    

Langit petang kelihatan mendung dipayungi awan tebal nan gelap. Tanda bahawa hujan bakal menimpa bumi setelah sekian lama bumi kehausan dibakar panas mentari. 

Namun cuaca gelap itu sedikit pun tak membataskan aktiviti harian manusia di saat itu. Hanya sebahagian kecil yang berkejaran dengan masa demi mengelakkan diri mereka dibasahi hujan yang bakal turun.

Zarfan memerhati Umar dari kejauhan. Kelihatan lelaki itu sibuk membaiki pintu pagar yang rosak. Sesekali, lelaki itu berhenti bekerja demi mengesat peluh yang galak turun membasahi wajahnya. Seperti biasa, Umar setia dengan kaca mata hitamnya walaupun cuaca gelap.

Wajah tekun Umar menjadi sasaran matanya. Entah kenapa, hatinya selalu mengatakan bahawa dia dan Umar pernah bertemu sebelum ini. Namun, kenapa dia tak mampu ingat siapa Umar. Sudah puas dia menyelongkar kotak memorinya, namun hampa.

Dia memang tak ingat apa-apa.

"Zarfan, mari masuk nak. Hari sudah nak hujan ini. Nanti kamu demam pula," sapa Tuan Jamal. Pemilik rumah anak yatim ini. Orangnya sudah berusia lebih tujuh puluh tahun.

"Baiklah, tok. Biar saya panggil Umar dahulu ya. Nanti saya masuk," ujar Zarfan lembut. Dia bangun dari kerusinya.

"Umar?" Tuan Jamal mengerutkan dahinya. Saat itu baru dia perasan bahawa Umar masih membaiki pintu pagar.

"Ya Allah budak ini! Umar! Sudah-sudahlah itu. Tak ada anak dara pun yang intai kamu bekerja. Tak payah berlagak rajin sangat!" bebel Tuan Jamal dengan nada yang tinggi. Bukan marah tetapi kerana jarak mereka agak jauh.

Zarfan tertawa tanpa suara mendengar bebelan si tua itu. Tak sangka sampai ke situ pula Tuan Jamal berfikir. Dia melihat Umar berpaling ke arah mereka. Umar menanggalkan topinya lalu mengibas-gibas topi itu bagi menyejukkan badannya.

"Haishh, tak ada anak dara apanya, tok. Banyak kat dalam rumah itu. Pilih sahaja nak yang mana," balas Umar selamba. Mulutnya dijuihkan ke arah rumah.

Tuan Jamal membulatkan matanya. Dia bercekak pinggang. "Banyak tak kacak muka kamu! Sedar sedikit yang kamu itu sudah tua. Tak padan dengan cucu-cucu atuk di dalam. Kamu jangan, Umar. Mana kamu nak campak bunga yang bertaman dalam hati itu? Cakap serupa orang bujang walhal hatinya sudah dimilik orang," bidas Tuan Jamal. Dia tersenyum penuh makna.

Umar yang sedang mengemas alat-alat bertukang yang bersepah diatas tanah itu terkedu. Wajah seorang wanita yang manis bertudung hadir dalam fikirannya. Lama dia membeku disitu sehingga Tuan Jamal menjerit.

"Umar, oi! Cepatlah buat kerja itu. Hujan sudah menitik itu. Yang dok keras membeku kat situ buat apa lagi?!" bidas Tuan Jamal sekali lagi.

Terus Umar tersedar dari lamunannya. Dia mempercepatkan kerja mengemasnya. Benar kata Tuan Jamal, hujan sudah merintik turun. Terasa belakang bajunya mula dibasahi hujan sedikit demi sedikit. Usai mengemas, dia berlari anak menuju ke balkoni dimana Zarfan dan Tuan Jamal berada.

"Hah, siap pun kerja. Jangan berlagak rajin sangat. Tengok-tengok cuaca sama. Nanti tak ke bimbang si bunga hati kalau kamu demam nanti," usik Tuan Jamal sambil menepuk bahu Umar.

Umar memandang wajah Tuan Jamal dengan penuh persoalan. Hairan dia, dari mana yang Tuan Jamal kaut fakta itu? "Ma... Mana Umar ada bu..bunga hati!" nafi Umar.

Tuan Jamal mencebik. "Tak ada apanya. Itu yang gagap kenapa? Cuba jelaskan pada atuk. Heh, jangan kamu cuba menipu orang tua ya. Atuk ini lebih lama makan asam garam dari kamu. Sekilas ikan di air, sudah atuk kenal jantan betinanya".

Zarfan hanya diam mendengar perbualan dua lelaki itu. Hendak menyampuk, dia tak tahu apa yang hendak diperkatakan. Dalam diam, dia tertanya mendengar ayat Tuan Jamal.

Umar ada buah hati? Nyata itu satu maklumat baru baginya. Sungguh, dia teringin hendak mengenali gerangan wanita yang berjaya menambat hati Umar yang serba misteri itu.

