FAIZ makan dengan berselera sekali. Dua pinggan nasi dihabiskan. Apabila Mak Jah menyuakan untuk kali ketiga, dia menolak dengan lembut. Faiz mudah ramah dengan sesiapa sahaja walaupun kadangkala dia kelihatan serius sahaja.
Mak Jah begitu menyenangi bakal menantunya itu. Memang padan benar dengan anak perempuannya. Senang hatinya apabila melihat Nadia diselubungi kegembiraan.
"Sedapnya mak cik masak..." puji Faiz dengan ikhlas. Dia kekenyangan sambil menggosok perutnya.
"Nak ambil hati bakal mak mentualah tu..." sangkal Nadia berserta cebikan kecil.
"Isy...taklah, saya puji ikhlas. Kalau awak tak pandai masak macam ni, tak tahulah saya nanti. Nampaknya tiap-tiap minggulah saya kena balik kampung." Faiz mengusik tunangnya.
Nadia hanya menjeling mesra. Dia tahu Faiz sengaja mengenakannya.
Mak Jah ketawa senang. Dia cukup senang hati melihat kemesraan mereka berdua.
"Kalau nak mak yang masak, cepat-cepatlah kahwin," ujar Mak Jah sambil memandang Faiz yang tersenyum malu.
"Mak!" Nadia menjerit kecil.
Emy hanya memerhatikan kemesraan mereka. Dia sesekali tersenyum dengan gelagat mereka.
Usai makan, Nadia dan Emy membantu Mak Jah mengemas. Sesekali kedengaran suara Mak Jah menegah Nadia melakukan kerja-kerja dapur.
Faiz pula duduk berseorangan di anjung rumah. Matanya tertancap pada sebuah motosikal yang terparkir elok di dalam garaj. Dia sangat mengenali motosikal adiknya itu. Selalu juga dia meminjam motosikal adiknya jika dia ingin ke kedai. Kepalanya ligat memikirkan bagaimana motosikal adiknya itu berada di rumah Emy. Adakah Emy telah mengetahui Ayie adiknya? Pernahkan mereka bertemu? Apakah mereka saling mengenali? Namun, masakan Emy mengenali Ayie? Jika benar Emy mengenali Ayie, sudah tentu gadis itu akan bertanyakannya.
Emy kemudiannya membawa sedulang rambutan kepada bakal abang iparnya seperti yang disuruh kakaknya.
"Rambutan, bang." Emy bersuara apabila kedatangannya tidak disedari oleh Faiz yang sedang ralit memandang motosikal yang diparkir di garajnya.
Faiz sedikit terkejut dengan sapaan Emy lalu menoleh dan mereka berbalas senyum. Wajah itu direnung dalam-dalam. Kalau hendak dipadankan dengan Ayie, bagai pinang dibelah dua.
Tidak disangkanya Nadia mempunyai seorang adik yang tidak kurang cantiknya. Bertambah manis apabila gadis itu tersenyum menampakkan kedua-dua belah lesung pipitnya. Malah siap bertudung litup, menutupi sebahagian rambut yang tidak sepatutnya dilihatkan kepada lelaki bukan muhrim sepertinya. Alangkah baik jika Nadia juga begitu. Faiz tidak mahu memaksa, namun dia mahu Nadia juga begitu selepas mereka diijabkabulkan nanti.
"Haaa...terima kasih," Faiz menghadiahkan senyuman buat bakal adik iparnya.
Setelah meletakkan dulang yang berisi rambutan itu di hadapan Faiz, Emy berkira-kira ingin melangkah dari situ.
"Errr... Emy..." panggil Faiz, lembut.
"Ya?" Emy menoleh. Wajah kacak itu terserlah apabila cermin mata itu dibuka.
"Motor Emy yang dulu tu dah jual ke?"
Emy terpaku. Macam mana pula Faiz tahu yang dia mempunyai motor? Mungkin Nadia telah menceritakan tentang motor kesayangannya itu kepada Faiz.
"Emy hantar ke bengkel," jawab Emy. Ini kali ketiga dia disoal tentang motor yang dibawa baliknya itu. Lucu pula rasanya. Apa yang menarik tentang motor itu sehingga menjadi perhatian semua orang.
"Kenapa Abang Faiz? Ada yang tak kena pada motor tu ke?" soalnya apabila menyedari mata Faiz masih terarah pada motor biru itu.
"Abang ingatkan Emy beli motor baru. Kalau bukan motor Emy, motor siapa pulak tu?" matanya tunak memandang ke dalam anak mata Emy.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...