AWAN kelam perlahan-lahan berarak menutupi kebiruan langit. Angin yang sepoi-sepoi bahasa pada awalnya mulai bertukar kencang. Dedaun tua yang menguning berguguran ke bumi, terdampar umpama hamparan permaidani kusam. Nyata alam bergerak mengikut kehendak-Nya.
Emy mendongak ke langit melihat gumpalan-gumpalan awan yang tergantung tanpa ada penyokongnya itu 'berjalan' sendirian. Melihat dari kepekatan warna awan itu, dia pasti hujan akan menimpa bumi bila-bila masa sahaja. Walaupun begitu, gadis itu masih duduk berteleku di atas tunggul kayu di belakang rumahnya sambil memerhatikan air jernih mengalir mengikut alurnya.
Dia leka memerhati kejadian alam yang mempesonakan itu. Beberapa ekor anak ikan seliding berenang-renang mencari makan menambahkan keasyikan lamunannya. Dia merenung wajahnya di permukaan air, amat jelas ia kelihatan suram. Apa yang ada dalam hati tergambar melalui wajahnya.
Air mata yang tadi hanya bertakung di tubir mata kini merembes keluar sebelum sempat hujan menimpa bumi. Dia bagaikan tidak ubah seperti dedaunan yang berguguran itu.
Lelehan air mata itu disapu dengan hujung lengan baju. Cecair hidung yang turut mengalir bagaikan menyekat hembusan nafasnya disapu.
Rintik-rintik hujan mulai turun perlahan-lahan, namun dia masih di situ membiarkan mutiara jernih itu menimpa tubuhnya dan berharap segala beban perasaan yang dilalui turut sama mengalir pergi bersama rintik hujan.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...