SURIATI menekan interkom ke bilik Ayie. Dia tergerak hati untuk mengingatkan Ayie tentang penerbangannya malam nanti. Walaupun bosnya itu tidak berpesan, tetapi sebagai setiausaha syarikat dia perlu melakukannya tanpa disuruh.
Sekilas matanya melirik jam di dinding. Sudah pukul empat tiga puluh minit petang, namun majikannya masih belum keluar dari biliknya. Faham benar Suriati dengan perangai adik kepada Encik Faiz ini yang sememangnya kuat bekerja mengalahkan Datuk Kamal sendiri.
"Ada apa, Su? Nak buatkan kopi untuk saya ke?" soalnya sebaik sahaja dia menerima panggilan daripada Suriati. Sempat lagi dia mengusik Suriati walaupun sebentar tadi dia leka dengan kerjanya. Kedengaran ketawa kecil Suriati di hujung talian. Sebatang pen di tangannya bermain-main di bibir. Tiba-tiba perutnya terasa lapar.
"Kopi apanya, Encik Fariz? Dah pukul berapa ni? Encik Fariz tak nak balik lagi ke? Sepatutnya Encik Fariz balik awal hari ni, nanti terlepas kapal terbang pula," pesan Suriati, mengingatkan bosnya itu.
Ayie melihat jam di dinding pejabatnya sebaik sahaja Suriati menyebut tentang penerbangannya. Dia sedikit terkejut dengan masa yang semakin jauh meninggalkannya.
"Dah pukul empat setengah dah. Kenapa tak bagitau saya awal-awal?" Ayie sedikit kalut.
"Maaf, Encik Fariz..." balas Suriati sedikit gugup. Memang salahnya kerana terlewat memberitahu Ayie. Dia rasa bersalah.
"Takpe...takpe...salah saya. Su...terima kasih, ya tolong ingatkan saya." Ayie tersedar dia telah menginggung hati Suriati lalu dia memohon maaf dia atas keterlanjurannya.
Suriati ketawa kecil. Dia cukup senang dengan Ayie. Tidak melenting tidak tentu pasal. Walaupun dia terlambat, tetapi Ayie masih lagi dapat menenangkan dirinya.
"Kasih diterima," gurau Suriati disambut ketawa kecil oleh Ayie lalu talian dimatikan.
Ayie mengemas kertas kerjanya. Dokumen yang hendak dibawanya turut dikemaskan. Diam sejenak sambil meneliti apa lagi yang harus dibawanya. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.
"Helo... Ayie kat mana ni?" soal Datin Maimun sebaik panggilannya bersambut.
"Mama... Ayie kat ofis lagi ni, ma. Dah nak gerak ni."
"Kat ofis lagi? Kan mama dah bagitau pada Ayie pagi tadi, ambil Tina kat kolej dia pukul tiga petang ni. Dah lama dia tunggu. Hesy, budak ni...."
"Ayie lupalah, ma. Adik dah balik rumah ke?" Ayie meneluk dahinya. Dia terlupa untuk mengambil adiknya di kolej. Dan pastinya wajah kelat serta muncung sedepa akan ditayangkan kepadanya nanti. Fahan benar dengan kerenah Tina yang tidak suka orang memungkiri janji.
"Balik apanya? Dia tengah tunggu Ayie datang ambil tu. Mama suruh dia call Ayie sendiri, dia tak nak. Merajuklah tu," balas Datin Maimun. Dia tahu anak lelakinya ini pantang diberi kerja, pasti lupa masa.
"Okey, ma. Ayie gerak sekarang ambil adik."
"Emmm...bawak kereta elok-elok. Jangan nak buat litar lumba pulak jalan raya tu," pesan Datin Maimun pada anak bujangnya.
Ayie ketawa kecil dengan pesanan mamanya itu. Sejak dia sudah berpindah ke rumah papa dan mamanya, hubungan mereka semakin serasi dan mamanya juga sesekali suka manjakannya.
"Hai...lain kali kena bawak jam loceng la ke ofis nampak gaya ni. Asyik lupa aja." Bebelnya sendirian sebaik sahaja talian dimatikan.
Ayie bergegas keluar dari biliknya. Dia perlu cepat sampai ke kolej Tina. Jika tidak, pasti dia akan tersangkut di jalan raya. Malah, sudah tentu akan menyukarkan perjalanannya ke KLIA.
"HAI, Encik Faiz...awal balik hari ni? Ada janji temu dengan buah hati ke?" tegur Mona sebaik sahaja dia nampak kelibat Ayie yang tergesa-gesa melintasi kaunter receptionist.
"Saya nak cepat ni Mona. Lain kali ya, kita sembang," balas Ayie. Pun begitu, matanya masih sempat lagi melilau mencari sesusuk tubuh yang sering bermain di mindanya dan yang pasti bayangan gadis itu akan menemani setiap langkahnya.
