Bab 33

213 9 0
                                    

HARI pertama Emy bekerja sebagai setiausaha kepada Ayie membuatkan tingkahnya menjadi serba tidak kena. Ada sahaja mata yang mencuri pandang ke arahnya. Mungkin mereka pelik melihatnya duduk di situ. Puas dia menunggu ketibaan Ayie yang masih belum menampakkan muka.

Matanya memandang sepi setiap sudut ruang pejabat berwarna putih itu. Entah apa kerja yang hendak dilakukannya ketika ini. Hendak bertanyakan pada orang, tapi tidak tahu pula pada siapa. Akhirnya dia hanya duduk menunggu.

Emy mengerling jam di tangannya. Hampir pukul sepuluh pagi. Bos barunya masih belum menampakkan muka. Terkontang-kanting dia sendirian.

Kedudukan mejanya yang menghadap ke bilik Faiz sedikit sebanyak menggusarkan hatinya. Emy mula memikirkan keadaannya apabila 'Faiz' berada di dalam bilik di hadapannya nanti. Pasti mereka akan sering bertentang mata.

Cermin lutsinar di bilik Faiz itu juga betul-betul merimaskannya. Kalau boleh, mahu sahaja dia menggantikan cermin itu dengan papan lapis. Biar dia menghadap papan lapis itu daripada direnung oleh 'Faiz'. Sekurang-kurangnya perasaan yang sering ditakutinya tidak mengganggu tumpuannya nanti.

"Kalau macam ni gayanya, baik aku kerja kat bawah. Dah tentu ada kerja yang hendak dibuat." Emy mengomel sendirian. Bosan menunggu tanpa membuat apa-apa kerja.

"Morning, Emy. Hai... pagi-pagi dah bercakap sensorang ni, kenapa? Ada yang tak kena?" tegur Ayie sebaik sahaja muncul di hadapan Emy. Dia perasan gadis itu sedang berkata sesuatu, tetapi tidak dapat mendengarnya dengan jelas. Sudah lama dia memerhatikan Emy. Jauh benar mengelamun sehinggakan kehadirannya langsung tidak disedari. Ayie tersengih lucu.

Teguran yang datang secara tiba-tiba itu memeranjatkan Emy. Entah berapa lama 'Faiz' sudah berdiri di situ langsung tidak disedarinya. Malu pula dirinya diperhati dalam diam.

"Errr... selamat pagi, Encik Faiz," ucap Emy sambil berdiri sebagai tanda hormat.

Ayie tersenyum apabila Emy masih belum lagi mengenali siapa dirinya yang sebenar. Kalau ikutkan hati, dia mahu segera menamatkan kekeliruan gadis itu tapi hati nakalnya menegah. Dia mahu melihat Emy terus gelisah apabila bersama dengannya. Mahu menguji apakah firasatnya benar tentang Emy? Dan adakah gadis itu juga turut merasakan apa yang dia rasa?

"Kalau ada apa-apa yang tak puas hati, bagitau abang, tapi jangan cakap sorang-sorang. Nanti orang lain nampak, apa pulak diorang fikirkan pasal Emy," tegur Ayie, mesra. Kalau bukan kerana kesuntukan waktu, sudah tentu dia mahu berlama lagi memerhatikan gerak-geri gadis yang dipujanya dalam diam itu.

Emy tersenyum hambar. Gementar. Dia menundukkan wajahnya apabila mata nakal 'Faiz' mula memerhatikannya. Malu dirinya terlepas laku.

Ayie melangkah masuk ke dalam biliknya. Senang hatinya kini apabila wajah yang sering membuatkan dirinya keresahan kini berada di depan mata.

Briefcasenya dietakkan dengan cermat di atas meja. Dipandang mejanya yang masih tidak berkemas. Beberapa fail yang belum disemak dan ditandatangani, berselerakan di atas meja.

Ayie tersengih sendirian apabila terpandang wajah Emy di luar yang masih terkulat-kulat di mejanya. Lalu dengan pantas dia menekan interkom dan meminta gadis itu masuk ke biliknya. "Emy, masuk bilik abang sekejap."

"Baik, Encik Faiz."

Panggilan nama yang digunakan sudah bertukar formal dan sememangnya begitulah yang diingini oleh Emy bagi menjarakkan lagi keakraban mereka. Lagi pula dia tidak mahu hubungan mereka sebagai bakal ipar duai nanti disalahertikan oleh rakan sekerja yang lain.

Sebaik sahaja dia menjawab panggilan itu, Emy terus ke bilik Faiz. Dia dapat melihat dengan jelas 'Faiz' sedang mengemas beberapa fail di mejanya. Emy tidak lupa membawa pen dan kertas bersama. Sangkanya, pasti ada sesuatu yang perlu dicatatkan  pagi ini dan sudah tentu dia sudah bersedia dengan tugas barunya.

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now