Bab 40

192 10 0
                                    

"ASSALAMUALAIKUM...." Mak Jah berkalih ke belakang tatkala mendengar suara yang cukup dikenalinya memberi salam. Siapa lagi kalau bukan Mak Cik Senah, teman akrabnya. Hanya Mak Cik Senah satu-satunya teman yang mengetahui kisah hidupnya. Gerak tangannya yang lincah seketika tadi terhenti. Dia menyimpan kembali benang kaitnya yang baru separuh dijahitnya. "Waalaikumussalam. Naiklah, Senah."

"Dah naik pun. Kau buat apa tu? Ralit sangat dari tadi."

"Apa lagi Senah oi, mengaitlah kerja aku duduk sorang-sorang macam ni. Ada anak macam takde anak," adu Mak Jah.

"Mak Cik Senah ketawa mendengar keluhan Mak Jah. Masak benar dengan perangai temannya itu. Jarang sekali dia mendengar keluhan Mak Jah tentang anak-anaknya ketika Emy masih tinggal dengannya dulu.

"Kalau bosan sangat duduk kat sini, apa nak disusahkan. Kau duduk aja dengan anak-anak kau kat Kuala Lumpur tu, habis cerita." Mak Cik Senah duduk bersimpuh di muka pintu. Memang di situlah dia selalu melepak bersama Mak Jah. Bersembang di luar lebih selesa.

"Kalau tinggal dengan diorang pun bukan habis cerita aku ni, Senah. Rumah aku ni siapa nak jaga? Kalau setakat tinggal seminggu dua tu takpelah. Kalau terus menetap kat sana tak sanggup aku, Senah." Mak Jah juga melabuhkan duduknya bertentangan dengan Mak Cik Senah. Di situlah tempatnya kalau mereka bercerita.

"Habis tu, takkanlah kau nak tinggal sorang-sorang kat sini? Anak-anak kat bandar tu. Aku, kalau anak-anak ajak tinggal dengan diorang lagi aku suka. Takdelah aku ni sunyi aja sepanjang masa. Lebih-lebih lagi kalau dah bercucu, hilanglah sikit sepi aku ni, Jah."

"Bahar, kan ada? Duduklah dengan Bahar."

"Memang la Bahar tu ada, tapi nak harapkan dia, entah-entah aku tutup mata dulu," luah Mak Cik Senah.

"Apa cakap macam tu? Tak baik, Senah...."

"Entah bila dia nak balik. Dah lama dia duduk negara orang putih tu. Macam mana rupanya pun aku tak ingat dah. Tak teringin ke dia nak balik ke kampung halaman ni...." Sayu suara Mak Cik Senah meluah rasa hatinya.

"Aku pun tak tahulah, Jah. Apa yang dia kecewa sangat sampai bawa diri ke negara orang. Kalau nak bawa diri pun, kat Malaysia ni sudahlah. Ke Sabah, ke Sarawak ke, ini tidak... ke Australia tu hah. Kalau dekat, aku boleh la pergi jenguk-jenguk. Ini tak, jauhnya berbatu-batu," sambung Mak Cik Senah lagi apabila mengenangkan satu-satunya anak yang dia ada. Itulah hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Andak tiga puluh tahun yang lepas.

"Kan ke anak kau pergi belajar, Senah. Kecewa apa pulak? Takkan putus cinta kut budak tu? Dengan anak dara siapa? Dia bukannya ada kawan perempuan ramai sangat. Setakat anak aku dua orang tu aja ke hulu ke hilir."

"Entah la, Jah. Aku pun tak tahulah budak-budak sekarang. Kecewa sikit, bawa diri. Hari tu dia ada cakap kat aku, dia nak balik lepas habis belajar ni. Entah ya ke tidak budak tu. Bukan boleh pakai sangat kata-katanya tu. Nanti dah habis belajar kat sana, cakap nak kerja sana pulak cari pengalaman. Dah elok-elok kerja kat sini pergi sambung belajar pulak. Pening aku dengan Bahar tu," luah Mak Cik Senah.

Rajuk benar dia dengan anak bujangnya itu. Hatinya sarat dengan rasa rindu untuk menatap satu-satunya wajah anak yang dia ada. Dia sendiri tidak mengerti kenapa anaknya liat sangat hendak balik ke kampung.

"Anak kau, Emy tu apa cerita? Dah berpunya ke?" soal Mak Cik Senah. Tidak mahu terus melayan rasa hatinya.

Riak wajah Mak Jah berubah. Tidak menyangka Mak Cik Senah akan bertanyakan hal Emy. Dia tidak suka jika orang menyebut Emy itu anaknya. Emy bukan anaknya!

"Kenapa? Kau nak jodohkan Bahar dengan dia ke?" soal Mak Jah acuh tak acuh.

Mak Cik Senah tersengih. Kalau tuan punya badan bersetuju, dia lagilah setuju.

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now