EMY tiba awal ke pejabatnya hari ini. Belum ada sesiapa lagi yang datang selain Pak Cik Sahur, pengawal keselamatan yang bekerja syif malam. Dari jauh dia melihat Pak Cik Sahur tersenyum kepadanya.
"Awal cik sampai hari ni?" sapa Pak Cik Sahur bersama senyuman yang tidak pernah lekang daripada bibirnya.
"Hari ni kakak Emy ada hal sikit pak cik, sebab tu la datang awal..." balas Emy lalu sebuah senyuman dihadiahkan kepada Pak Cik Sahur yang menyapanya.
Seketika, Emy dan Pak Cik Sahur bersembang. Rancak juga dia bersembang sehinggakan beberapa pekerja yang datang awal juga dia tidak perasan.
"Pak cik minta diri dululah, cik. Lagipun waktu kerja pak cik dah nak tamat ni..."
"Jangan panggil saya cik, pak cik. Panggil saya, Emy cukup. Lagipun, saya kerja kat bawah ni aja," ujar Emy. Dia kurang selesa dengan panggilan 'cik' itu.
"Baiklah, Emy. Pak cik minta diri dulu."
Peramah juga pak cik yang bekerja sebagai jaga di syarikat Jaya Sepakat ini. Kebanyakan staf kat sini baik-baik belaka.
Sepintas ingatannya melayang teringatkan Pak Mat. Apa yang dibuat oleh Pak Mat sekarang ini? Tentu Pak Mat sedang sibuk memunggah ikan dan mulutnya tentu tidak henti-henti memanggil pelanggan. Rasa rindunya pada suasana kesibukan Pasar Manir menggamit hati kecilnya. Rindu pula akan suasana kampung yang telah ditinggalkan. Rindu juga pada suara emak yang sering memarahinya.
"Hai, Emy...awal kau datang hari ni? Rajin betullah kau ni," sapa Mona tiba-tiba.
Khayalan Emy tentang kampungnya melayang pergi. Mona juga sepertinya, datang awal hari ini. Emy ingatkan hanya dia yang datang awal, rupa-rupanya ada orang yang datang lebih awal daripadanya. Dia membalas senyuman Mona. "Kebetulan aja, Mona. Emy tumpang kakak. Dia pulak ada hal, sebab itulah kena datang awal."
"Ooo...aku nak naik atas jap. Kalau sesiapa cari aku, kau tolong bagitau aku ada kat atas ek?"
"Okey," balas Emy sambil matanya mengiring lenggok Mona hingga hilang dari pandangannya.
Sedang Emy leka membelek dokumen yang tersusun di pigeon hole, tiba-tiba dia tersentak apabila disapa oleh suara seorang lelaki.
"Hai, selamat pagi. Orang baru kat sini ke?" Samad memandang tepat ke wajah gadis manis itu. Dari apa yang dilihat dia dapat meneka gadis itu adalah orang yang menggantikan tempat Maggie Ng.
Emy memanggung kepalanya. Kerja yang dilakukan terhenti seketika. Dia langsung tidak menyedari kehadiran lelaki itu di situ. Emy mengangguk kecil. "Selamat pagi. Boleh saya bantu?"
"Wow! Lembutnya suara. Kalau macam ni gayanya, masalah bertimbun pun boleh hilang." Samad mula merapu.
Emy memandang lelaki itu dengan wajah kelat. Tidak suka hal tidak berkaitan dengan kerja diperbualkan.
"Boleh sangatlah ni kalau nak tolong...angkatkan beg abang ni. Beratlah." Lelaki itu semakin galak menyakat.
Emy hanya memerhati tingkah lelaki yang tidak dikenalinya itu. Rasa hairan terbit di hatinya. Dia tidak mengenali lelaki itu, nampak terlalu peramah orangnya. Emy buntu. Hatinya meneka siapa pula lelaki di hadapannya ini.
"Eh, kenapa pandang abang macam tu? Ada yang tak kena ke? Ooo...ni mesti cik adik manis sedang tengok kehenseman abang, kan? Sampai tak nak lepas pandang langsung."
Emy rasa tercabar dengan kata-kata lelaki di hadapannya. Dia tidak suka waktu kerjanya diganggu. Siapa lelaki ini agaknya?
"Maaf, encik. Kalau encik nak loyar buruk, bukan di sini tempatnya. Saya hanya boleh bantu dalam urusan berkaitan dengan syarikat sahaja. Lain-lain urusan bukan kerja saya," tegas Emy. Dia ingatkan duduk di kota besar ini tidak ada orang yang berperangai seperti Syafiq, tapi sebaliknya pula.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...