EMY sengaja memilih jalan kampung untuk pulang ke rumah. Selain sunyi dan tidak terasa bahang kepanasannya, dia juga tidak perlu melalui jalan raya yang banyak terpacaknya lampu isyarat. Bimbang nanti dia tidak sempat membrek motosikalnya jika lampu isyarat tiba-tiba bertukar merah. Dia masih sayangkan nyawanya.
Lopak-lopak air yang bagaikan membentuk lubang-lubang congkak pada jalan tanah merah yang belum berturap itu menyukarkan pergerakan motornya. Sesekali dia ke kanan sesekali pula ke kiri, mengelak dari 'tersadung' ke dalam lopak air. Motornya terhuyung-hayang mengimbangi badannya agar tidak terjatuh.
Tiba di persimpangan jalan, kelihatan beberapa orang anak muda sedang melepak sambil memetik gitar. Dada Emy mula berdebar-debar, bimbang dirinya diapa-apakan oleh beberapa orang anak muda yang sedang berkumpul itu. Hanya dia seorang sahaja yang sedang melalui jalan itu. Macam-macam perkara boleh berlaku di jalan yang agak sunyi itu.
Otaknya mula mencongak sama ada untuk berpatah kembali atau meneruskan sahaja. Akhirnya, Emy membuat keputusan meneruskan sahaja perjalanannya. Bimbang andai dia berpatah semula, tentu mengambil masa yang lama untuk sampai ke rumah. Dalam hati, Emy memanjat doa agar Allah selamatkan perjalanan pulangnya.
Dengan keberanian yang sejemput itu, dia gagahi juga melalui persimpangan tempat melepak anak-anak muda kampungnya. Dia berharap tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
Bunyi bising yang terhasil daripada ekzos motornya mengundang kesemua anak mata pemuda itu kepadanya. Lelaki yang sedang leka memetik gitar tadi dengan sendirinya terhenti perbuatannya itu lalu bingkas bangun dan merenungnya. Melihat aksi spontan lelaki yang memakai T-shirt belang-belang itu, Emy kecut perut. Entah bala apa pula yang bakal menimpanya.
"Eh, itu Emy budak sekelas aku dulu tu!"
Suara lelaki itu mengingatkan Emy kepada seseorang. Itu macam suara Syafiq. Aduh! Bukan boleh pakai sangat otak Si Syafiq ni. Tak pernahnya nak betul. Desisnya dalam hati.
Tiba sahaja Emy di hadapan anak-anak muda itu, Syafiq dan rakan-rakannya cuba menghalang laluannya. Nasib baik motornya sempat dibrek dengan kaki. Jika tidak, pasti dia akan terjatuh disebabkan tangan-tangan anak muda itu yang sudah memegang motornya.
"Eh... eh... nanti la dulu Cik Emy yang manis. Nak ke mana ni tergesa-gesa aja? Kalau ya pun nak cepat, berhentilah dulu. Apa kata Cik Emy borak-borak dengan kami dulu."
Syafiq yang berkulit hitam manis itu tersengih merapatinya. Emy cuba mengelak.
"Eh, apa ni Syafiq. Aku nak cepat ni, nanti mak aku marah pulak balik lambat..." sanggah Emy, keras. Dia tidak suka perangai Syafiq yang sedari dulu lagi gatal tidak bertempat. Kenakalannya sering menjadi buah mulut orang kampung. Bukan dia tidak tahu, sudah berapa orang makwe yang Syafiq kelek ke hulu ke hilir. Cuma dia tidak menyangka Syafiq tergamak mempermainkan perasaan kawan perempuannya.
"Kau dari mana di bawa 'tong ajaib' ke hulu ke hilir? Apa dalam ni ek?" tanya Kadir sambil tangannya cuba membuka tong kayu milik Emy.
Amri dan Sapuan hanya tergelak kecil, si pengikut setia yang bagaikan lembu dicucuk hidung.
"Hoi! Jangan usik! Itu ikan dan sayurlah. Aku nak cepat ni, mak aku dah tunggu kat rumah tu," marah Emy apabila melihat tangan gatal Kadir mula membuka tongnya. Lelaki itu mula menyelongkar satu per satu barang yang dibeli oleh Emy seperti pegawai Kastam sedang memeriksa barangan seludup.
Emy mengetap bibir, geram. Amarannya langsung tidak diendahkan oleh Kadir.
"Oh, ikan dengan sayur. Kau jual ikan pulak ke?" soal Syafiq diikuti dengan ilai tawa rakan-rakannya yang lain. Bukan dia tidak tahu perihal Emy dan keluarganya.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
Lãng mạnEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...