Bab 36

186 9 0
                                    

MESYUARAT yang dijangka tamat awal rupa-rupanya semakin meleret. Selepas waktu makan tengah hari mereka akan menyambung kembali. Ada banyak perkara yang mahu dibincangkan oleh Faiz.

Ayie melepaskan keluhan. Ketiadaan Emy begitu dirasakan. Semangatnya terasa melayang pergi. Tadi pun fikirannya tidak terarah pada apa yang dibincangkan oleh Faiz. Fikirannya jauh tersasar memikirkan keadaan Emy. Jika ada Emy yang mencatat minit mesyuarat tadi, hingga ke subuh esok pun dia sanggup duduk bersila di situ. Dia meraup wajahnya beberapa kali.

"Kenapa dengan muka kau ni, angah? Monyok semacam aja. Kalau dah rindu sangat dengan Emy tu, call ajalah. Nah, ambik telefon ni. Tanya khabarnya." Faiz menghulurkan telefon bimbitnya kepada Ayie yang tersengih memandangnya.

"Budak tu tak sampai sehari MC, angah dah separuh nanar. Kalau dah sayang sangat pada dia tu, apa tunggu lagi? Luahkan ajalah. Nanti tak pasal-pasal pengsan lagi budak tu. Selalu sangat keliru." Faiz meletakkan telefon bimbitnya di atas meja apabila hulurannya tidak bersambut.

"Apalah kau ni, long. Aku tak rasa apa-apa pun." Ayie menyangkal. Dia tidak mahu Faiz terus mengusiknya atau dalam erti kata lain mencungkil isi hatinya.

"Jangan nak temberang la, angah. Bukan along tak tahu apa yang ada dalam hati kau tu. Nampak tak tu?"

Kening Ayie bertaut. "Nampak apa?"

"Tu hah, dalam mata kau tu. Along nampak muka Emy aja. Muka along yang angah duk pandang sekarang ni pun sipi-sipi aja, kan?" duga Faiz.

Ayie tersengih kelat. Tepat mengena batang hidung sendiri.

"Hah... macam mana? Esok angah dah ke JB. Bukan sehari kat sana, dua tiga bulan pulak tu. Kalau balik pun, hari minggu. Itu pun kalaulah dapat jumpa dia. Kalau tak dapat, macam mana? Boleh tahan ke kau ni? Tak takut orang sini kacau setiausaha merangkap biah hati kau yang belum disahkan lagi tu?" Semakin galak Faiz menyakat Ayie.

Sekarang sudah jelas adiknya memang ada menaruh hati pada bakal adik iparnya itu. Senang hati Faiz bila mengetahui Emy yang bakal menjadi suri hidup adiknya. Tidak salah pilihan Ayie. Dia sangat-sangat bersetuju dengan pilihan adiknya itu.

Ayie memandang Faiz dengan rasa tidak puas hati. Makin menjadi-jadi pula usikan abangnya itu. Seboleh mungkin dia mahu menyembunyikan rasa gundahnya daripada Faiz. Tidak sanggup diketawakan oleh Faiz namun masakan dia dapat menutupnya dengan rapi, Faiz sudah dapat menghidunya.

"Buat-buat tak tahu pulak. Bila lagi angah nak luahkan isi hati angah yang tengah bergelora tu? Lagi tiga bulan baru boleh jumpa Emy. Kesian adik along ni." Faiz sengaja memprovokasi Ayie. Mahu melihat sejauh mana adiknya ingin menafikan rasa hati.

"Tengoklah dulu, long. Awal lagi ni." Otaknya berserabut. Baru sahaja hendak mengenali Emy dengan lebih rapat, dia pula terpaksa ke Johor Baharu mengendalikan projek di sana.

"Jangan lama-lama, ngah. Nanti dikebas orang. Along dengar, kat kampung dia tu pun ramai yang minat. Orang kata apa tu... pat-pat siku lipat, siapa cepat dia dapat." Faiz ketawa besar. Sengaja mahu menakut-nakutkan adiknya.

Ayie terpinga-pinga. Kata-kata Faiz sebentar tadi bagaikan satu semangat buatnya. Bimbang juga kalau-kalau apa yang diperkatakan oleh Faiz itu betul. Takut pula buah hatinya yang masih belum diiktiraf itu dikebas orang.

Faiz tersengih lebar. Termakan juga Ayie dengan katanya tadi.

"Betul ke, long dia dah ada yang special?" soal Ayie, kalut.

Faiz tidak menjawab soalan Ayie itu sebaliknya dia menulis sesuatu di atas kertas kosong.

Ayie hanya memerhati pergerakan tangan abangnya. Apa pula yang ditulis oleh Faiz? Pasal kerja lagi ke? Ayie mencongak jika benar ada tugas untuknya, dia berharap sangat abangnya tidak memaksa dia untuk menyiapkan hari ini.

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now