Bab 38

189 9 0
                                    

EMY ke pejabat seperti biasa. Datang awal ke pejabat sudah menjadi rutin hariannya. Sejak dia berjumpa Ayie di hospital, hatinya sering memikirkan tentang lelaki itu. Dia tidak suka perasaan yang mulai bercambah itu menganggu hari-harinya. Hatinya bagaikan berbunga mekar. Entah kenapa itu yang dirasainya saat ini.

Bunga mawar di tangan yang dibelinya pagi tadi diciumnya. Keharuman wangian yang terhasil dari celah-celah kelopak mawar merah itu amat menyegarkan, bagaikan terapi minda buatnya. Senyumannya melebar. Dia cukup suka bauan yang keluar dari kelopak bunga mawar merah itu. Beberapa kali dia melakukan hal yang sama.

Emy menjenguk ke dalam bilik kerja majikannya yang telah lama tidak berpenghuni. Mawar merah di dalam pasu kecil yang diletakkan minggu lepas telah layu. Jelas kelihatan kuntuman mawar itu melentok ke bawah.

Emy masuk ke dalam bilik Ayie. Dia bernyanyi kecil, sudah lama dia tidak melakukan aktiviti seperti itu. Jika dia di kampung, hilang sahaja kelibat emak mulalah dia menyanyi kecil sambil melakukan kerja-kerjanya.

Dengan hati-hati dia mengambil sejambak bunga di atas mejanya lalu masuk semula ke dalam bilik Ayie. Bunga di dalam pasu yang terletak di atas meja Ayie perlu ditukarkan. Tidak mahu menyemakkan mata memandang kelayuan kuntuman bunga mawarnya.

Namun, hatinya tiba-tiba sayu ketika tangannya hampir membuang kuntum-kuntum mawar merah itu ke dalam bakul sampah. Dia menyentuh lembut kelopak mawar itu. Satu per satu kelopak bunga berguguran apabila bersatu dengan jemarinya. Sempat Emy menciumnya walaupun harumannya tidak sekuat sewaktu dia meletakkannya di atas meja majikannya dahulu. Tetapi bunga itu juga yang telah menyerikan bilik bosnya itu selama ini.

Emy membandingkan hidupnya dengan kelopak bunga yang layu itu. Sampai masa dia juga akan begitu. Emy mengesat kelopak matanya yang tiba-tiba berair.

"Astaghfirullahalazim...." Kalimah itu terpacul keluar daripada bibirnya.

"Apa emosi sangat aku ni? Takdir Allah tiada siapa yang tahu, Emy. Mak pasti berubah." Dia cuba mengingatkan dirinya sendiri, tidak mahu larut dalam emosi kesedihan.

Emy buru-buru mengemas bilik Ayie. Bimbang kelekaannya tadi dilihat oleh teman-teman yang lain. Manalah tahu ada teman-teman yang sudah pun datang. Bunga mawar yang layu sudah digantikan dengan mawar segar.

Ternyata kebimbangan Emy tidak ke mana. Ayie telah pun lama sampai dan melihat sahaja segala perlakuan Emy di dalam biliknya.

"Ehem!" Ayie berdehem kecil.

Sepantas kilat Emy berdiri tegak lalu menoleh ke arah pemilik suara yang didengarinya tadi. Wajah mulusnya terus bertukar pucat.

"Errr... assalamualaikum. Selamat pagi, Encik Fariz..." ucap Emy perlahan. Entah berapa lama Ayie memerhatikan tingkahnya. Dia jadi malu sendiri.

"Waalaikumussalam... dah siap kemas?" soal Ayie dengan nada yang sengaja diseriuskan. Dilihatnya Emy terkesima. Barangkali terkejut dengan suara tidak mesranya itu.

Ayie berwajah serius. Sengaja mengundang debaran di hati gadisnya. Dia mahu melihat sejauh mana Emy perasan akan perubahan tingkahnya. Dia juga mahu menguji hati gadis pujaannya itu.

"Errr... belum lagi."

"Habis tu, buat apa lagi awak tercegat kat situ? Tak reti-reti nak buat kerja?" sindir Ayie lalu mengambil tempatnya.

Emy kecut perut mendengar arahan keras daripada Ayie yang sebelum ini terkenal dengan sifat peramah dan nakalnya. Tidak tahu di mana salah dan silapnya Ayie berkeadaan begitu. Debaran di dadanya mulai menggila, hendak menangis pula dirasakannya saat itu. Dari renungan mata Ayie, dia tahu majikannya dalam keadaan serius bukan main-main.

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now