Bab 10

234 11 0
                                    

DIAM tak diam sudah tiga bulan Nadia bertunang. Petang semalam Nadia menelefonnya. Katanya, dia mahu pulang ke kampung bersama tunangnya. Maklumlah cuti umum kali ini panjang. Mak Jah begitu senang hati apabila mengetahui anak kesayangannya akan pulang.

Sudah dipesannya kepada Emy seawal pagi supaya membeli udang dan sotong, makanan kegemaran anaknya itu. Bilik Nadia juga sudah disuruhnya Emy kemaskan. Azhar tidak pulang ke kampung kali ini dia sudah merancang untuk bercuti bersama kawan-kawannya mendaki Gunung Ledang.

Emy telah bersedia dengan tudung di kepala sejak pagi lagi, menunggu dengan sabar arahan seterusnya  daripada Mak Jah. Bimbang juga jika dia terlambat, peristiwa tiga bulan yang lepas akan berulang kembali.

Dia tersenyum puas melihat dirinya kelihatan kemas dan rapi walaupun baju dan tudungnya kelihatan lusuh. Biarlah dia tidak secantik kakaknya, namun dia punya kecantikan tersendiri. Kulitnya tidak putih dan tidak juga gelap, tampak manis sekali dipandang. Dibelek wajahnya di hadapan cermin, sebutir jerawat pun tidak hinggap di pipi gebunya.

Emy bergegas turun ke dapur setelah mendengar Mak Jah memanggil namanya. Mak Jah yang menantikan dirinya sejak dari tadi kelihatan cemberut wajahnya. Tidak pernah sekali pun senyuman terukir di bibir tua itu untuknya. Terasa dirinya bagaikan anak tiri.

Mak Jah menghulurkan duit kepada Emy dengan wajah tanpa segaris pun senyuman. Emy tidak berkecil hati kerana itulah wajah yang sering dia tatap...wajah tanpa seri seorang ibu.

"Lepas balik dari pasar nanti, kau ke kampung sebelah. Pergi ambil kuih yang aku tempah dengan Mak Cik Bedah semalam. Jangan lupa pulak...".pesan Mak Jah, tegas.

"Mak Cik Bedah...." Emy menyebut nama itu, cuba mengimbas kembali Mak Cik Bedah yang dimaksudkan oleh Mak Jah.

"Haah, Mak Cik Bedah yang jual kuih kat simpang empat kampung sebelah tu," terang Mak Jah.

Suara tegas yang keluar daripada bibir tua itu menyebabkan otak Emy ligat berputar.

"Kenapalah bengap sangat otak kau ni, Emy."

Emy berkerut dahi memikirkan siapa Mak Cik Bedah. Setahunya, hanya seorang sahaja yang menjual kuih di simpang empat kampung sebelah. Kalau tak silapnya, sepupu kepada jiran sebelah rumahnya. Sepupu Mak Cik Kiah tu yang dimaksudkan oleh emak agaknya. Emy membuat telahan sendiri. Hendak ditanyakan sekali lagi bimbang pula perkara lain pula yang terjadi.

"Apa tunggu lagi? Cepatlah pergi, nanti lambat pula!" Marah Mak Jah setelah melihat Emy masih mendiamkan diri.

Emy cepat-cepat keluar dari dapur, menuju ke motor cabuknya. Dia menghidupkan motosikalnya dan tidak lama kemudian, sayup-sayup kedengaran bunyi enjin motor meninggalkan perkarangan rumah kayu itu.

Mak Jah leka menyediakan bahan-bahan untuk dimasaknya nanti. Dia akan menyediakan masakan yang sedap-sedap sempena menyambut kepulangan anak daranya dan bakal menantunya. Bibir tua itu tidak lekang daripada senyuman.


EMY menyusuri jalan yang sepi. Sesekali kicauan burung menjadi penemannya. Suara merdu burung-burung yang bernyanyi riang menyenangkan hatinya sekurang-kurangnya ada juga penghibur buatnya. Emy tidak sanggup melalui jalan raya yang berderet dihiasi lampu isyarat, bimbang nanti dia tidak dapat mengawal brek motornya.

Selintas ingatannya melayang pada peristiwa dia ditahan oleh Syafiq dan kawan-kawannya. Harap-harap peristiwa itu tidak akan berulang lagi. Cadangnya, petang nanti dia mahu membaiki brek motornya. Lagipun, sebelum Nadia pulang ke Kuala Lumpur dulu, kakaknya itu ada menghulurkan sedikit duit kepadanya.

Sepatutnya sudah lama dia menukarkan brek motor itu, tapi ada saja hal yang membuatkan niatnya tertangguh. Untung juga emak menyuruhnya mengambil kuih di kampung sebelah. Setahunya memang ada bengkel motor di kampung itu, jadi bolehlah dia menyelam sambil minum air.