"Betullah tok. Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Orang macam Umar ini tak layak berdamping dengan mana-mana wanita. Umar ditakdirkan hidup sendirian sehingga hujung nyawa. Tanpa keluarga, tanpa kawan, tanpa kekasih," balas Umar dalam nada perlahan.

"Haishh, apa cakap macam itu. Tak mahulah sedih-sedih. Malulah sedikit dengan si Zarfan ini," pujuk Tuan Jamal.

Sungguh semua perkara mengenai Umar dia tahu.

Termasuklah sesalan Umar yang tak pernah hilang itu.

Membuatkan dia juga rasa bersalah kerana dialah punca penderitaan Umar selama ini.

Umar mengukir sengih. "Mana ada sedih. Kalau sedih pun, Umar tak akan menangis. Awan sudah tolong menangiskan untuk Umar. Lagipun air mata awan lebih bermanfaat besar dari air mata Umar. Dapat juga suburkan pokok sayur yang atuk tanam kat belakang sana," guraunya.

Tuan Jamal membuat muka. Umar tertawa kecil lalu masuk ke dalam rumah.

"Jom Zarfan, kita masuk. Boleh pula budak itu tinggal kamu di luar," ajak Tuan Jamal. Terselit nada menyampahnya kepada Umar.

Zarfan tersenyum lebar menampakkan giginya. Dia tak kisah sebenarnya. Dia ikut berjalan disisi Tuan Jamal masuk ke rumah itu.

"Tok, apa maksud Umar?" tanya Zarfan apabila mereka tiba diruang tamu. "Kenapa Umar kata dia ditakdirkan hidup sendirian?"

Tuan Jamal diam seribu bahasa. Wajah Zarfan direnung lama sebelum dia mengeluh perlahan. Dia melabuhkan punggungnya disofa diikuti oleh Zarfan.

"Tok ini sudah lama kenal dengan budak Umar itu. Luar dalam Umar sudah tok tahu. Dari zaman dia jadi bayi, sehingga sudah besar matang sekarang. Umar tak macam budak-budak lain. Hidupnya tak pernah sempurna. Ada sahaja ujian yang melanda. Mula-mula dia kehilangan keluarga, kemudian dipulau kawan-kawan dia. Tetapi itulah orang kata, jika Allah menghendaki, itu yang akan terjadi. Sekali imbas, Umar nampak normal sahaja. Macam orang tak ada masalah. Hidup sempurna, lengkap serba-serbi. Tetapi hatinya, hanya Allah yang tahu. Mujurlah Umar seorang yang berhati tabah. Kalau tidak, tak sanggup tok bayangkan".

Zarfan diam. Cerita Tuan Jamal didengar dengan penuh khusyuk. Dia ingin mengenali Umar dengan lebih mendalam. Harapkan Umar sendiri membuka cerita, sampai mati pun dia tak akan tahu apa-apa tentang pemuda itu.

Tuan Jamal memandang Zarfan. "Bila tengok muka kamu, tok teringat masa Umar baya kamu dahulu. Masa itu, Umar jauh berbeza dari sekarang. Walaupun nakal, Umar sentiasa nampak gembira. Tak macam sekarang. Tak guna kalau dia selalu senyum kalau wajahnya dibayangi kesedihan. Haih, tok harap sangat kamu dapat bantu Umar melupakan kelam kisah semalam dia. Lagipun, kamu sahaja yang mampu membantu untuk pulihkan hati Umar yang telah berderai hancur itu," sambung Tuan Jamal dalam nada penuh mengharap. Dia memandang mata Zarfan sedalam-dalamnya.

Seakan ingin Zarfan berjanji untuk menunaikan harapannya yang satu itu.

Zarfan tak terkata. Selama ini, dia menyangka dialah insan yang paling menderita selepas kehilangan keluarganya. Ternyata, Umar juga pernah menderita sepertinya.

Patutlah Umar dapat memahami perasaannya.

"Tok! abang Zarfan! Opah panggil minum petang," tegur Ali, salah seorang penghuni rumah anak yatim itu.

"Ya, ya. Nanti kami datang. Oh ya, abang Umar kamu mana?" soal Tuan Jamal kepada Ali.

"Abang Umar mandi. Opah sudah bebel tadi. Abang Umar suruh kita makan dulu. Jangan tunggu dia," beritahu Ali.

Tuan Jamal tersenyum. Ringan tangannya mengusap kepala Ali. Ali tersengih lalu berlari anak menuju ke dapur. Ceria sahaja gayanya.

"Zarfan, marilah kita ke dapur. Hujan-hujan macam ini seronok menikmati teh o panas," jemput Tuan Jamal sambil ketawa kecil.

Zarfan sekadar tersenyum nipis. Dia cuba menahan sakit kepala yang tiba-tiba datang dari terpampang pada riak wajahnya. Entah kenapa, panggilan 'abang Umar' yang disebut oleh Tuan Jamal dan Ali tadi mengocak sesuatu yang kabur dalam kotak ingatan lamanya.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now