"KAU dah cuci ke belum tangga tu? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau, rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"
Kemarahan Mak Jah meluap-luap apabila melihat Emy yang sedang leka mengasingkan baju yang hendak dibasuhnya. Hatinya membara setiap kali memandang wajah Emy. Sedari tadi dia tercari-cari kelibat gadis itu kerana ada kerja yang sedang menunggunya.
Sejak dikhabarkan Nadia, anak kesayangannya hendak dipinang orang, dia tidak senang duduk. Bukan sembarangan keluarga yang hendak masuk meminang anaknya. Anak orang kenamaan. Anak Datuk Kamal dan Datin Maimun, orang kampung sebelah yang telah berjaya membina nama di Kuala Lumpur. Bertuah Nadia dapat bersuamikan anak Datuk, dapatlah dia menumpang tuah. Hatinya berbunga riang.
Emy yang tersentak dengan sergahan begitu kepucatan wajahnya. Dadanya berombak kencang. Benar dia tidak menyangka disergah sebegitu rupa. Bukankah elok jika disoal emaknya dengan cara baik?
Emy menatap wajah Mak Jah yang sedang merah menahan marah. Ketakutan menjalar ke seluruh tubuhnya. Dia hanya mendiamkan diri. Tidak pernah dia membantah apa sahaja yang disuruh walau telinganya sering menerima herdikan, maki hamun atau kata-kata yang menyakitkan hati. Itu semua sudah lali baginya, sudah menjadi makanan batinnya.
Bakul baju yang diasingkan pakaian tadi diletakkan ke tepi. Dia perlu membasuh tangga rumah seperti yang diarahkan sebelum emaknya semakin naik darah. Apa lagi agaknya yang belum memuaskan hati emaknya? Dua hari lepas tangga rumah itu sudah dibasuhnya dan dia tahu emaknya sendiri yang melihat waktu itu. Masakan dia harus mengerjakan sekali lagi? Hendak dibantah takut pula rasanya. Dia kenal siapa emaknya. Jadi, lebih baik mengikut sahaja kehendaknya daripada membantah. Jika tidak, kesakitan sahaja yang akan menjalar ke seluruh tubuhnya.
Tanpa berlengah Emy berlalu ke dapur mengambil berus, sebaldi air serta sabun lalu dibawanya ke hadapan. Dia terpaksa pula mengangkut air dari dapur ke depan rumah berulang kali. Kepenatan menyediakan sarapan pagi, membasuh pakaian emak, mengemas rumah dari awal pagi masih belum hilang, kini dia diberikan tugas membasuh tangga pula.
Kakak dan abangnya yang sedang menonton televisyen dan membaca surat khabar itu hanya memerhatikan sahaja. Mereka juga tidak mampu berbuat apa-apa. Emy tahu, jika dirinya dibela pasti emak akan turut memarahi mereka. Dia hanya tersenyum melihat mereka yang jelas menunjukkan simpati kepadanya. Keruh di wajah mereka membuatkan rawan lagi di hatinya.
"Lepas siap kau basuh tangga tu nanti, aku nak kau ke pasar pula." Mak jah yang muncul di depan pintu utama, tercegat bagaikan mandur mengarahkan kulinya. Matanya melihat setiap gerak-geri Emy melakukan kerja.
Emy mendongak, memandang emaknya. Bukan niat mahu memberontak, tetapi rasa hormat kepada emak yang sedang bercakap, tetapi lain pula yang terjadi.
"Hah, yang kau pandang aku macam nak telan tu kenapa? Nak melawan? Hah, melawanlah! Aku nak tengok sejauh mana kau boleh melawan!" jerkah Mak Jah pantas tangannya mencapai kasut bertumit dua inci milik Nadia lalu dibalingkan ke arah Emy.
"Aduh!"
Tindakan spontan Mak Jah itu tidak sempat Emy elak. Tumit kasut itu terkena tepat ke dahinya. Pedih. Darah pekat mengalir keluar dari rekahan luka di dahinya. Emy terduduk.
Tanpa rasa bersalah, Mak Jah terus berlalu meninggalkan Emy yang sedang merintih kesakitan. Baru puas hatinya.
Azhar dan Nadia yang ternampak kejadian tadi terus meluru mendapatkan adiknya. Mereka tidak menyangka begitu sekali tindakan Mak Jah terhadap Emy. Apa kesalahan yang dilakukan oleh Emy sehinggakan emak bertindak di luar batas kemanusiaan.
"Kenapa mak buat macam tu pada adik?" Nadia menyoal tindakan Mak Jah terhadap adiknya apabila wanita separuh abad itu kembali lagi di muka pintu. Kecut juga perutnya apabila mata emaknya mencerlung ke arahnya. Jika benar pun Emy bersalah, tidak sepatutnya dia diperlakukan sebegitu. Sedikit kesalahan kecil, tapi nampak besar pula di mata emak.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...