SEMENJAK Emy menjadi setiausahanya, wajah Ayie berseri-seri. Bahkan dia juga semakin bersemangat setiap kali datang ke pejabat.
Hatinya bulat untuk memiliki Emy. Gadis yang suatu ketika dahulu pernah dituduh mencuri motosikalnya, tetapi kali ini lebih parah lagi. Gadis itu berupaya pula mencuri sekeping hatinya yang tidak pernah terusik.
Ayie berjalan di depan Emy dengan bersahaja. Dia perasan bahawa gadis itu kurang senang apabila didekati. Dilihatnya Emy masih leka menaip. Walaupun jari-jemari itu lambat mengetuk papan kekunci, namun dia tahu Emy sedang berusaha memahirkan dirinya. Satu sikap yang amat dia sukai. Perlahan-lahan Ayie menghampiri meja Emy. "Ehem... assalamualaikum. Selamat pagi, Emy. Ada apa-apa untuk saya pagi ni?"
Suara garau 'Faiz' yang menyapa menghadirkan getaran halus di hatinya. Emy mendongak. Wajah 'Faiz' yang dihiasi dengan senyuman menyapa pandangan matanya. Terkejut juga dia apabila disapa ketika sedang leka melakukan kerja. "Waalaikumussalam. Setakat ni takde apa-apa pesanan lagi untuk Encik Faiz."
"Takde ek? Okey." Ayie mengangguk lalu beredar menuju ke biliknya.
Ayie semakin kagum dengan kebolehan Emy. Gadis itu cepat belajar. Dalam diam, dia menjeling wajah manis itu sekilas. Bibirnya mengukir senyum, membayangkan bilakah dia mampu hidup bersama gadis yang mula mencuri hatinya itu? Berjayakah dia menambat hati gadis itu atau mimpi hanya tinggal mimpi?
Ayie menghadap kerja-kerjanya yang bertimbun itu. Kalau dilayan perasaan angaunya itu, sampai bila pun kerja takkan siap. Sedang dia khusyuk meneliti dokumen, tiba-tiba pintu biliknya diketuk.
Ayie memanggung kepalanya. "Masuk."
Tersembul wajah Emy di balik pintu.
Ayie tersenyum kepada Emy apabila melihat di tangan gadis itu terdapat secawan Nescafe kegemarannya. Aromanya begitu tajam menusuk ke hidung.
Ayie sudah terbiasa dengan rutin harian Emy dan kini, dia sudah jarang minum di rumah. Kalau ikutkan hatinya, dia mahu Emy yang sediakan sarapannya. Tapi tak mungkin ia berlaku selagi dia belum meluahkan isi hatinya dan seterusnya mengikat Emy menjadi suri hidupnya.
Kalau hendak diikutkan hati, dia mahu segera meluahkan tapi memandangkan masih banyak lagi urusan yang perlu dia lakukan maka, hasrat itu hanya terpendam di lubuk hatinya sahaja. Lagi pula, terlalu awal untuk semua ini walaupun keinginannya untuk menyunting gadis itu telah lama tersimpan kemas di hatinya. Dia tidak mahu tersilap langkah apatah lagi gadis itu belum mengetahui siapa dirinya yang sebenar.
"Airnya, Encik Faiz..." pelawa Emy lembut lalu dia memaniskan wajahnya. Dia tahu mata 'Faiz' masih tertumpu kepadanya menyebabkan dirinya tidak selesa. Tetapi, memandangkan bukan sekali ini bosnya berkelakuan begini dia hanya membiarkan sahaja walaupun hatinya sedikit gusar dan gementar.
"Terima kasih..." jawab Ayie lalu menyambut huluran cawan itu.
"Ada apa-apa lagi, Encik Faiz?" tanya Emy lembut sebelum dia keluar untuk menyambung tugasnya.
"Emmm... saya...." Kata-kata Ayie terhenti di situ. Hampir sahaja dia ingin meluahkan kata hatinya kepada Emy, tapi akal warasnya masih sempat menghalang.
Emy menanti dengan sabar. Menunggu kalau-kalau ada tugasan lain yang perlu dilakukannya.
"Takpelah, Emy. Awak boleh sambung kerja-kerja awak. Kalau ada apa yang saya perlukan nanti, saya panggil ya." Ujar Ayie kemudiannya.
Ayie meneruskan tugasnya, tidak mahu terlalu melayan perasaan yang semakin bergelora tatkala dia bersama Emy. Dia juga tidak mahu menimbulkan perasaan kurang enak kepada Emy semasa bekerja dengannya.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...