Bab 46

704 19 7
                                    

SUARA ketawa di dalam pantri begitu menarik minatnya. Tentu mereka sedang berkumpul beramai-ramai bersarapan di pantri. Emy tersenyum lebar. Nasi lemak bungkus yang dibelinya di gerai bawah tadi digenggam. Tentu Hani juga ada di dalam pantri kerana suara itulah yang paling kuat sekali didengarinya apabila ketawa.

"Eh, korang tahu tak adik bos kita tu dah bertunang? Dengar khabar nak dilangsungkan sama hari dengan bos. Aku rasa tentu meriah, kan? Anak Datuk manalah yang dapat takcle anak Datuk Kamal tu. Hai, bertuahnya badan...."

Suara Suriati yang bersemangat bercerita itu menarik perhatiannya. Sejak Suriati kembali bertugas, pantri selalu sahaja penuh. Ada sahaja cerita yang menjadi topik perbualannya.

Emy berhenti melangkah. Dia sedikit tersentak dengan khabar yang baru didengarinya itu. Dia sendiri tidak tahu bila masanya Ayie bertunang. Nadia juga tidak pernah membuka cerita kepadanya sejak dari peristiwa itu. Kecewa benar Nadia dengan dirinya kerana menolak lamaran Ayie dahulu.

Emy berasa sayu, tapi untuk apa rasa itu hadir dalam dirinya? Sepatutnya dia merasa gembira. Sekurang-kurangnya Ayie sudah mendapat pengganti dirinya.

"Bertunang? Bila?" soal salah seorang staf yang begitu teruja untuk mendengar kisah seterusnya.

"Itu aku tak tahulah. Tapi, berita ni aku dapat tahu dari seseorang...."

"Boleh percaya ke sumber kau tu? Entah-entah semua tu gosip aja..." sangkal seorang staf yang lain.

"Siapa tunang Mr. Hensem kita tu?" soal Hani yang juga ingin tahu.

"Entah. Aku pun tak tahu..." jawab Suriati.

"Hmmm... buang karen aja dengar cerita kau ni!" omel Hani tidak puas hati. Dia tidak suka mendengar cerita sekerat-sekerat. Kalau hendak bercerita kepadanya kena cerita full story, baru dia berpuas hati.

"Yalah, yang tu aja aku tahu. Yang lain-lain aku tak tahulah..." balas Suriati. Berita itu pun dia dapat tahu bila dia terdengar perbualan Faiz di telefon dengan seseorang sahaja.

"Hmmm... melepaslah kita," keluh seorang staf itu.

Emy segera berlalu dari tempat dia berdiri, tidak jadi mahu terus masuk ke pantri. Nasi lemak di tangannya tidak jadi dimakan. Dia segera kembali ke mejanya.

Cerita yang disampaikan oleh teman-temannya tadi mengasak fikirannya. Kenapa hatinya berdegup kencang? Mengapa hatinya merasa sayu atau ini juga yang dirasakan oleh Ayie ketika dia ditunangkan dahulu?

Emy menarik nafas dalam-dalam. Degupan jantung dan fikirannya bagaikan bercelaru. Dia gelisah sendiri.

"Aku tak patut ada rasa macam ni. Biarlah dia mencari bahagianya sendiri. Ini suratan takdir buat kami." Emy memberi kata-kata semangat buat dirinya sendiri. Dia perlu lupakan segala rasa yang tersimpan buat Ayie sebelum ini.

Emy mula menyibukkan diri dengan kerjanya, tidak mahu otaknya terus ligat memikirkan siapa tunangan Ayie.

Ketika Emy sedang leka dengan kerja-kerjanya, Ayie muncul bersama seorang wanita di sisinya. Ketawa halus masih bersisa di bibir wanita itu.

Emy tersenyum tatkala mereka bertentang mata. Wanita itu sedikit menundukkan kepala lalu membalas senyuman Emy.

Wanita itu memiliki paras wajah yang tidak kurang cantiknya. Berbibir merah saga dan alis lentik mempersonakan sesiapa sahaja yang memandang. Skirt hitam paras lutut yang dipadankan dengan baju tanpa lengan warna hijau lumut itu menggambarkan wanita itu begitu pandai bergaya. Jika hendak dibandingkan dengannya, memang jauh panggang dari api.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 03, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now