Bab 35

191 9 0
                                    

DADANYA berombak. Inilah kali pertama dia dikehendaki mengambil minit mesyuarat setelah dia mengambil alih tempat Suriati dan inilah juga pengalaman pertamanya duduk di meja bujur itu bersama-sama dengan hampir dua puluh orang staf yang sudah siap sedia untuk melaporkan setiap perkembangan kerja yang mereka sedang laksanakan. Mesyuarat kali ini bukan sahaja melibatkan kakitangan di ibu pejabat dan juga Johor Baharu, tetapi juga melibatkan kakitangan di beberapa cawangan yang lain.

Laporan minit mesyuarat yang lalu telah diletakkan di atas meja untuk mereka yang hadir. Ada di kalangan mereka membaca minit mesyuarat dan ada juga yang bersembang. Beginilah suasana bilik mesyuarat rupa-rupanya.

Emy melemparkan senyuman kepada beberapa orang rakan sekerja yang belum dikenalinya untuk menghilangkan debaran di dadanya. Pen di tangannya sudah tersedia jika Faiz datang dan terus mempengerusikan mesyuarat mereka. Dia menunggu kedatangan Hani yang masih belum muncul.

Baru sahaja memikirkan tentang temannya itu, Hani muncul bersama Faiz. Suasana terus sepi sebaik sahaja Faiz duduk di bangkunya.

"Emy, boleh tolong Hani sediakan minuman sebelum saya mulakan mesyuarat kita?" pinta Faiz dengan berhemah.

Emy tersenyum memandang Hani seraya mengangguk. Dia bingkas bangun dan mengekori langkah Hani yang sudah pun keluar dari bilik mesyuarat itu.

Saat kaki Emy melangkah menuju ke pantri, tiba-tiba dia ditegur oleh seseorang dari belakang.

"Nak ke mana tu Emy? Mesyuarat, kan dah nak mula?"

Emy tersentak. Dia berpaling ke arah suara yang menegurnya, suara yang tidak asing lagi di pendengarannya. Terpinga-pinga dia melihat 'Faiz' tercegat memerhatikannya bersama senyuman manis.

"Bukan ke tadi Encik Faiz yang minta saya bantu Hani?" soal Emy dalam kebingungan. Baru sebentar tadi dia disuruh membantu Hani menyiapkan air, kini ditanya pula mahu ke mana.

Tapi perasaan aneh dan getaran halus bertandang semula ke hatinya apabila merenung wajah 'Faiz' yang belum lagi berkalih pandang kepadanya. Emy semakin hairan dengan dirinya sendiri. Sinar mata itu bagaikan memberi seribu makna buatnya.

"Oh, ya ke? Lupa pulak. Takpelah, Emy pergi sediakan air tu dulu. Nanti kering pulak tekak bos-bos kita yang asyik duk bersembang aja dari tadi," ujar Ayie. Dia tidak mahu membingungkan gadis itu lagi. Sesekali hendak ketawa juga melihat wajah Emy yang kebingungan. Dia pasti Emy akan terkejut besar melihat mereka berdua nanti. Tidak sabar rasanya!

Ayie tergelak sendirian apabila otak nakalnya membayangkan Emy terbeliak dan gadis itu akan tersipu malu memandangnya.

Emy mengangguk perlahan tapi belum pun sempat dia melangkah, namanya dipanggil lagi oleh Faiz. Dia berpaling, menanti ayat seterusnya menyusul daripada mulut Ayie yang disangkakan Faiz.

"Hati-hati... jangan taruk garam tau. Taruk gula, ya...." Usik Ayie bersama alunan tawa yang mengasyikkan.

Emy tertunduk malu apabila diusik begitu. Apabila dia mengangkat wajahnya kembali, kelibat Ayie sudah tiada.

"Hei, kat sini rupa-rupanya dia mengelamun. Kita penat bercakap sorang-sorang kat dalam tu, dia selamba aja curi tulang."

Suara Hani yang melantun dari arah belakang, membuatkan Emy sekali lagi bagaikan terkena renjatan. Sudahlah perasaan hairannya mula merajai minda, ditambah pula dengan terjahan Hani yang secara tiba-tiba menyesakkan dadanya. Nafasnya bagaikan tersekat di kerongkong. "Saya bercakap dengan Encik Faiz tadi, kak...."

"Mana? Mana Encik Faiz? Bukan ke dia ada kat dalam bilik tu?" Kepala Hani melilau mencari kelibat Faiz yang diperkatakan oleh Emy, namun bayang-bayang Faiz tiada di situ.

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now