Bab 12

215 8 0
                                    

AYIE menyusuri tali air sambil bernyanyi kecil. Basikal tua milik Amer dikayuhnya perlahan sambil menikmati keindahan sawah bendang yang terbentang luas. Di kejauhan dia terpandang akan sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang perempuan. Timbul niat nakalnya ingin melihat sejauh mana 'umpan'nya mengena.

Semakin dekat penunggang itu menghampiri, semakin berdebar hatinya. Lagipun jalan ini lengang dan tiada sesiapa lagi yang bertembung dengannya sepanjang dia melalui jalan ini. Hanya dia dan gadis itu melalui jalan itu waktu ini.

Dari jauh, dia dapat melihat gadis bertudung coklat itu sesekali memandang kiri dan kanan seperti mencari sesuatu.

"Aik...macam motor aku aja, tapi siapa pulak yang naik motor tu?" ujar Ayie sendirian. Kemudian, dia menggelengkan kepalanya sambil tersengih kecil. Terasa lucu pula apabila dia berfikiran seperti itu.

"Takkanlah aku sorang aja yang ada motor macam tu. Ramai lagi yang adalah. Awek pulak tu yang menunggangnya." Ayie meredakan hatinya.

Dikayuhnya basikal Amer dengan senyuman. Sudah lama dia tidak menaiki basikal tua. Dahulu datuknya pernah memiliki sebuah basikal, namun basikal tuanya itu diberikan kepada Zabidi anak Pak Murad yang tinggal di hujung kampung. Kasihan melihat Zabidi ke sekolah hanya berjalan kaki bersama adiknya, Syikin.

Motosikal Lagenda itu semakin mendekat. Dengan jelas, Ayie dapat mengecam nombor plat motosikalnya apabila motor itu berselisih dengannya. Dia menoleh ke belakang, mengamati sekali lagi nombor yang tertera, bimbang apa yang dia nampak adalah khayalan semata.

Memang benar itu motosikalnya! Masakan dia tidak mengenalinya. Semakin lama motosikal itu semakin menjauh.

"Hoi! Hoi! Pencuri! Pencuri!" jerit Ayie sambil berpatah ke belakang dan mengayuh basikal tua milik Amer itu selaju mungkin. Siapa yang berani mencuri motosikalnya? Perempuan pula tu. Memang betul-betul berani menempah sakit.

Sehabis daya dikerah tenaga yang ada. Dia mahu dapatkan apa yang dimilikinya. Tidak sesekali dia menyerah kalah. Motosikal yang dibeli dari hasil titik peluhnya mana mungkin dibiarkan orang lain menikmatinya. Hampir putus urat tekaknya menjerit pun begitu gadis itu tetap berlalu.

Terkejut dengan jeritan yang datangnya daripada pemuda yang berselisih dengannya tadi, Emy menoleh ke belakang. Lelaki itu tiba-tiba memecut laju mengejarnya. Tidak berfikir panjang, Emy juga terus memecut laju meninggalkan pemuda yang mengejarnya. Hairan. Entah apa yang dimahunya oleh lelaki itu yang terjerit-jerit memanggilnya. Masakan dia mengenali lelaki itu?

Dia tidak mahu kejadian bersama Syafiq berulang lagi. Apakah lelaki itu juga saudara Syafiq? Mengingati akan hal itu, Emy kecut perut. Tidak dipedulikan lagi dengan lambaian tangan pemuda yang dilihatnya. Apa yang ada di kepalanya kini hanyalah cepat sampai ke rumah Mak Cik Bedah. Jika lelaki itu mengikutinya sampai ke sana, tahulah dia apa yang akan dilakukan kepada lelaki itu nanti.

Ayie terus mengejar motosikalnya yang dinaiki si gadis itu. Dia tidak sanggup kehilangan motosikalnya di tangan seorang perempuan yang cukup berani mencurinya. Namun, gadis itu memecut semakin laju. Ayie kelelahan apabila melihat perempuan itu semakin mengecil dan terus hilang daripada pandangan.

Emy menoleh, melihat kalau-kalau lelaki itu semakin menghampirinya. Lega hatinya apabila melihat lelaki tadi sudak tidak kelihatan.

Emy memperlahankan motosikalnya. Dek terkejut akan laungan lelaki tadi, dia telah tersalah jalan. Entah simpang mana pula yang diterjahnya, dia keliru. Kalut betul. Menyesal pula dia melarikan diri. Apalah yang ditakutkannya? Dia bukannya mencuri atau mengambil barang sesiapa.

Apa agaknya lelaki itu hendak daripadanya? Atau mungkin lelaki itu berpura-pura tanyakan dia sesuatu lalu dia dirompak? Nauzubillah. Lelaki sekarang memang tak boleh dipercayai. Muka aja nampak baik, tapi belum tentu lagi isi di dalamnya elok. Gila!

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now