KETIKA dia sampai tadi, Atikah yang kebetulan berada di tempat Suriati memberitahunya yang 'Faiz' mahu berjumpanya di bilik mesyuarat. Dengan langkah teratur, dia menuju ke bilik mesyuarat yang ditunjukkan oleh Atikah. Sesekali dia menundukkan kepala dan melemparkan senyuman sebagai tanda hormat kepada staf-staf senior yang berselisih bahu dengannya.
Pintu bilik mesyuarat diketuk berhati-hati. Suara 'Faiz' kedengaran sayup-sayup memintanya masuk. Dengan lafaz bismillah, dia menolak daun pintu. Emy melangkah dengan tertib menghampiri 'Faiz' yang sedang leka dengan kerjanya.
Sebaik sahaja Ayie mengangkat wajahnya, mata mereka bertembung, saling memandang. Bagaikan renjatan elektrik merentap seluruh anggota badannya.
Emy sedikit gugup. Getaran yang sama dirasainya ketika menghantar dokumen di KLIA mulai menyelubungi diri. Wajahnya sudah berona merah. Seberapa boleh dia mengawal rasa gugupnya yang mulai menggila. Bahang kepanasan akibat dari perasaan malu itu bagaikan membakar kulit wajahnya.
Mata bertautan, hati bergendangan. Masing-masing terpaku tanpa kata.
Emy masih berdiri di hadapan Ayie yang turut kejang memandangnya.
"Ops... maaf, bos. Saya tak perasan ada orang tadi." Maliki memohon maaf di atas keterlanjurannya yang masuk tanpa mengetuk pintu dahulu. Dia ternampak pintu itu sedikit ternganga, terus masuk. Disangkanya Ayie sudah keluar selepas berjumpa dengannya tadi.
Ayie bagaikan baru tersedar yang dia masih di bilik mesyuarat. Emy yang tertunduk malu tidak dipedulikan. Dengan selamba dia bertanya, "ada apa Maliki?"
"Saya datang nak ambil dokumen yang tertinggal tadi," beritahunya sopan, menyedari kesilapan yang tidak disengajakan.
Ayie mencari dokumen yang dimaksudkan oleh Maliki. Dia membelek-belek dokumen yang masih ada di atas meja.
"Yang ini, bos," ujar Maliki yang melihat dokumennya berada di tangan Ayie. Dia pasti bosnya berada dalam keadaan yang belum stabil akibat dia merempuh masuk secara tidak sengaja tadi. Mungkin kehadirannya tadi mengganggu perbincangan mereka.
"Terima kasih, Encik Fariz." Maliki mencapai dokumen itu lalu meminta diri untuk berlalu. Dia hanya mampu tersenyum dalam hati.
Maliki pasti, bosnya itu sudah terpaut pada gadis yang berada di hadapannya kini. Dia tahu bukan sahaja bosnya yang terpikat, boleh dikatakan seluruh jabatannya yang mana namanya lelaki, pasti bercerita tentang gadis ini. Cuma mereka takut untuk mendekati gadis itu kerana mereka tahu gadis itu mempunyai pertalian dengan bosnya.
"Ehem!" Emy tidak sanggup berdiri lama di situ untuk menjadi perhatian bakal abang iparnya. Kenapa perasaan segan mula menular setiap kali mata mereka bertentangan? Emy cuba menepis perasaan itu jauh-jauh. Dia tidak mahu perkara yang ditakutinya benar-benar terjadi. Mimpi itu bagaikan memberi amaran kepadanya.
Tiba-tiba Emy teringat kembali panggilan nama yang keluar daripada bibir Maliki sebentar tadi. Kenapa pula Maliki memanggil bosnya itu dengan nama Fariz? Otaknya ligat berputar, tetapi terhenti saat 'Faiz' mengarahkannya untuk duduk.
"Errr... duduk, Emy. Kenapa berdiri kat situ pula?" Ayie mempersilakan Emy duduk di hadapannya. Dia berusaha sekuat mungkin menahan rasa debar yang mulai bergetar.
"Ada apa Encik Faiz nak jumpa Emy?" soalnya sebaik sahaja dia duduk di hadapan 'Faiz'.
Ayie tersenyum mesra. Suara Emy yang dirinduinya bagaikan halwa merdu menusuk ke lubang telinganya. Hilang segala rasa malunya tadi. Suara itu bukan dapat menghilangkan rasa rindu bahkan bagaikan menambahkan lagi rasa rindu yang mulai tersimpan di dadanya.
"Macam mana keadaan Suriati?" soal Ayie. Dia tidak mahu Emy mengesyaki sesuatu.
"Dia bagitau Emy yang Abang Wan masih di ICU. Mungkin Kak Atie ambil cuti panjang. Emy rasa dia dah bagitau bahagian pentadbiran semalam."
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...