Bab 26

182 10 0
                                    

SURIATI berjalan laju keluar dari pejabatnya, bimbang kalau-kalau tunangnya sudah tercegat menunggunya di bawah. Bukannya dia tidak kenal akan bakal suaminya itu. Tidak betah menunggu lama, nanti tidak pasal-pasal dia terpaksa menahan telinga mendengar bebelan yang panjang berjela daripada Hazwan.

Saat dia ingin melintasi kaunter penyambut tetamu, dia ternampak Emy yang masih duduk termenung di tempatnya. Suriati merenung jam di tangannya. Setahunya Emy belum pernah pulang lewat. Siapa pula yang ditunggu oleh gadis itu?

"Tak balik lagi Emy? Tunggu siapa?" sapa Suriati. Pertanyaan dari arah belakang secara tiba-tiba itu membuatkan gadis ayu itu kelihatan sedikit terkejut. Suriati ketawa kecil, kesilapan yang tidak disengajakan.

Emy tersentak. Dia cepat-cepat memandang ke arah Suriati lalu menghadiahkan sebuah senyuman apabila Suriati tersengih kepadanya.

"Belum lagi, kak...tunggu kakak Emy datang ambil. Hari ni dia lewat sikit agaknya." Emy memandang sekilas jam tangannya. Sudah hampir pukul tujuh malam. Hatinya dipagut risau.

"Dah lewat sangat ni, hari pun nampak macam nak hujan aja. Sekarang ni pun cuaca tak menentu, asal petang aja hujan..." omel Suriati.

Emy hanya tersenyum dengan keramahan wanita yang berusia dua puluh lapan tahun itu.

"Akak pun lewat juga, ada yang datang jemput ek?" soal Emy. Sekurang-kurangnya kehadiran Suriati tidaklah membuatkan dirinya dihempap perasaan bosan menunggu.

"Emmm...akak tunggu tunang akak. Ingatkan dia dah sampai tadi. Agaknya kat tempat dia dah hujan ni, sebab tu lambat. Nak beli kereta sendiri, dia tak bagi. Takut sangat kita merayap tak tentu hala. Belum lagi kahwin dah macam-macam kena ikut, kan...." Suriati galak bercerita mengenai perangai tunangnya, sekadar menghilangkan rasa bosan menunggu.

"Kita ni sama-sama menunggulah, ya?" ujar Emy lalu mereka sama-sama ketawa.

Nada dering lagu Izinkan Aku Pergi berkumandang tiba-tiba. Cepat-cepat tangan Suriati menggagau ke dalam tas tangannya, mencapai telefon bimbitnya. Takut pula panggilan daripada pemanggilnya tidak sempat dijawabnya.

"Panjang umur...baru aja sebut pasal dia." Suriati berkata dalam nada ketawa walaupun dia tidak melihat panggilan itu daripada siapa.

Emy turut tersenyum. Gembira pula melihat Suriati senang hati di hadapannya.

"Eh?" Suriati kebingungan. Dia tidak kenal nombor siapa yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Namun dijawab juga panggilan tersebut. "Helo?"

"Helo, Suriati."

Suriati diam. Sungguh, dia tidak kenal siapa yang menelefonnya itu.

"Saya ni, Fariz," balas Ayie sedikit tergesa-gesa.

"Bos! Kenapa ni bos? Cemas aja bunyinya."

"Awak ada kat mana? Masih kat pejabat lagi ke?"

"Eh, macam mana bos tahu saya masih kat ofis lagi?" soal Suriati kembali. Hairan pula dia dengan bosnya yang tahu di mana dia berada sekarang.

"Lega saya. Bukan tahu, saya teka aj tadi. Tapi, nasib baiklah awak masih ada kat ofis, kalau tak masalah besar saya," terang Ayie dalam kelegaan.

"Kenapa bos?"

"Saya nak minta tolong awak ni. Saya tertinggal dokumen penting dalam bilik saya. Awak tolong hantarkan sekarang ke KLIA. Saya dah dalam perjalanan ke sana. Nak patah balik dah tak sempat. Kat sini tengah hujan lebat, jalan jadi sesak sikit," pinta Ayie dengan penuh mengharap. Gara-gara terlambat, semuanya jadi kelam-kabut.

"Errr...dokumen apa tu, bos?"

"Dokumen yang saya perlu serahkan pada Syarikat Usaha Dagang esok. Atas meja dalam bilik saya kalau tak silap. Awak cuba tengok dulu, apa-apa hal telefon saya semula, okey?"

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now