Bab 7

250 9 0
                                    

ROMBONGAN pihak lelaki seramai tiga puluh orang telah pun memenuhi perkarangan rumah Mak Jah. Sebanyak tujuh dulang hantaran kelengkapan bertunang tersedia di telapak tangan anak-anak gadis di sebelah pihak lelaki.

Mak Jah adalah orang yang paling gembira. Senyuman di bibirnya sentiasa menguntum indah. Maklumlah, bakal menerima menantu sulung tidak lama lagi. Lagi pula yang masuk meminang ini adalah anak Datuk, tentulah dia lebih berbangga lagi.

Emy leka membancuh air di dapur. Walaupun ramai juga saudara-maranya yang datang, tapi tidak ramai yang membantunya. Hanya seorang dua jiran tetangga sahaha yang menghulur tangan. Dia diibaratkan seperti orang gaji di rumah sendiri.

Malah, ada juga sanak saudara yang memerintahkannya melakukan semua kerja dapur. Emy hanya menurut, tidak mahu membantah setiap kali disuruh. Bimbang pula Mak Jah naik angin. Dia tidak mahu merosakkan hari bahagia kakaknya.

Nadia yang sudah siap berdandan rapi, terjenguk-jenguk mencari kelibat Emy yang tidak kelihatan. Sudah dipesannya malam tadi agar Emy tidak melakukan sebarang kerja. Dia mahu Emy berada di sebelahnya pada hari ini. Ruang yang sempit dan dipenuhi dengan saudara-maranya itu menyukarkan penglihatannya. Saudara-maranya yang tidak tahu dia sedang mencari Emy, mula mengusiknya.

"Takkan lari gunung dikejar. Sabar...dah ada depan mata tu."

Usikan itu disulami dengan ketawa sanak-saudaranya yang lain.

Nadia hanya tersenyum kelat. Bukan bakal tunangnya yang dicari, tetapi adiknya yang dikasihi masih tidak nampak batang hidung sedari tadi.

"Emy mana? Tak nampak pun?" soalnya memandang Salina, saudara jauhnya.

"Ada kat dapur tu, tengah siapkan makan." Salina menjuihkan bibir, jelek dengan pertanyaan Nadia tentang Emy.

Nadia mengeluh. Salina sudah mengikut perangai emaknya pula. Apakah emaknya sudah meracuni fikiran Salina supaya membenci Emy? Pada hari bahagianya, Emy juga yang dikerah melakukan segala kerja rumah.

Nadia bingkas bangun, ingin mencari Emy di dapur. Hanya itulah satu-satunya tempat yang paling layak bagi Emy ketika ini. Faham benar dia dengan sikap emak.

"Eh, nak ke mana tu? Pihak lelaki dah sampai." Salina menegah apabila melihat Nadia mula melangkah keluar.

"Sekejap aje. Nadia nak cari Emy," balasnya tanpa berpaling lalu meninggalkan saudaranya itu yang terkulat-kulat memandang.

"Adik..." panggil Nadia, perlahan.

Emy menoleh ke belakang. Dia tersenyum melihat kakaknya dengan pakaian yang cantik dan solekan yang simple tapi menarik.

"Adik buat apa lagi tu? Kenapa adik tak pakai baju yang akak belikan tu?" Nadia menghampiri Emy. Tidak dihiraukan beberapa pasang mata yang memandangnya.

"Sayanglah, kak. Emy cuma duduk di dapur aja, nanti pakai baju cantik-cantik pun kotor juga."

Nadia memegang tangan adiknya. "Tinggalkan aje kerja tu semua. Emy pergi tukar baju... akak nak Emy ada kat sebelah akak nanti."

Tangan Emy yang sedang menyusun pinggan mangkuk terhenti.

"Emy nak kena sediakan semuanya ni, kak. Nanti apa pula kata mak? Siapa nak buat semua kerja-kerja ni?" sanggah Emy. Dia tidak mahu Mak Jah melenting melihatnya duduk di sebelah kakaknya nanti.

"Emy tak sayangkan kakak ke?" soal Nadia, lirih. Dia mahu berkongsi hari gembira bersama adiknya.

Emy serba salah.

"Sayang, kak. Emy sayang sangat pada akak," pujuk Emy, lembut.

"Kalau Emy sayangkan akak, cepat pergi tukar baju. Akak nak Emy duduk sebelah akak!" arah Nadia tegas. Apa pun alasan Emy ketika ini, dia tidak akan terima. Dia tetap mahukan Emy berada di sisinya.

"Tapi, kak..."

"Takde tapi-tapi lagi. Cepat!" Pintas Nadia.

"Pergilah, Emy. Biar mak cik yang buat ni." Mak Cik Senah tiba-tiba menawarkan diri.

Nadia menarik tangan adiknya.

Emy hanya membututi tanpa membantah. Dia sempat mengucapkan terima kasih kepada Mak Cik Senah. Sejak pagi tadi lagi Emy sudah berangan duduk di sebelah kakaknya. Dia memang teringin menyaksikan acara pertunangan kakaknya. Tapi belum pun sempat dia mengenakan baju pemberian kakaknya, Mak Jah telah menyuruhnya melakukan kerja-kerja rumah, sehinggalah dia sendiri tidak sedar majlis sudah hampir bermula.

Emy segera ke bilik mandi dan di situ jugalah dia menyalin pakaiannya. Terkocoh-kocoh dia naik ke atas apabila Salina memanggilnya.

Nadia kelihatan anggun dengan busana kurung modennya. Emy duduk di tepi kakaknya sambil tangan mereka bertaut. Terasa sejuk tangan kakaknya.

Sesekali usikan teman-teman dan sanak saudara menghilangkan sedikit rasa gugup di hati Nadia.

Emy juga apa kurangnya. Baju kurung sutera pemberian kakaknya itu tersarung cantik di badannya. Matanya yang bundar dan lesung pipit di pipi menambahkan lagi keayuan wajahnya. Sesekali Emy mencari kelibat Mak Jah, takut juga jika emaknya menyedari dia lari dari tugas yang telah diamanahkan kepadanya.

Seakan-akan dapat membaca apa yang ada dalam fikiran adiknya, Nadia menggenggam erat tangan adiknya sebagai memberi semangat.

Emy tersenyum manis.

Keluarga pihak lelaki telah membuka bicara. Mereka menyatakan hajat kedatangan mereka. Peminangan yang adakalanya serius diselangi juga dengan gelak ketawa mereka.

Mak Jah bukan main seronok lagi. Bakal tunang anaknya juga nampak kacak dengan berbaju Melayu kuning langsat.

Emy terpegun. Tunang kakaknya begitu segak sekali. Jauh lebih hensem daripada apa yang dilihatnya melalui skrin telefon bimbit Nadia. Patutlah kakaknya angau semacam. Sememangnya kacak. Bagai pinang dibelah dua.

Emy berlalu dari situ sebaik sahaja upacara menyarung cincin hampir bermula. Dia kembali menyambung kerja yang masih berbaki. Tentu tenaganya diperlukan ketika ini.


Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now