EMY memandang halaman rumahnya yang telah dibersihkan seraya tersenyum. Setelah berpuas hati dengan kerjanya, dia menyimpan penyapu lidi di bawah rumah. Mak Jah yang ke rumah Mak Cik Senah masih belum pulang lagi. Lama pula emaknya berkunjung ke rumah Mak Cik Senah. Pun begitu, dia merasa sedikit senang dengan ketiadaan emaknya. Bagaikan dia baru sahaja lepas bebas dari sangkar.
Sambil menyanyi kecil, Emy melangkah perlahan-lahan menuju ke parit di belakang rumahnya. Sudah lama dia tidak merasa bebas begini. Biasanya di sinilah tempat dia menghabiskan masanya sambil menguis-nguis anak ikan yang baru mengenal dunia. Dan di sinilah tempatnya meluahkan segala kesedihannya atau kegembiraan.
Anak-anak ikan mula berenang laju apabila tangan mulus Emy cuba menangkapnya. Sesekali kedengaran suara Emy ketawa riang melihat gelagat anak-anak ikan yang sedang ketakutan melarikan diri apabila tangannya hampir benar dapat menangkapnya.
Emy merasa tenang dengan nikmat alam yang tiada galang gantinya. Seketika, matanya dipejamkan sambil menghirup udara petang yang nyaman. Dan tanpa disangka, bayangan wajah 'Faiz' terbayang di matanya. Emy cepat-cepat membuka matanya. Bukan itu yang dimahukannya. Dia sedikit hairan kenapa bayangan wajah 'Faiz' yang ditemui ketika mengambil motosikalnya itu berulang lagi. Ah, kalut!
Emy menggelengkan kepanya beberapa kali, jantungnya mula bergendang tidak menentu. Tapi, kenapa? Emy bingkas bangun dari duduknya. Dia ingin beredar segera dari tempat yang sering mendamaikan hatinya yang kini dirasakannya tidak lagi mendamaikan. Dia berlari-lari anak menuju ke rumah.
"Kau ni dari mana, hah?"
Pertanyaan dengan nada sedikit tinggi daripada Mak Jah mengejutkan Emy. Dia hanya menunduk. Langkahnya dimatikan di hadapan Mak Jah yang tajam merenungnya. Kecut perutnya.
"Kau buat apa kat belakang tu? Macam kena kejar hantu aja. Aku keluar sekejap aja kau pula ambil peluang merayaplah, ya?"
"Emy ke parit kat belakang, mak."
"Kau buat apa? Kau jumpa jantan ke kat situ?"
Soalan yang tidak disangka-sangka, keluar daripada mulut Mak Jah mengejutkan Emy. Mana mungkin dia melakukan hal itu. Dia masih tahu akan hukum-hakam agama. Emy menggelengkan kepala, tidak betah dia menjawab. Bimbang nanti akan lebih menambahkan lagi kemarahan emaknya.
"Tergeleng-geleng! Apa kau dah takde suara nak manjawab, ya?!" herdik Mak Jah.
"Emy cuma ke belakang ambil angin, mak," jawab Emy perlahan.
"Huh, macamlah kat rumah takde angin. Kau nak angin apa? Angin puting beliung, angin satu badan, angin kuskus? Cakap!"
Emy hanya tunduk dan menggeleng lagi. Pantang menjawab pasti ada sahaja yang menjadi kemarahan emaknya. Lebih baik diam daripada terus menyimbah minyak pada api yang sedang marak.
"Dah, pergi masuk. Bercakap dengan kau ni menyakitkan hati aja, tak pernah menyenangkan." Bebel Mak Jah dengan nada yang sedikit mengendur.
Emy cepat-cepat beredar dari situ. Lega rasa hatinya apabila kemarahan emaknya tidak berpanjangan. Sudah lama dia tidak dimarahi. Dan kali ini angin emaknya kembali membadai.
"HELO...assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Akak!" jawab Emy dengan gembira. Suara di hujung talian yang sangat dirinduinya ketika ini, seakan-akan mengerti rintihan hatinya.
"Emy buat apa tu? Mak ada?" soal Nadia.
"Ada...akak nak cakap dengan mak ke? Nanti Emy panggilkan." Emy sedikit terasa apabila Nadia terus menyoal emaknya, bagaikan Nadia tidak sudi untuk berbicara dengannya.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...