Emy sampai ke pasar Manir walaupun perjalanannya terasa lebih lama daripada menyusuri jalan raya utama.

"Hai senyum aja kamu hari ni Emy. Ada apa-apa ke?" sapa Pak Mat dari jauh.

Emy tersengih melihat gelagat Pak Mat. Suaranya yang sedikit kuat itu mengundang beberapa pandangan mata melihat ke arah mereka berdua. Emy semakin pantas melangkah. Hanya senyuman dihadiahkan pada mata yang memandang ke arahnya. "Pak Mat, kasi Emy macam biasa untuk hari istimewa."

Pak Mat tersenyum lebar. Faham apa yang dimahukan oleh pelanggan tetapnya itu.

"Kakak dengan abang kamu ada balik ke?" soal Pak Mat sambil tangannya lincah menimbang sotong ke dalam bekas penimbang.

"Macam mana Pak Mat tahu? Tapi cuma kakak aje."

"Dah kamu yang kata macam biasa untuk hari spesial tu, takkan Pak Mat tak boleh agak. Bila kakak kamu balik aje kamu minta Pak Mat sediakan macam biasa. Kalau diorang tak balik, nampaknya hari-harilah kamu makan lauk ikan bilis."

Emy tersengih lagi mendengar ulasan Pak Mat. Faham benar orang tua itu dengan sikap emaknya.

"Kalau macam tu, kasilah lebih sikit, Pak Mat..." usik Emy.

"Untuk kamu, Pak Mat tak kisah, Emy. Memang Pak Mat kasi lebih dan murah...yang penting segar punya...." kata Pak mat berseloroh. "Pak Mat dah anggap kamu ni macam anak Pak Mat sendiri. Kalaulah Pak Mat ada anak lelaki, dah lama Pak Mat masuk meminang kamu."

Emy ketawa mendengar usulan Pak Mat. Terasa terhibur hatinya. Ada-ada sahaja modal untuk mengenakannya.

"Kenapa nak tunggu ada anak lelaki pulak. Pak Mat kan, ada? Hah... mak Emy pun solo lagi tu." Usik Emy tanpa segan-silu. Perwatakannya berubah apabila dia berjumpa dengan Pak Mat. Keramahannya dan jenakanya adakalanya mengusik hati tua itu.

Pak Mat membulatkan matanya, tidak menyangka Emy sempat juga mengenakannya. "Pandailah kamu nak kenakan Pak Mat ya, Emy."

Beberapa orang penjual yang berada berhampiran mereka juga ketawa mendengar usikan gadis polos itu.

"Pak Mat...kalau Emy tanya sikit, boleh?"

"Tanyalah, Emy. Hal apakah yang merunsingkan gerangan tuan hamba? Hamba bersedia menjawabnya, tapi jangan kamu tanya Pak Mat bila nak tambah isteri sudahlah...."

Emy ketawa lagi mendengar kata-kata nakal Pak Mat.

"Kalau Pak Mat mampu, apa salahnya. Lagipun rambut Pak Mat belum putih lagi tu." Makin galak pula dia menyakat Pak Mat yang sudah bersedia dengan soalannya.

"Isy, kamu ni, Emy. Nak tanya apa tanyalah."

"Emmm... Pak Mat kenal tak siapa yang jual kuih kat simpang empat kampung sebelah tu?"

"Jual kuih? Kenal... kenapa pulak?"

"Takdelah... mak ada tempah kuih. Jadi dia suruh Emy ambilkan."

"Mak kamu tak bagi tahu ke siapa namanya?"

"Mak Cik Bedah katanya."

"Kan dia dah cakap tu, nak tanya apa lagi?"

"Tapi...setahu Emy, bukan ke sepupu Mak Cik Kiah yang jual kuih kat situ?"

"Betullah tu...sepupu Mak Cik Kiah. Tapi itu bukan Mak Cik Bedah, itu adiknya. Mereka dua beradik tu dah lama jual kuih. Mungkin masa Emy pergi beli kuih dulu dengan adik Mak Cik Bedah. Adik Mak Cik Bedah tu dah lama berpindah mengikut suaminya. Dan sekarang, kedai tu Mak Cik Bedah dah ambil alih. Kuih dia pun sama aja rasanya dengan buatan adiknya."

"Oh, macam tu. Tak tahu pulak Emy, Pak Mat. Dah lama Emy tak pergi beli kuih, yang tempah pun emak."

"Manalah kamu nak tahu, bukan kamu selalu keluar rumah pun."

Emy tersengih. Betul juga kata Pak Mat. Dia ibarat katak di bawah tempurung, selalu ketinggalan dalam banyak hal.




Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now