Mona tersengih sendiri melihat keadaan kelam-kabut Ayie. Beg hitam yang selalu dibawa oleh Ayie sesekali hampir terjatuh dari bimbitannya. Mona hanya menggeleng kecil melihat gelagat yang jarang sekali ditontonnya itu.
"Hai, duk geleng-geleng kepala sensorang sambil tersengih ni kenapa? Ada yang lucu?" tegur Emy, turut memandang ke arah yang sama dipandang oleh Mona tanpa berkalih.
"Kau tengoklah bos kita tu, kelam-kabut semacam. Biasanya dia tak macam tu. Hai, dunia...dunia. Apa yang dikejarnya entah."
"Kenapa? Sebelum ni dia tu macam mana?" soal Emy.
"Hmmm...agaknya perangai dia berubah sejak bertunang kut. Sebelum ni bos kita tu serius aja, nak bergurau pun takut. Tapi sejak akhir-akhir ni suka tegur oranglah pula. Pelik. Aura bakal pengantin kut," komen Mona.
Emy hanya tersenyum mendengar kata-kata temannya. Mona tidak habis-habis dengan telahannya. Boleh jadi ahli nujumlah nampak gayanya.
"Eh, yang kau tersengih ni kenapa pula? Angau ke?"
"Taklah...nak angaukan apanya? Kita tak macam awak tu asyik duk tersenyum aja dua puluh empat jam. Maklumlah, buah hati selalu datang jenguk," usik Emy.
Mona mengecilkan matanya, memandang seraut wajah yang masih tersenyum manis itu.
Emy buat derk sahaja.
"Hei...sesedap mulut aja mengata orang. Bila masanya pakwe aku datang jenguk?" Mona pura-pura marah, sesekali dia suka juga disakat begitu.
"Ala, jangan nak sorok la...." Emy masih mahu mengacah. Suka melihat temannya itu berubah wajah. Kelat dan semakin kelat.
"Sorokkan apa pula ni, Emy? Aku mana ada buah hati, masih solo lagilah."
"Hai, buah hati depan mata pun masih tak nak mengaku lagi ke? Dia datang nak ajak dating tu." Dan kebetulan, Samad muncul sebaik sahaja Emy hendak menyebut nama pemuda itu.
Mona menjeling tajam ke arah Emy yang sedang menutup mulutnya yang sedikit ternganga. Tidak disangkanya lelaki itu betul-betul berada di depannya kini.
"Hei, tak kuasa aku kalau dengan Samad ni tau. Not my tastelah," bangkang Mona yang tidak suka dipadankan dengan Samad, budak despatch yang selalu menyapanya.
Emy tergelak kecil. Dapat juga dia mengenakan Mona yang tidak henti-henti bercakap. Memang padan benarlah dia dengan Samad.
"Ha...kau datang nak apa, Mad? Aku tak free hari ni," ujar Mona sedikit garang sebaik sahaja Samad menghampiri kaunter mereka.
Samad sedikit terkejut dengan suara Mona yang jarang ditinggikan. Selalu gadis itu memberikannya senyuman.
"Hei, datang bulan ke apa ni? Nak marah-marah orang," sungut Samad.
Emy ketawa apabila melihat mereka bertelagah. Suka melihat wajah kelat-kelat masam Mona.
"Apa kena korang ni, hah? Sorang macam mak singa, sorang lagi macam tak berapa nak betul. Aku salah ofis ke ni?" komen Samad sambil melihat signboard nama syarikat di belakang tempat mereka berdua itu. Tertera tulisan Jaya Sepakat dengan jelas.
Mona memandang Emy yang masih tidak henti-henti ketawa. "Kau ni kenapa, Emy?"
"Takde apa-apa," balas Emy cepat apabila Samad masih setia memandangnya.
"Kenapa tak free? Belum masanya balik lagi, kan?" soal Samad tidak berpuas hati dengan jawapan Mona tadi. Kalau Mona hendak balik awal sekalipun, Emy masih ada untuk menggantikan tempatnya.
"Aku nak hantarkan dokumen-dokumen ni. Nanti cakap aku ponteng kerja...tak boleh nak diharapkan pulak," sambung Samad lagi. Tangannya laju mengeluarkan beberapa dokumen dari dalam beg sandangnya.
"Errr...." Mona kehilangan kata. Nasib baik dia tidak sempat marahkan Samad. Jika tidak, sudah tentu dia akan malu sendiri gara-gara Emy mengusiknya.
"Emy!" jerit Mona, memanggil Emy yang telah hilang dari pandangannya. Pandai gadis itu melarikan diri.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
Roman d'amourEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...