"ASSALAMUALAIKUM..." Emy memberi salam sebaik sahaja menjejak kaki ke pintu dapur.
Pintu itu adalah pintu utama baginya sejak dia bersekolah rendah lagi. Tiap kali pulang dari sekolah dia akan dimarahi emaknya jika dia naik ke rumah melalui pintu utama. Sering kali juga dia terfikir kenapa kakaknya tidak pula dimarahi oleh emak jika dia masuk melalui pintu utama. Namun begitu, lama-lama dia lupa akan perkara itu.
Nadia tiba-tiba muncul bersama sebuah senyuman. "Dari mana ni, Emy?"
Ni lagi sorang. Tadi dah dibagitau ambil motor di bengkel. Apa penyakitlah pasangan ni, ya? Desis hati Emy. "Emy baru lepas ambil motor. Abang Faiz tak bagitau kakak ke dia jumpa Emy?"
Nadia sedikit hairan. Bila masa pula tunangnya itu berjumpa Emy sedangkan mereka seharian berdua ke bandar?
"Hantarkan kuih ni ke rumah Mak Cik Senah," pinta Mak Jah kepada Emy yang tiba-tiba muncul.
"Baiklah, mak." Emy membalas lembut. Dia mencapai sebekas kuih yang dihulurkan oleh Mak Jah.
Nadia tidak sempat menyoal Emy dengan lebih lanjut lagi walaupun hatinya ingin sekali bertanya. Emy berlalu meninggalkannya termangu-mangu sendirian.
"Rabun agaknya Si Emy tu." Nadia membuat telahan sendiri lalu menggelengkan kepalanya.
"Nadia buat apa lagi tercegat kat situ?"
Nadia menoleh apabila disapa oleh Mak Jah. Apa yang difikirkan terus lenyap bersama senyuman Mak Jah. "Takde apa-apalah, mak."
Dia membuntuti langkah Mak Jah. Sejak dia bertunang, Mak Jah seperti sudah tidak marah-marah lagi kepada Emy. Dia bersyukur. Adakah itu satu petanda baik buat mereka?
"Mari sini, mak nak tunjukkan sesuatu pada kamu." Mak Jah menarik tangan Nadia lalu dibawa ke bilik.
"Apa dia, mak?"
Mak Jah membiarkan sahaja soalan itu tanpa jawapan. Langkah kakinya sudah pun bertapak di dalam biliknya. Mak Jah membuka pintu almari pakaiannya. Dia mengeluarkan sebuah kotak segi empat lalu melabuhkan duduk di sisi katilnya bersama Nadia.
"Apa tu, mak?"
"Ni barang kemas peninggalan arwah nenek Nadia. Mak nak hadiahkan pada Nadia." Mak Jah mengeluarkan satu set barang kemas yang kelihatan masih baru walaupun barang kemas itu berukiran lama. Nyata sekali dia menjaganya dengan baik sehinggakan kotak baldu itu dibalutnya dengan kain. Mana tidaknya, itulah satu-satunya harta yang masih kekal dengannya.
"Arwah nenek? Cantiknya, mak. Tapi, nampak macam baru aja ni...."
"Mak pergi cuci dengan Mak Cik Senah minggu lepas. Kamu suka?" Mak Jah mengeluarkan barang kemas itu lalu diacukan pada leher Nadia.
"Suka, mak! Cantik...." Nadia memadankan rantai itu ke lehernya sambil kepalanya tertoleh-toleh ke arah cermin.
Mak Jah tersenyum gembira.
"Takde apa lagi yang mak nak bagi pada Nadia. Hanya itu aja harta nenek yang mak ada. Kalau tak pada Nadia, pada siapa lagi mak nak bagi..." ujar Mak Jah.
"Ini pun dah cukup, mak. Tapi...." Kata-katanya termati di situ. Dia teringat akan adiknya, Emy. Bagaimana pula dengan Emy? Apakah Emy tiada hak untuk menerima barang kemas sepertinya juga? Jika Emy yang berkahwin, apa pula hadiah yang bakal emaknya berikan? Atau adiknya itu langsung tidak dapat apa-apa?
Wajah Nadia berubah mendung. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kasihan Emy. Adiknya itulah yang bersusah payah menjaga emak, yang selalu ada ketika susah dan senang emak, tapi dia pula yang mendapat habuannya. Emak tidak adil baginya.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...