"Huh, betul ke maklumat ini?" tanya Danial sambil membaca fail yang berada di dalam komputer riba Rusdi.
"Betullah. Itu apa yang aku dapat selepas menggodam telefon Haiqal. Dari apa yang aku tahu dari Afiq, Khalil ini ialah pekerja di bakeri Haiqal. Tetapi dia pernah menjadi penyiasat persendirian sebelum bekerja dengan Haiqal," jelas Rusdi sambil menunjuk ke arah nama Khalil di skrin komputer ribanya.
Danial membaca semua yang tertera di situ dengan teliti. Maklumat yang Rusdi dapatkan itu tidak lengkap sepenuhnya lagi. Hanya sekadar cebisan perbualan Umar Haiqal dengan Khalil mengenai rancangan Umar Haiqal untuk berdepan dengan Tuan Yasir demi mendapatkan kepastian tentang pembunuhan walidnya. Disertakan sekali di situ, lampiran gambar diari ibu Umar Haiqal yang menceritakan hari pembunuhan suaminya.
"Kenapa sampai di sini sahaja perbualan mereka? Macam tergantung," tanya Danial lalu memandang Rusdi.
Rusdi mencebik. "Huh, Haiqal dapat kesan yang ada orang cuba pecah masuk telefon bimbinya. Jadi, dia memperketatkan sistem telefon bimbitnya. Malah, dia sempat hantar virus ke komputer aku. Terpaksalah aku beli komputer baru, tahu! Rugi aku. Aku tak sangka pula Haiqal sebijak ini," rungutnya.
Danial tertawa perlahan. "Kesian kau ya. Nanti aku bayar ganti rugi kau".
Mata Rusdi bersinar dengan keterujaan. "Betul ke?"
Ketawa Danial berlanjutan. Dia menutup komputer riba Rusdi. "Iya. Ya. Nanti aku masukkan duit ke akaun kau".
Rusdi tersengih. "Untung dapat kawan kaya macam kau ini ya".
Danial membuat muka. Bukan dia tak tahu, Rusdi juga kaya dengan pendapatannya sebagai pakar komputer. Setakat beberapa ribu yang dia rugi itu, bukan masalah bagi Rusdi. Tetapi entah kenapa, Rusdi tetap juga teruja bila ditawarkan duit.
"Sudah, pergi telefon yang lain. Suruh mereka bersiap sedia. Kita pergi jumpa Tuan Yasir," arah Danial."Baik tuan!" Rusdi mengangkat tabik seperti tentera. Kemudian dia menjauh dari Danial untuk menghubungi kawan-kawan mereka yang lain.
-----------------------------------------------------------
Terasa deru angin melibas pipinya sebelum satu bayangan kabur laju memintas dirinya. Serentak itu, terasa badannya ditendang dari belakang. Umar Haiqal tersentak apabila terasa tubuhnya melayang jatuh akibat kuatnya tendangan itu.
"Danny? Eusuf? " ujar Umar Haiqal tak percaya melihat Danial dan Eusuf yang berdiri di depannya. Dia menoleh ke belakang, kelihatan Naufal sedang memangku kepala Tuan Yasir yang rebah diribanya.
"Kau nak jadi pembunuh ke Haiqal?!" marah Danial. Dia menunduk seraya mencekak leher baju Umar Haiqal. Wajahnya kelihatan garang.
"Kenapa korang ada disini?" keras Umar Haiqal bertanya.
"Kami datang kerana nak cari kau. Qal, kalaupun Tuan Yasir bersalah, bukan hak kau untuk bunuh dia!" marah Eusuf pula.
Dia tak sangka dengan apa yang disaksikannya sebentar tadi. Ketibaan mereka di bumbung bangunan itu hanya untuk disambut dengan adegan Umar Haiqal menembak Tuan Yasir. Lelaki yang telah membesarkannya selama ini. Umar Haiqal benar-benar telah berubah!
Umar Haiqal merengus. Dia mengengam tangan Danial lalu direntap kuat untuk meleraikan cengkaman Danial pada leher bajunya. Dia kembali berdiri sambil mengibas debu pada pakaiannya.
"Kau tak ada hak nak masuk campur urusan aku, Eusuf! Jangan menyibuk!"
Eusuf yang berang cuba menumbuk Umar Haiqal. "Kau kawan aku, Qal! Aku tak bodoh untuk biarkan kawan aku jadi pembunuh!"
YOU ARE READING
Kelam Semalam
De TodoBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...